Mangsa berdepan detik menakutkan kira-kira pukul 3 pagi apabila air melimpah begitu cepat sehingga mencapai kedalaman 2.5 meter hanya dalam tempoh sejam, sehingga menyebabkan khemah-khemah mereka hanyut, manakala karavan yang digunakan turut terbalik dipukul arus deras.

Banjir kilat itu berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan air Sungai Little Missouri melimpahi tebing dan menenggelamkan kawasan rekreasi Albert Park yang terletak berhampiran sungai berkenaan.

Kawasan rekreasi itu menempatkan sebanyak 54 buah khemah yang ketika itu dipenuhi dengan keluarga yang sedang bercuti.

Lebih 20 mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital, manakala 60 yang lain berjaya diselamatkan pihak berkuasa yang menggunakan kayak dan helikopter dalam operasi mencari dan menyelamat.

Hanyut 13 kilometer

Pasangan suami isteri, Marc dan Stacy McNeil dari Marshall, Texas terselamat apabila kende­raan pa­cuan empat roda yang mereka gunakan sebagai tempat berlindung tersangkut di antara dua batang pokok selepas ­dihanyutkan arus.

“Keadaan ketika itu seperti berada di dalam bot yang diikat pada pokok,” jelas Marc mengenai ken­deraannya yang terumbang am­bing dipukul arus deras.

Ceritanya, pada satu ketika, air telah menenggelamkan separuh daripada kenderaan berkenaan.

Pasangan itu mulanya tidur di dalam khemah dan ia merupakan malam pertama mereka di tapak tersebut bersama lima lagi rakan.

Selepas menyedari air mula melimpah masuk ke dalam khemah, mereka kemudiannya berlindung dalam kenderaan pacuan empat roda sebelum ia dihanyutkan arus.

Akibat kejadian itu, Gabenor Arkansas, Mike Beebe berkata, mengeluarkan kenyataan bahawa jumlah kematian adalah seramai 16 orang.

Namun ketika itu, pihak berkuasa ketika itu tidak menolak kemungkinan jumlah mangsa yang terkorban masih boleh meningkat.

Terdahulu pada pukul 2 pagi, pihak Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran mengenai bahaya yang mungkin terjadi pada malam itu ekoran hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, orang ramai yang berkhemah di tapak perkhemahan mungkin tidak menyedari amaran yang diberi kerana kawasan itu agak terpencil.

“Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk memberi amaran di kawasan yang tiada liputan telekomunikasi,” kata Beebe.

Tambah Beebe, kesan kemusnahan akibat banjir itu juga seperti kesan angin puting beliung yang kencang. Arus banjir yang me­landa sangat deras sehingga mayat salah seorang mangsa ditemui kira-kira 13 kilometer daripada tapak perkhemahan tersebut.

Tiada siren

Anggota penyelamat turut menggunakan kenu dan kayak bagi mencari mayat atau mangsa yang terselamat di sepanjang Sungai Little Missouri.

Sebelum itu, misi menyelamat tertangguh ekoran berlaku tanah runtuh di jalan yang menuju ke tapak perkhemahan berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Perkhidmatan Hutan terbabit, John Nichols berkata, adalah mustahil ­untuk pihaknya memberi amaran kepada pengunjung mengenai kejadian banjir yang akan berlaku kerana kawasan itu tiada siren dan tidak mempu­nyai liputan telekomunikasi.

“Sekiranya kami mengetahui bahawa banjir bakal berlaku, kawasan tapak perkhemahan ini tentunya telah ditutup,” katanya.

Tambahnya, air sungai di kawasan berkenaan biasanya tenang dan sesuai untuk memancing.

Anggota keselamatan yang bertugas mula menyedari air sungai telah melimpah pada pukul 3 pagi dan kemudian memberitahu kejadian itu kepada pihak polis yang kemudian terus bertindak melakukan operasi menyelamat.

Dalam pada itu, jurucakap Persatuan Palang Merah di Little Rock, Brigette Williams berkata, dianggarkan seramai 300 orang berada di situ ketika kejadian.

Bagaimanapun, sukar untuk mendapatkan jumlah yang tepat bilangan mereka kerana senarai nama orang yang berkhemah di situ telah hilang selepas dihanyutkan banjir.

Sebuah memorial turut dibina di tapak perkhemahan tersebut setahun selepas tragedi itu bagi memperingati mangsa-mangsa yang terkorban.