Semua sudah sedia maklum bahawa merokok adalah sesuatu perbuatan yang membahayakan kesihatan tetapi ia masih diterima oleh masyarakat.

Bahkan, kini menghisap rokok di khalayak ramai sama ada lelaki mahupun perempuan menjadi perkara biasa.

Justeru, cadangan Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Lee Boon Chye yang disiarkan Kosmo! pada 6 September lalu iaitu semua restoran dan tempat makan terbuka sebagai kawasan larangan merokok adalah kena pada masanya.

Pakar Sosiologi, Universiti Selangor, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi yang menyokong cadangan itu berpendapat, larangan itu harus diperkemaskan dengan diikuti tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

“Contohnya hukuman yang setimpal seperti denda melebihi RM5,000 atau menyuruh mereka melakukan kerja-kerja amal atau kedua-duanya sekali.

“Saya yakin lama-kelamaan mereka ini (perokok) akan serik untuk melakukan tabiat buruk itu di tempat awam. Paling penting pihak berkuasa mengambil serius hukuman ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di baru-baru ini.

Katanya, cadangan tersebut dilontarkan agar Malaysia bebas daripada asap rokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Sekadar kompaun

Lebih-lebih lagi, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2017, kini jumlah perokok yang berumur 15 tahun ke atas adalah sebanyak 4.7 juta orang.

Menurut Mohd. Zaidi, walaupun kerajaan sudah mewujudkan tempat larangan merokok tetapi tindakan sekadar kompaun RM250 di bawah Peraturan 11(1)(g) Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 tidak memberi kesan kepada perokok-perokok di Malaysia.

“Saya merasakan undang-undang itu masih longgar dan kurang pemantauan serius daripada pihak berkuasa,” jelasnya.

Antara tempat larangan merokok adalah hospital, sekolah-sekolah dan lapangan terbang.

Dalam pada itu, Mohd. Zaidi menjelaskan, daripada segi biologi sifat kebergantungan yang telah wujud dalam diri perokok menyebabkan mereka sudah tidak hiraukan risiko yang mendatang.

Oleh kerana itu, nasihat atau diletakkan gambar-gambar penyakit kronik di rokok tidak sesekali memberi kesan kepada mereka.

“Namun saya yakin dengan cadangan pihak kerajaan ini dan kerjasama semua masyarakat, jumlah perokok-perokok dapat dikurangkan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Dr. Mohd. Rafidi Jusoh berpandangan, larangan itu mampu mengurangkan bilangan masyarakat terbabit dengan masalah dadah di negara ini.

Membimbangkan

Ini berikutan katanya, rata-rata penagih dadah adalah seorang perokok dan perbuatan itu biasanya bermula daripada menghisap rokok.

“Larangan menghisap di tempat awam sebenarnya mengecilkan pendedahan rokok itu terhadap masyarakat terutamanya golongan remaja.

“Pendekatan untuk mengambil tindakan melarang hisap rokok di tempat awam memang membantu serba sedikit akan punca-punca terlibat dadah,” jelasnya.

Walaupun statistik dadah telah mencatat menurun pada tahun lepas iaitu 25,922 orang berbanding 30,844 orang pada tahun 2016, namun kita perlu berusaha menurunkannya pada kadar lebih minimum.

“Statistik itu sebenarnya membimbangkan pihak AADK. Biarpun jumlah keseluruhan menurun tetapi penglibatan dadah dalam kalangan remaja terus meningkat iaitu seramai 1,595 remaja berumur 16 hingga 19 terlibat dalam gejala dadah pada tahun 2017 berbanding 1,375 orang tahun 2016,” katanya.