Setiap hari, enam hingga tujuh juta penduduknya menggunakan perkhidmatan kereta api untuk pergi dan balik dari rumah mereka sama ada ke tempat kerja, sekolah atau lain-lain destinasi dituju.

Pada waktu puncak, setiap kereta api dengan sembilan gerabak yang penuh sesak mengangkut sekitar 5,000 penumpang sedangkan kapasiti normal hanya 1,710 orang.

Pada waktu puncak tanggal 11 Julai 2006, sekumpulan pengganas telah menjadikan pekhidmatan kereta api Mumbai sebagai sasaran mereka.

Akibat serangan itu, seramai 200 orang terbunuh dan 800 yang lain cedera dalam tujuh letupan yang menggegarkan rangkaian perkhidmatan kereta api di bandar raya kewangan terbesar India itu.

Menurut Pesuruhjaya Polis Mumbai, A.N. Roy, letupan itu berlaku secara berturut-turut di stesen kereta api yang padat atau pada gerabak di Matunga, Khar, Mahim, Jogeshwari, Borivali dan Bhayendar di sekitar Mumbai.

“Kesemua letupan berlaku dalam tempoh masa kira-kira 20 minit,”” kata Roy.

Letupan pertama berlaku pada waktu puncak kira-kira pukul 6.30 petang ketika para pekerja pulang ke rumah di Western Railway, pinggir kota Mumbai.

Letupan ketujuh berlaku di ste­sen kereta api bawah tanah di Khar.

Tercampak keluar

Bercerita mengenai detik-detik cemas berkenaan, salah seorang penumpang yang dikenali sebagai Claudius memberitahu, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke Stesen Bhayendar.

Menurutnya, dia menaiki kereta api di Stesen Churchgate pada pukul 5.18 petang dan memasuki ruang kelas satu kereta api berkenaan.

“Semasa mencari tempat duduk, saya bertemu dengan seorang rakan, Joseph dan berbual dengannya.

“Selepas lebih sejam, kereta api yang saya naiki hampir tiba di Ste­sen Bhayendar menyebabkan saya mendekati pintu agar mudah untuk keluar kerana kea­daan penumpang yang penuh sesak,” katanya.

Namun, jelasnya, secara tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan kuat sebelum kereta api berkenaan bergegar dan dipenuhi asap tebal.

“Berhampiran tempat saya berdiri, dinding gerabak telah berlubang, manakala terdapat beberapa penumpang telah tercampak keluar selain ramai yang terbaring di atas lantai tidak bergerak.

“Baju Claudius yang turut tercampak ke lantai dipenuhi darah darah penumpang lain,” katanya.

Tambahnya, Claudius yang hanya mengalami cedera ringan dengan salah satu tangannya luka terbakar, manakala sebahagian rambutnya hangus dihantar ke hospital.

Dia turut mengalami lebam pada mata kanan selain gegen­dang te­linganya pecah.

Rakaman televisyen menunjukkan penumpang yang berlumuran darah dibawa oleh penumpang lain ke ambulans di Stesen Mahim.

Golongan atasan

Bom yang diletakkan di dalam periuk dan dibungkus di dalam beg itu disembunyikan di bawah helaian surat khabar dan payung di dalam kereta api berkenaan.

Bom berkenaan diletakkan di dalam kereta api kelas pertama ketika berada di Mumbai dan menjadikan golongan atasan Gujarati sebagai sasaran.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu, namun ia disyaki dilakukan oleh kumpulan pengganas Pakistan, Lashkar-e-Taiba.

Bagaimanapun, kerajaan Pakistan menafikan tuduhan bahawa Lashkar-e-Taiba merupakan pihak yang melakukan pengeboman itu.

Mumbai sering terdedah kepada letupan bom, termasuk kejadian tahun 1993 yang mengorbankan 250 orang dan lebih 1,000 cedera.

Sementara itu, Perdana Menteri India ketika itu, Manmohan Singh mengutuk serangan tersebut yang dianggapnya didalangi pengganas.

Menteri Dalam Negeri, Shivraj Patil pula berkata, pihak berkuasa memperoleh maklumat mengenai serangan itu tetapi gagal mengetahui lokasi dan bila ia akan berlaku.

Ekoran kejadian itu, seramai 12 suspek kejadian dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan membunuh, mencetuskan konspirasi dan mahu berperang dengan kerajaan.

Pada 30 September 2015, mahkamah India menjatuhkan hukuman mati terhadap lima orang tertuduh yang didapati bersalah merancang siri letupan bom kereta api di Mumbai pada tahun 2006.

Tujuh lagi tertuduh yang didapati bersalah kerana bersubahat dalam serangan tersebut pula dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah khas.