Riak bangga jelas kelihatan di wajah tua itu. Siapa sangka, dalam masa tiga tahun, lelaki berasal dari Kerala, India ini mampu membina sebatang jalan selepas menarah sebuah bukit seorang diri.

Lebih menarik apabila lelaki kelainan upaya yang lumpuh seluruh bahagian kiri tubuhnya itu berjaya menarah bukit tersebut tanpa menggunakan sebarang pe­ralatan moden.

Sebaliknya, Sasi menggunakan seluruh kudrat yang dimilikinya, selain bantuan sebatang kapak dan cangkul.

Menurut Sasi, jalan tersebut merupakan laluan alternatif dan paling dekat digunakan penduduk kampungnya untuk ke bandar.

“Jalan yang ditoreh daripada bukit ini sepanjang 200 meter.

“Saya tidak menyangka mampu melakukannya seorang diri. Ini merupakan satu pencapaian paling berharga dalam hidup, lebih-lebih lagi dengan fizikal saya sekarang ini yang serba kekurangan,” jelasnya.

Sasi menjadi orang kelainan upaya sejak 45 tahun lalu selepas terjatuh daripada sebatang pokok kelapa.

Pemetik kelapa

“Ketika berumur 13 tahun, saya bekerja sebagai pemetik kelapa.

“Bagaimanapun, pada usia 18 tahun, saya tergelincir dari dahan kelapa dan jatuh ke tanah. Ekoran daripada hentakan kuat pada badan dan kepala, saya mengalami lumpuh di seluruh bahagian kiri tubuh.

“Biarpun begitu, saya masih bersyukur kerana bahagian kanan badan masih mampu berfungsi dengan baik,” katanya.

Menurut Sasi, kecacatan dialaminya itu menyebabkan dia terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai pemetik kelapa.

Dia kemudian mengambil upah sebagai penjual loteri di bandar.

Bagaimanapun, disebabkan keadaan fizikal yang serba kekurangan, dia menghadapi kesukaran untuk ke bandar.

“Saya tidak mempunyai pe­ngangkutan. Setiap hari, saya terpaksa bersesak di dalam bas untuk ke bandar.

“Keadaan tersebut menyebabkan saya mengambil keputusan untuk memohon bantuan skuter orang kelainan upaya daripada pihak berkuasa. Bagaimanapun apa yang menyedihkan, permintaan tersebut ditolak dan mereka memperlekehkan saya,” jelasnya.

Kecewa dengan situasi tersebut, Sasi terfikir salah satu cara yang mampu mempermudah dan memendekkan perjalanannya ke bandar adalah dengan membina jalan dengan membelah sebahagian bukit di hadapan kediamannya.

“Bermula dari saat itu, saya mengambil keputusan untuk me­nebuk bukit tersebut dan membina sebatang jalan untuk ke bandar,” jelasnya.

Bahan ketawa

Dengan menggunakan kudrat separuh badan yang dimilikinya, dia mula melakukan kerja-kerja penarahan bukit pada tahun 2013.

“Saya tahu saya boleh lakukannya. Setiap hari, saya akan memperuntukkan waktu selama enam jam untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

“Saya akan memulakan kerja pada pukul 5 pagi dan berhenti pada pukul 8.30 pagi, ketika matahari mula terpacak di atas kepala.

“Saya hanya akan menyambung kerja pada pukul 4 petang dan tamat ketika matahari terbenam,” ujarnya.

Dakwa Sasi, dia mengalami ba­nyak kecederaan, selain sering demam ketika pada awal proses penarahan bukit.

“Disebabkan badan sebelah sahaja yang berfungsi, saya menghadapi kesukaran untuk menyeimbangkan badan ketika melakukan kerja-kerja tersebut.

“Selain sering jatuh dan tergelincir, saya juga sering demam dan mengalami kekejangan badan.

“Biarpun begitu, kesemua itu dapat saya atasi sebaik kerja-kerja penararan memasuki bulan kedua,” jelasnya.

Bukan sekadar berdepan dengan ketidakupayaan diri, Sasi malah sering menjadi bahan ejekan jiran tetangga yang mendakwanya gila.

Siapa sangka, kerja keras yang dilakukannya berbaloi apabila sebahagian tersebut dapat ditarah dalam masa tiga tahun dan bertukar menjadi sebatang jalan.

“Jalan ini merupakan salah satu bukti bahawa orang kelainan upaya juga seperti saya mampu melakukan sesuatu di luar jangkaan,” jelasnya.

Lelaki lumpuh separuh badan yang berasal dari Kerala, India guna kudrat diri menarah sebahagian bukit di hadapan kediamannya menjadi sebatang jalan sepanjang 200 meter untuk ke bandar.