Ketika kami melintasi pintu pagar utama kebun tersebut, beberapa buah bangsal serta sebuah kolam kecil yang dibina berdekatan pokok-pokok dan tanaman dapat dilihat dengan jelas di kawasan yang berkeluasan 3.2 hektar itu.

Tidak semena-mena, imbauan suasana kebun seperti yang terdapat di kebanyakan kampung mula bermain di kotak fikiran kami.

Siapa sangka, di sebalik kepesatan pembangunan dengan bangunan-ba­ngunan konkrit di kawasan tersebut, tersembunyi sebuah kebun yang mempunyai lebih daripada 150 jenis tanaman dan herba.

Sambil memberi penjelasan ringkas mengenai kebun yang dikenali sebagai Kebun-Kebun Bangsar itu, Pegawai Perhubungan Awam Kelab Kebun Bandar, Jewel Ling, 30, bersama arkitek landskapnya, Lim Khim Joe, 27, membawa kami meninjau ke kawasan tersebut.

Pada mulanya, sukar untuk kami percaya apabila diberitahu kebun tersebut turut menanam padi.

Mana tidaknya, melihatkan struktur tanah dan kawasan yang tidak mempunyai takungan air seperti yang terdapat di kebanyakan bendang lain, mana mungkin tanaman tersebut boleh tumbuh dan hidup di kawasan itu.­

Biarpun begitu, kemusykilan tersebut sedikit demi sedikit terungkai sebaik melihat tiga orang-orang dan deretan petak sawah padi di lereng bukit kebun tersebut.

“Kewujudan Kebun-Kebun Bangsar ini merupakan inisiatif seorang arkitek landskap terkenal di negara ini, Ng Sek San. Ia mula beroperasi sejak perte­ngahan September lalu di bawah Kelab Kebun Bandar.

“Idea untuk mewujudkan kebun ini timbul selepas Sek San melihat tanah rizab rintis Tenaga Nasional Berhad ini tidak diusahakan sejak 50 tahun yang lalu,” jelasnya.

Ujar Jewel, sebagai arkitek landskap yang berpengalaman, Sek San terpanggil untuk memanfaatkan kawasan lapang tersebut kepada orang ramai selepas mendapat kebenaran daripada pihak bertanggungjawab.

Lebih menarik, kebun yang boleh dilawati setiap hari secara percuma itu dijadikan sebagai kebun komuniti.

Sawah padi

“Sekarang ini kita lihat keba­nyakan individu membesar di bandar dan tidak berpeluang untuk bercucuk tanam.­

“Justeru, kewujudan kebun ini secara tidak langsung mampu mendedahkan orang ramai terutamanya penduduk di bandar mengenai aktiviti berkebun.

“Di sini, individu bukan sahaja didedahkan dengan kepelbagaian jenis ta­naman, tetapi mereka juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman menanam dan menuai padi,” jelasnya.

Menurut Jewel lagi, biarpun baru sahaja lima bulan beroperasi, namun Kebun-Kebun Bangsar telah berjaya menanam dan menghasilkan lebih 150 jenis tanaman.

Antaranya ialah sayur bendi, cili, bayam, keledek, kangkung dan herba ginseng.

Lebih menarik, Kebun-Kebun Bangsar turut menempatkan satu kawasan khas yang diletakkan di kawasan lereng bukit untuk aktiviti penanaman padi.

“Seperti yang diketahui umum, padi kebiasaannya hanya di tanam di kawasan luas dan mempunyai sistem perairan yang baik seperti di sawah-sawah yang terdapat di kebanyakan kampung.

“Keadaan tersebut menyebabkan kebanyakan generasi muda pada hari ini tidak berpeluang untuk melihat dan menjejakkan kaki ke sawah padi. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang membesar di bandar,” jelasnya.

Menurut Jewel lagi, menyedari situasi tersebut, Kelab Kebun Bandar mengambil inisiatif untuk mewujudkan sebuah kawasan yang menempatkan penanaman padi di kawasan tersebut.

“Buat masa ini, Kebun-Kebun Bangsar dijaga oleh dua orang pekerja tetap yang dilantik oleh Kelab Kebun Bandar.

“Biarpun begitu, kami turut melibatkan penyertaan sukarelawan secara terbuka pada setiap hujung minggu yang mana mereka akan menguruskan kesemua hasil tanaman di sini.

“Disebabkan tapak ini dijadikan sebagai kebun komuniti, pembahagian kerja dilakukan mengikut keperluan semasa tanaman dan biasanya, mereka akan berganding bahu menguruskan setiap tanaman yang terdapat di sini,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut me­ngenai padi-padi yang ditanam di kawasan tersebut, Khim Joe menjelaskan Kebun-Kebun Bangsar memilih padi organik perang jenis MRQ74 untuk dita­nam di kawasan tersebut.

“Uniknya, padi-padi yang terdapat di kebun ini berbeza dengan padi yang ditanam di kebanyakan sawah yang lain kerana ia tidak menggunakan air yang banyak seperti sawah padi biasa.

“Sebaliknya, padi-padi ini hanya perlu di tanam di atas tanah biasa, sama seperti tanaman-tanaman lain. Di sini, kami menyediakan sebuah kawasan khas yang berkeluasan kira-kira 80 meter persegi untuk tanaman padi,” jelasnya.

Cerita Khim Joe lagi, teknik penanaman yang digunakan di kebun tersebut juga berbeza dengan tanaman padi-padi konvensional yang lain.

“Di sini, kamu cuba menggunakan teknik System of Rice Intensification (SRI) untuk pengurusan padi.

“Kami tidak menggunakan teknik konvensional 3T iaitu ta­nam, tinggal dan tuai seperti yang digunakan oleh kebanyakan petani di negara ini,” jelasnya.

Bukan komersial

Melalui penggunaan SRI, benih padi yang ditanam dapat dituai kira-kira sebulan lebih awal berban­ding teknik 3T.

Terang Khim Joe lagi, selepas padi tersebut ditanam di petak sawah, ia akan dibiarkan sehingga 125 hari sebelum dituai.

“Ini merupakan kaedah yang paling mudah, selamat dan praktikal digunakan setakat ini. Le­bih-lebih lagi di kawasan bandar yang tidak mempunyai sistem pengairan se­perti di kebanyakan sawah padi yang lain.

“Bukan itu sahaja, kaedah yang digunakan juga selamat dan tidak menyebabkan kerosakan pada struktur tanah memandangkan kami tidak menggunakan sebarang racun untuk membaja,” jelasnya.

Menurut Khim Joe lagi, ke­semua padi yang ditanam di situ bukanlah untuk tujuan komersial memandangkan hasil tuaian setakat ini masih lagi berskala kecil.

“Seperti yang saya jelaskan tadi, kewujudan Kebun-Kebun Bangsar ini bertujuan untuk mendidik dan memberi peluang kepada generasi muda di kawasan bandar pengalaman menanam padi.

“Disebabkan itu, kami tidak begitu mementingkan hasil padi yang diperoleh daripada tanaman tersebut.

“Bagaimanapun, buat masa ini, hasil daripada tanaman padi itu dijadikan sebagai sumber makanan bagi burung-burung di kawasan sekitar, manakala 20 peratus daripadanya pula akan dijadikan benih untuk penanaman padi yang berikutnya,” jelasnya.

Menurut Khim Joe, kesemua tanaman yang diperolehi tidak akan dijual atau diambil untuk kepentingan peribadi.

Sebaliknya, ia akan diberikan kepada individu-individu yang memerlukan.

“Sebenarnya, objektif utama Kebun-Kebun Bangsar ini bukan sahaja untuk mendedahkan ilmu pertanian kepada orang ramai.

“Sebaliknya, ia juga bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan melalui pemberian bekalan makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar secara tetap.

“Secara tidak langsung, kita dapat mendidik budaya memberi dalam kalangan generasi muda pada hari ini,” jelasnya.

Ujar Khim Joe lagi, setakat ini, pihaknya telah menjalankan kerjasama dengan beberapa sukare­lawan dan menyumbangkan hasil tanaman mereka kepada badan-badan bukan kerajaan yang terpilih seperti Dapur Jalanan, Pit Stop dan Komuniti Projek Peru­mahan Rakyat di Bangsar.

Kelab Kebun Bandar wujudkan kebun berkeluasan 3.2 hektar di Bangsar, Kuala Lumpur untuk beri pendedahan kepada warga kota mengenai ilmu pertanian terutamanya penanaman padi selain menyumbang hasil tanaman kepada individu yang kurang bernasib baik.

"Semua ini tidak mungkin akan dapat dilakukan tanpa kebenaran pemilik tanah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerusi Projek Kebun Kejiranan Local Agenda 21 dan juga sumbangan benih tumbuh-tumbuhan daripada Thinkcity.

"Bukan itu sahaja, sumbangan dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa daripada pelbagai lapisan masyarakat juga merupakan faktor utama kejayaan kewujudan Kebun-Kebun," jelasnya.