Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, dua wanita menghampiri Jong-nam dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang telah disembur dengan cecair beracun.

Jong-nam meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di balai berlepas dan segera dihantar ke klinik KLIA2 sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya, Putrajaya.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Berita kematian dan setiap perkembangan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi tajuk utama media tempatan dan antarabangsa yang menyiarkan laporan daripada pelbagai sudut setiap hari.

Spekulasi mula berlegar mengenai motif pembunuhan apabila laporan media antarabangsa mendakwa Jong-nam yang hidup terasing daripada abang tirinya, Jong-un dibunuh oleh ejen-ejen Korea Utara.

Mengulas keberangan Korea Utara itu, Penganalisis Politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, tindakan pihak kedutaan itu tidak akan membantu melancarkan siasatan polis tetapi menyebabkan keadaan menjadi lebih rumit.

Sebaliknya, Korea Utara patut berterima kasih atas kecekapan PDRM melakukan tangkapan dan mengenal pasti senjata yang digunakan terhadap mangsa.

"Sekiranya tidak berpuas hati atau mempertikaikan siasatan polis Malaysia, Korea Utara perlu guna saluran diplomatik secara bijaksana dan bukannya mengeruhkan lagi suasana," katanya.

Pensyarah Universiti Malaya itu berkata, siasatan kes kematian itu melibatkan nama baik Malaysia dan sekiranya kes tidak disiasat secara telus, ia memburukkan imej Malaysia di mata antarabangsa.

Protokol

Awang Azman menambah, pihak Korea Utara masih mempunyai saluran yang sah untuk mempertikaikan siasatan polis termasuk proses perundangan mahkamah di Malaysia bagi menyaman segala ketidakpuasan hati mereka.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh PDRM adalah berdasarkan undang-undang sedia ada di negara ini untuk memelihara kesejahteraan dan keamanan rakyat termasuk rakyat asing yang berada di negara ini.

Malaysia telah menjalin hubungan diplomatik selama 44 tahun dengan Korea Utara sejak 30 Jun 1973.

Justeru, kedua-dua pihak perlu duduk berbincang menyelesaikan kes ini secara bijaksana dan tidak terlalu kerap berkonflik menggunakan media masing-masing.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan PDRM akan mematuhi protokol antarabangsa dalam menjalankan siasatan kes yang turut melibatkan Setiausaha Kedua, Kedutaan Besar Korea Utara, Hyon Kwang-song itu bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam.



REJIM komunis pimpinan Jong-un menghalang semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara.

Selepas 11 hari, PDRM mengesahkan bahan kimia berbahaya, Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate atau Agen Saraf VX digunakan dalam pembunuhan Jong-nam.

Dua suspek wanita iaitu Siti Aisyah, 25, pemegang pasport Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, wanita yang menggunakan pasport Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang bagi menghadapi pertuduhan membunuh Jong-nam pada 1 Mac lalu.

Selain itu, polis turut menahan seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara untuk membantu siasatan.

PDRM yakin tiga lelaki warga Korea Utara yang diminta tampil memberi keterangan kepada polis berhubung pembunuhan Jong-nam masih bersembunyi di Kedutaan Besar Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Mereka yang dicari ialah Kwang-song, 44, staf syarikat penerbangan Koryo Air, Kim Uk-il, 37, dan Ri Ji-u atau James.

Selain itu, pihak kedutaan tersebut menuntut kerjasama pihak berkuasa Malaysia menerusi siasatan bersama dengan PDRM berhubung kematian Jong-nam.

Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol pula menuduh kononnya Malaysia bersekongkol dengan musuh Pyongyang dalam kes pembunuhan itu.

Sengketa diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara semakin buruk apabila rejim komunis pimpinan Jong-un menghalang semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu kelmarin.

Keselamatan

Malaysia turut mengambil langkah serupa dengan menghalang diplomat dan kakitangan Korea Utara daripada meninggalkan negara ini berkuat kuasa serta-merta.

Menurut agensi berita Korea Utara, KCNA, tindakan itu bagi menjamin keselamatan diplomat dan rakyatnya di Malaysia sehingga kes pembunuhan Jong-nam selesai sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serentak dengan itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Korea Utara itu.

Pada masa ini, terdapat 11 rakyat Malaysia tinggal di Kedutaan Besar Malaysia di Korea Utara manakala jumlah rakyat Korea Utara di Malaysia adalah kira-kira 1,000 orang.

Kelmarin, Korea Utara mengisytiharkan Duta Besar Malaysia ke negara itu, Mohamad Nizan Mohamad sebagai persona non grata dan mengarahkan duta itu meninggalkan Korea Utara dalam tempoh 48 jam sebagai tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengusir Duta Besarnya di Kuala Lumpur, Kang Chol.