Dianggap sebagai haiwan suci dalam kalangan penganut agama Hindu, pemandangan tersebut membuktikan bahawa Muslim di Mithi mengamalkan toleransi keagamaan yang cukup tinggi berbanding komuniti Islam di seluruh Pakistan.

Pada saat minoriti yang beragama Hindu berdepan dengan diskriminasi dan provokosi hebat mengenai pegangan dan nilai agama mereka, Islam di Mithi sama sekali tidak begitu.

“Di sini (Mithi), Muslim cukup menghormati kepercayaan golongan Hindu. Mereka tidak menyembelih lembu sesuka hati di hadapan kejiranan Hindu semata-mata untuk menyakitkan hati kami yang beragama Hindu.

Deringan loceng

“Sebaliknya, mereka melakukannya (penyembelihan lembu) di kawasan terpencil agar jauh dari pandangan kami sekali gus mengelak ketegangan dan pertelingkahan daripada berlaku,” kongsi Sham Das, 72, seorang pesara.

Tidak seperti kawasan lain di Pakistan, lembu di Mithi menjalani kehidupan yang sangat baik. Haiwan itu makan sesuka hati dan tidur di atas jalan raya.

Sesekali, kereta dan motosikal yang melalui kawasan tersebut akan cuba mengarah pergerakan lembu secara berhemah.

Ada juga antara pengguna jalan raya yang sanggup menunggu dengan sabar sehinggalah lembu yang tidur bangun dan beralih dari jalan dengan sendirinya.

Toleransi antara Muslim dan Hindu di Mithi bagaimanapun tidak hanya berkisar mengenai lembu semata-mata.

Dihuni oleh 60,000 orang penduduk beragama Hindu yang juga mewakili kurang lima peratus populasi Hindu di Pakistan, kewajipan dan ritual keagamaan mereka juga tidak pernah diganggu.

Di Mithi, penduduk boleh mendengar deringan loceng dari Kuil Shri Krishna dibunyikan bersama sayup-sayup suara azan dari masjid yang jaraknya hanyalah dipisahkan oleh sebatang jalan.

Di situ juga, pemuda Hindu bebas berbual di sekitar bandar malah berdekatan masjid tanpa kerlingan bengis daripada pengawal keselamatan bertugas.

Sedangkan di bandar Karachi, yang terletak 300 kilometer dari Mithi, seluruh kawasannya sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa lengkap bersenjata.

Menurut seorang pendeta Hindu di Karachi, Vijay Kumar Gir, daripada 360 kuil yang dibina di bandar tersebut, terdapat kira-kira 12 buah sahaja lagi yang masih berfungsi.

“Kesemua kuil yang lain ditutup dan tanah dirampas. Semuanya gara-gara skeptikal penduduk Muslim di Pakistan yang menganggap penduduk Hindu adalah pro kerajaan India,” jelasnya.

Bersetuju dengan Kumar Gir, pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan, Marvi Sirmed berkata, tiga peperangan yang dilalui antara India dan Pakistan sejak tahun 1947 adalah punca utama kepada kurangnya toleransi antara perbezaan agama di kedua-dua negara.

“Kami di suruhanjaya sangat gembira dengan persefahaman yang terjalin di Mithi. Ia adalah satu-satunya kawasan tanpa laporan buruk berkaitan keagamaan dengan Muslim dan Hindu hidup dalam harmoni, malah saling bertukar manisan dan hadiah sempena perayaan masing-masing,” katanya.

Nilai positif

Berbangga dengan keamanan dan toleransi di tempat kelahirannya, Imam di Masjid Mithi, Allah Jurio menyifatkan bahawa Mithi adalah tanah yang penuh dengan nilai positif dan kasih sayang.

“Menurut pengkaji sejarah, bandar ini pada asalnya ditemui pada abad ke-16 oleh sekumpulan penganut agama Hindu yang sangat berhati mulia.

“Memandangkan ketika itu sedang berlaku peperangan, kumpulan mereka enggan terus beperang dan mengambil keputusan untuk tinggal di Mithi.

“Keluhuran hati mereka dapat dilihat apabila mereka sanggup tinggal di situ, meskipun Mithi pada ketika itu merupakan tanah tandus yang jauh dari bekalan air,” ungkapnya.

Tambahnya, disebabkan kawasan tersebut dibangunkan oleh pengorbanan dan sifat cinta akan keamanan, sifat tersebut menyerap ke dalam penduduknya sekali gus menjadikan Mithi sehingga kini cukup ideal dijadikan sebagai tanah penuh kesuburan, keindahan dan kasih sayang. – AFP