Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Ordinan lalu Lintas Jalan 1959 memperuntukkan bahawa menjadi suatu kesalahan apabila penunggang motosikal mengabaikan pemakaian topi keledar.

Dalam hal ini amat jelas peruntukan undang-undang berkenaan bukan untuk menyusahkan namun sebagai suatu jaminan terhadap keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal.

Menurut kajian yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), selain golongan dewasa, antara 500 hingga 1,000 orang kanak-kanak turut maut atau cedera setiap tahun kerana tidak mendapat perlindungan topi keledar ketika membonceng motosikal.

Malah, kajian menunjukkan sebanyak 97 peratus kanak-kanak yang membonceng motosikal tidak mendapat perlindungan keselamatan sepenuhnya.

Daripada jumlah itu, 37 peratus daripada mereka didapati menggunakan topi keledar dewasa yang tidak bersesuaian, 24 peratus menggunakan topi keledar permainan dan 36 peratus lagi tidak menggunakan sebarang topi keledar.

Keadaan ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia masih tidak peka akan isu keselamatan di jalan raya sehingga sanggup menggadaikan nyawa.

Kelas ketiga

Pakar Psikologi Trafik Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Rozmi Ismail berkata, tindakan segelintir masyarakat yang masih tidak mahu memakai topi keledar adalah disebabkan mempunyai mentaliti kelas ketiga.

“Ia dilihat kegagalan mereka menggunakan kuasa berfikir sebenar ke tahap maksimum, seimbang dengan kedudukan pemikiran yang boleh dianggap maju dan bertamadun.

“Tiga perkara iaitu aspek pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang apabila dicantum kesemuanya menunjukkan prestasi moral dan tingkah laku yang rendah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Rozmi, penunggang atau pembonceng yang enggan memakai topi keledar tidak peduli akan undang-undang dengan memberikan pelbagai alasan untuk mengelak daripada mematuhinya.

“Mereka ini tidak berfikir panjang sebaliknya hanya berpandukan apa yang dirasakan betul apabila bertindak.

“Segala langkah pencegahan menjadi sia-sia apabila mereka tidak mahu mengubah mentaliti dan membiarkannya berada di takuk lama,” ujarnya.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berpendapat, golongan yang tidak memakai topi keledar terlalu selesa dengan mentaliti kelas ketiga.

“Perkara ini berlaku kerana beranggapan bahawa mereka penunggang yang bernasib baik dan tidak akan ditimpa kemalangan.

“Pandangan sebegini amat berbahaya kerana mereka menidakkan risiko yang ada dan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Justeru, Lam Thye berkata, mentaliti kelas ketiga perlu diubah melalui pengetahuan dan keinginan.

“Mentaliti boleh diubah dengan pengetahuan dan keinginan. Dari sudut pengetahuan, masyarakat kita sudah didedahkan mengenai risiko keselamatan di jalan raya namun ia perlu dilakukan dengan lebih menyeluruh.

Teladan

“Selain itu, dari aspek keinginan, semaikan sikap mengutamakan keselamatan dari kecil lagi. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak bagi mengelakkan mereka meniru tingkah laku yang tidak sewajarnya,” katanya.

Lam Thye bersetuju bahawa isu pemakaian topi keledar adalah tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan secara bersama.

“Saya percaya bahawa pendidikan dan kempen kesedaran mengenai pemakaian topi keledar perlu dijalankan secara berterusan selain pengukuhan penguatkuasaan.

“Penguatkuasaan ini bukanlah untuk mendenda atau memberi pendapatan kepada kerajaan, tetapi untuk memastikan penunggang sentiasa selamat dengan mengambil langkah keselamatan,” katanya.

Malah, Lam Thye berkata, masyarakat boleh memainkan peranan dengan sentiasa mengingatkan antara satu sama lain.

Lam Thye menyeru kepada pengguna untuk mengambil iktibar daripada kes-kes kemalangan yang berlaku kerana 60 peratus kematian di jalan raya adalah melibatkan penunggang motosikal.