Disebabkan itu juga, ramai yang sanggup berhabis wang semata-mata kerana menginginkan rambut yang cantik.

Perkara tersebut turut menjadi pegangan hidup bagi seorang wanita yang berasal daripada Rusia, Alena Kravchenko, 33 tahun apabila mengambil keputusan untuk membiarkan rambutnya tumbuh panjang tanpa dipotong.

Menurut Kravchenko, kali terakhir dia memotong rambutnya adalah kira-kira 28 tahun lalu iaitu ketika dia berusia lima tahun. Keadaan itu juga menyebabkan dia kini mempunyai rambut dengan kepanjangan dua meter dan digelar sebagai Rapunzel iaitu satu karakter dongeng dari Jerman yang memiliki rambut panjang dengan kuasa sakti.

“Ketika kecil, ibu selalu bercerita kecantikan wanita terletak pada rambut. Jadi saya memegang kata-kata itu dan bertekad untuk membela rambut sehingga panjang.

“Walaupun kadangkala saya merasakan rambut ini menjadi bebanan dalam menjalani aktiviti harian, namun sehingga ke hari ini saya masih belum terfikir untuk memotongnya.

“Bagi saya, rambut panjang keperangan yang dimiliki ini bukan sahaja melambangkan identiti diri, malah menjadi kelebihan untuk berdandan apabila saya tidak perlu menggunakan bantuan rambut palsu,” jelasnya.

Tersadung

Menurut Kravchenko, ketika dia berusia 18 tahun, rambutnya sudah berada pada paras punggung,

Pada usia 20 tahun, rambut tersebut memanjang sehingga ke paras lutut dan ia kemudian berada pada paras kaki ketika usia mencecah 30 tahun.

“Pada mulanya semua berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Bagaimanapun ketika rambut tersebut sudah mula menjejak lantai, ia menjadikan kehidupan saya bertambah rumit.

“Saya kerap tersadung dan pernah beberapa kali terjatuh di hadapan orang ramai hanya kerana terpijak rambut sendiri. Sejak daripada saat itu, saya mula menyanggulnya bagi mengelakkan kejadian-kejadian memalukan berlaku,” jelasnya.

Ujar wanita ini lagi, rambut tersebut hanya akan dibiarkan terurai ketika hujung minggu atau menghadiri mana-mana majlis keraian sahaja.

“Walaupun menyanggul membuatkan kehidupan harian saya bertambah mudah, namun kepala saya akan berasa sakit dan berat. Mungkin akibat bebanan yang tertumpu pada satu bahagian sahaja,” tegasnya.

Bukan itu sahaja, Kravchenko juga menjalani rejim pembersihan rambut yang sangat teliti.

Dia tidak boleh membasuh rambutnya di rumah. Sebaliknya, ia perlu dilakukan di salon kecantikan dua kali seminggu.

Sarang kutu

“Rambut panjang menyukarkan saya membersihkannya dengan betul.

“Ia perlu dibantu oleh orang lain dan semestinya mereka yang pakar seperti pekerja salon. Saya tidak mahu ia menjadi sarang kutu,” jelasnya.

Disebabkan itu juga, Kravchenko mengakui terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang banyak hanya untuk rambutnya.

Biarpun begitu, dia langsung tidak mempedulikan kos tersebut kerana begitu menginginkan rambut yang cantik.

Cerita Kravchenko lagi, sepanjang 28 tahun memiliki rambut yang panjang, dia tidak terlepas daripada berhadapan dengan momen-momen lucu.

“Ramai yang terkejut apabila pertama kali melihat rambut saya.

“Ada yang meminta kebenaran ingin memegang dan ada juga yang bertanya adakah rambut ini palsu. Mungkin mereka tidak menyangka ada manusia yang berambut panjang seperti saya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dia juga turut disamakan dengan watak puteri Disney terkenal iaitu Rapunzel.

Kravchenko berharap agar dua orang anak perempuannya mewarisi rambut panjang yang dimilikinya itu suatu hari nanti.

Ibu kepada dua orang cahaya mata digelar Rapunzel kerana memiliki rambut berkepanjangan dua meter berwarna perang.