Sejarah membuktikan hubungan manusia dan tikus sebagai suatu hal yang kurang menyenangkan.

Epidemik Black Death yang mengorbankan 75 juta hingga 200 juta manusia merentasi benua Eropah pada abad ke-13 sebahagian besarnya berpunca daripada kuman yang dibawa oleh makhluk perosak ini.

Tidak kurang di Malaysia, setiap tahun pasti ada sahaja kes kematian disebabkan oleh jangkitan leptospirosis gara-gara mengambil makanan atau minuman yang dicemari kencing tikus.

Kuala Lumpur dikatakan menjadi syurga tikus apabila baru-baru ini akhbar Kosmo! melaporkan, sebanyak 78,000 ekor tikus ditangkap menerusi kempen 1 tikus RM3 sejak tahun 2012.

Angka itu hanyalah sejumlah kecil makhluk perosak yang berjaya ditangkap tetapi pasti terdapat ratusan ribu tikus yang masih terlepas dan memerlukan tindakan segera.

Pengerusi Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Hasmah Abdullah berkata, pertambahan populasi manusia mungkin menjadi penyebab pembiakan tikus.

Membiak

“Haiwan ini mempunyai kadar pembiakan yang cepat dan mudah beradaptasi dengan perubahan persekitaran.

“Bilangan populasi yang tinggi di Kuala Lumpur telah mendorong tikus untuk membiak dengan banyak kerana kewujudan pelbagai punca bagi mencari makanan serta tempat perlindungan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Hasmah, amalan pengurusan sisa yang tidak lestari, keadaan persekitaran, sistem sanitasi yang lemah dan longgokan sampah sarap turut mengundang kepada pembiakan tikus.

Justeru, selain kaedah seperti clean up, seal up dan trap up yang sering digunakan dalam operasi penghapusan tikus, masyarakat disarankan untuk mengubah tingkah laku mereka.

Hasmah memberitahu, menghapuskan punca makanan tikus di kawasan bandar akan membantu mengawal populasi pembiakan haiwan tersebut.

“Punca makanan tikus adalah berkait rapat dengan pengurusan sisa makanan. Jadi, menguruskan sisa makanan dengan berkesan adalah satu kaedah untuk menutup peluang kepada kehadiran tikus di persekitaran bandar.

“Amalan kitar semula sisa pepejal seperti sisa makanan diyakini boleh mencegah pencemaran persekitaran.

Dapur yang sentiasa bersih dan amalan penyediaan makanan yang baik dalam kalangan penyedia makanan sangat penting untuk mencegah kehadiran tikus di persekitaran premis menjual makanan.

“Masyarakat perlu memastikan sistem sanitasi sentiasa dalam keadaan baik kerana kehadiran tikus menjadi petunjuk kepada kegagalan itu.

“Malah, anak-anak kecil perlu diberikan kesedaran tentang bahaya tikus di persekitaran. Apabila mereka mempunyai kesedaran, ia secara tidak langsung akan menanam sikap tanggungjawab dalam diri mereka,” katanya.

Hasmah memberitahu, masyarakat akan mengalami penyakit berjangkit sekiranya pembiakan tikus tidak dikawal kerana keadaan iklim di negara ini memungkinkan penyebaran penyakit bawaan tikus dengan lebih cepat terutamanya selepas kejadian banjir.

“Longgokan sampah sarap selepas banjir menggalakkan penghijrahan tikus ke kawasan terkesan. Tikus sememangnya terkenal sebagai spesies haiwan yang menjadi punca penyebaran patogen zoonotik seperti bakteria, virus dan cacing,” ujarnya.

Tambah Hasmah, terdapat 35 jenis penyakit yang dikaitkan dengan spesies tikus di seluruh dunia yang boleh membawa maut.

Penyakit itu tersebar menerusi pelbagai cara sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti mengendalikan tikus, sentuhan dengan najis, air kencing, air liur atau gigitan tikus.

“Sentuhan langsung dengan tikus mengakibatkan penyakit hantavirus dan tularemia. Tikus juga boleh menyebarkan kutu yang boleh menyebabkan penyakit lyme dan babesiosis,” ujarnya.