Sekiranya berkelapangan, ibu kepada tiga cahaya mata itu akan menghabiskan masa bersantai dan menerokai tempat-tempat tarikan pelancong.

Salah satu destinasi pilihan Smith adalah pantai di sekitar Pulau Sentosa. Lokasi yang terletak di selatan negara kepulauan itu menempatkan pelbagai tarikan seperti Universal Studio, SEA Aquarium dan The Merlion Tower.

Smith yang juga seorang doktor memaklumkan, dia sangat teruja untuk melawat pulau seluas 465 hektar itu selepas mengetahui percubaan perkhidmatan bas tanpa pemandu.

“Biasanya, saya suka berjalan kaki sahaja dari satu tempat ke satu tempat. Namun, disebabkan di sini terlalu panas, saya terpaksa menggunakan pengangkutan ini,” ujarnya.

Bas tanpa pemandu itu dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan, ST Engineering yang bertanggungjawab membangunkan teknologi bagi kegunaan komersial dan ketenteraan.

Syarikat berkenaan mendakwa, bas tersebut merupakan pengangkutan awam pertama di Asia yang beroperasi sepenuhnya tanpa pemandu.

Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sentosa, Quek Swee Kuan berkata, perkhidmatan bas tanpa pemandu adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan akses di kawasan tarikan pelancong itu.

“Semasa kami memulakan fasa baharu pembangunan Sentosa, kami ingin terus bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi.

“Ia juga platform untuk kami bagi menguji idea dan inovasi baharu bagi menjadikan Sentosa destinasi percutian bertaraf dunia,” jelasnya.

Pengunjung di Sentosa berpeluang mengelilingi pulau berkenaan secara percuma menggunakan perkhidmatan bas tersebut.

Petugas keselamatan

Bas yang boleh memuatkan antara 15 hingga 23 orang pada satu-satu masa itu akan melalui kawasan Siloso Point, Beach Station, Pantai Pahlawan, Pantai Tanjong dan Kelab Golf Sentosa.

Menariknya, penumpang boleh menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik itu menerusi aplikasi Ride Now Sentosa.

Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 40 kilometer sejam.

Meskipun bas berkenaan beroperasi tanpa pemandu, seorang petugas keselamatan akan berada di dalam kenderaan berkenaan bagi mengambil alih kawalan apabila diperlukan.

Ia juga dilengkapi dengan sistem amaran bagi memudahkan petugas keselamatan mengesan sebarang masalah yang timbul pada bas tersebut.

Perkhidmatan berkenaan beroperasi selama empat jam pada hari bekerja iaitu 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang.

“Bas tanpa pemandu ini mempunyai papan tanda pada bahagian depan bagi memudahkan pengguna jalan raya dan pejalan kaki mengetahuinya,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Perkhidmatan tersebut dalam tempoh percubaan bermula 26 Ogos lalu hingga 15 November depan.

Teknologi sensor

Menurut rancangan kerajaan, bas tanpa pemandu akan digunakan sepenuhnya di atas jalan raya Singapura menjelang tahun 2022.

Ketua Eksekutif, ST Engineering, Vicent Chong berkata, bas berkenaan dilengkapi dengan teknologi sensor terkini bagi membolehkannya beroperasi di persekitaran bandar kompleks.

“Dalam tempoh lima tahun, kami berharap perkhidmatan bas ini dapat mengangkut penumpang dari rumah ke stesen-stesen kereta api bawah tanah,” ujarnya.

Pengenalan bas tanpa pemandu itu merupakan sebahagian daripada usaha Singapura untuk memajukan sistem pengangkutan awamnya.

Pada tahun 2016, firma perisian Amerika Syarikat, nuTonomy menjadi syarikat pertama di dunia yang melakukan percubaan teksi tanpa pemandu di Singapura.

Setiausaha Tetap Pengangkutan, Loh Ngai berkata, teknologi kenderaan tanpa pemandu berpotensi mengubah sistem pengangkutan awam di negara berkenaan.

“Percubaan ini dapat memberi maklumat penting mengenai interaksi antara bas tanpa pemandu dengan pengguna jalan raya yang lain.

“Kami juga sedang berusaha untuk meningkatkan mobiliti bandar mengikut kesesuaian teknologi kenderaan tanpa pemandu,” ujarnya.

Singapura merupakan negara yang mempunyai kesesakan lalu lintas paling rendah berbanding bandar-bandar lain di Asia Tenggara.

Ia ekoran daripada lambakkan tol di atas jalan raya dan dasar-dasar kerajaan yang menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam.

Justeru, negara terbabit ingin menjadi peneraju teknologi tanpa pemandu sekali gus mengatasi masalah kekangan tanah dan kekurangan tenaga kerja.

Manfaat

“Kekangan pengangkutan darat dapat membantu kami menjadi pemain global dalam penyelesaian mobiliti bandar.

“Sebarang teknologi yang berjaya dilaksanakan di bandar ini mungkin dapat digunakan di bandar-bandar lain,” ujar Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan.

Dia memaklumkan, kenderaan tanpa pemandu boleh meningkatkan akses laluan pengangkutan awam.

“Teknologi ini akan memberi manfaat kepada warga emas, keluarga mempunyai anak kecil dan golongan yang pergerakannya terbatas.

“Ia juga mampu melengkapkan operasi perkhidmatan bas sedia ada sekali gus dapat menampung peningkatan penumpang pada waktu puncak,” ujarnya.

Mobiliti bandar yang sesuai di Singapura membolehkan syarikat-syarikat pemaju menguji kereta atau bas tanpa pemandu terhadap penjalan kaki, hujan lebat, pemandu agresif, penunggang basikal dan motosikal.

Pada Mac lalu, sebuah syarikat terkemuka, Volvo turut melakukan ujian bas tanpa pemandu di Kota Singa itu.

Bas sepanjang 12 meter yang dikenali sebagai AB 7900 itu adalah kenderaan elektrik bebas pencemaran selain mampu menjimatkan 80 peratus tenaga diesel.

“Kami sangat berbangga dapat mencuba bas elektrik tanpa pemandu ini di Singapura.

“Ia merupakan kunci penting bagi mewujudkan bandar lebih bersih, selamat dan pintar,” ujar Presiden Bas Volvo, Hakan Agnevall.

Direka dengan kerjasama universiti tempatan, Nanyang Techonological University (NTU), bas berkenaan menggunakan sensor dan kawalan navigasi terkini.

Sistem operasinya disokong oleh teknologi keselamatan siber bagi melindungi keselamatan pengguna.

Ia juga menggunakan kamera penglihatan stereo yang mampu mengesan imej secara tiga dimensi serta sistem satelit navigasi global.

Sistem satelit adalah selari dengan unit pengurusan inersia bagi mengukur laju dan pergerakan bas.

Situasi ini akan meningkatkan navigasi bas apabila melalui laluan tidak rata atau selekoh tajam bagi memastikan kelancaran perjalanan bas.

“Perjalanan ke arah penggunaan bas tanpa pemandu adalah kompleks. Kerjasama antara kami dengan NTU dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura dapat merealisasikan impian ini,” ujar Agnevall.

Buat masa ini, dua buah bas menjalankan ujian di Singapura yang digunakan dalam kampus NTU dan depot bas yang dikendalikan oleh Operator Pengangkutan SMRT.

“Bas 12 meter pertama tanpa pemandu di dunia ini akan mempromosikan sistem pengangkutan awam lebih selamat, cekap dan selesa kepada penumpang,” ujar Presiden NTU, Subra Suresh.