Asap kemenyan memenuhi ruang dan gesekan biola yang dimainkan seorang pemuzik mengiringi ritual itu. Setelah selesai, kumpulan itu yang diketuai pawang tersebut mula berarak ke pesisir pantai bagi memulakan upacara memuja pantai.

Ritual itu ialah perayaan Hari Moyang dan Puja Pantai yang disambut oleh suku kaum Mah Meri, salah satu masyarakat animistik yang masih kekal mengamalkan kepercayaan animisme di negara beraneka budaya ini.

Sekumpulan media termasuk K2 berkesempatan menyaksikan ritual unik itu baru-baru ini.

Mengikut cerita tradisi, kira-kira 200 tahun dahulu, sebuah tongkang yang membawa penumpang dan barangan terperangkap dalam ribut yang dahsyat di pesisir Pulau Carey, berhampiran Tanjung Rhu. Penduduk di situ tidak menyangka tongkang tersebut mampu selamat daripada amukan ribut berkenaan namun, tongkang itu kelihatan dibawa ke pantai oleh satu kuasa misteri.

Berikutan kejadian itu, penduduk percaya bahawa semangat yang dikenali sebagai Moyang Getah menyelamatkan tongkang itu dan penumpangnya. Ritual dilakukan untuk menghormati semangat tersebut.

Seorang Tok Batin suku itu, Daiman Peron berkata, Hari Moyang dipercayai oleh suku Mah Meri sebagai hari moyang-moyang mereka dari alam lain turun melawat bumi.

“Malam pertama, kita memanggil moyang untuk meminta izin bagi memulakan upacara itu. Ia bertujuan menjamin keselamatan, rezeki dan meminta restu serta panjang umur.

“Sepanjang malam, pawang dan pembantu akan berhubung dengan moyang. Pada hari berikutnya, perarakan akan dijalankan menuju ke pantai manakala perahu yang memuatkan makanan dibawa ke muara sungai. Di pantai, mereka akan mencampakkan bertih beras ke dalam air dan penduduk akan mempersembahkan doa kepada moyang,” katanya kepada K2 ketika ditemui di Pulau Carey.

Kenduri

Sewaktu perarakan, penduduk akan membawa objek yang dinamakan busu selain bendera pelbagai warna yang mewakili semangat-semangat moyang ke arah altar atau pentas yang terbina di pantai itu.

Upacara hanya dilakukan semasa air surut memandangkan altar setinggi tiga meter itu akan tenggelam semasa air pasang. Sewaktu ritual berlangsung, semangat moyang dipercayai akan ‘memberitahu’ mereka kawasan-kawasan yang bakal dilanggar bencana. Pawang kemudian akan menanda kawasan-kawasan itu dengan tiang bendera.

Tarian, nyanyian dan bacaan mantera mengisi ritual di altar itu sebelum diakhiri dengan kenduri yang disediakan oleh penduduk kampung. Antara hidangan yang disajikan ialah rendang burung puyuh. Ia dihidangkan untuk persembahan kepada semangat moyang sebelum dijamu peserta ritual.

Ritual itu diraikan oleh lebih 3,000 suku tersebut yang mendiami lima buah kampung di sekitar Pulau Carey yang terletak kira-kira 76 kilometer dari Kuala Lumpur. Orang ramai boleh memandu sehingga ke Telok Panglima Garang sebelum melalui jambatan untuk ke pulau itu.

Ritual tersebut diwarisi secara turun-temurun sekali gus menunjukkan kekuatan suku itu berpegang pada tradisi mereka.

“Generasi muda kini ada yang sudah bekerja jauh dari kampung. Minat mereka terhadap cara hidup dan seni Mah Meri juga kian berubah namun, kami cuba menyediakan generasi pelapis untuk mewarisi adat dan tradisi kami,” ujarnya.

Demi memastikan ritual itu tidak terhapus ditelan zaman, Daiman menurunkan pengetahuannya kepada anak lelakinya, Zaidi Daiman, 40. Cerita Zaidi, dia mula mengikuti bapanya mengadakan upacara tersebut seawal usia belasan tahun.

“Saya mula belajar secara serius pada usia 20-an. Antara yang dipelajari ialah proses upacara, pantang-larang dan bahan-bahan yang diperlukan.

“Antara pantang-larang pada hari upacara itu ialah kita tidak dibenarkan memetik daun dan menangkap ikan. Jika tidak, ia akan mengundang kemarahan semangat moyang.

“Itulah yang diingatkan orang dulu-dulu. Namun, sekarang boleh dikatakan peraturan itu sudah sedikit longgar,” ujarnya yang bekerja sebagai operator mesin di sebuah syarikat perladangan.

Akui Zaidi, generasi muda kini memang kurang berminat dengan aspek-aspek tradisional suku itu.

“Kita tak tahu mengapa berkurang minat mereka, mungkin mereka takut dengan aspek-aspek mistik berkaitan ritual tersebut,” ujarnya.

Selain daripada ritual unik itu, Mah Meri terkenal dengan ukiran topeng muka kayu yang penuh estetika. Tanggungjawab mewarisi seni ukiran itu turut digalas oleh isteri Zaidi.

Cabaran

Amalan tradisi yang lain oleh masyarakat itu termasuklah berhubung perkahwinan. Perkahwinan mereka adalah aturan keluarga dan tiada konsep perceraian.

Bermakna, mereka berkahwin sehingga mati. Jika salah satu pasangan meninggal dunia, yang hidup perlu meminta izin kepada keluarga pasangan yang mati jika ingin berkahwin lain.

Dari segi pakaian tradisional pula, suku kaum ini memakai pakaian diperbuat daripada kulit kayu terap dengan dihiasi anyaman daun nipah.

Sementara itu, Pengarah Kampung Budaya Mah Meri, Rashid Esa berkata, walaupun ritual itu sering mendapat perhatian pelancong, hakikatnya suku Mah Meri berdepan dengan dua cabaran yang memberi kesan terhadap kelangsungan budaya unik mereka.

“Pertama dari sudut alam, pantai di mana ritual itu berlangsung semakin ‘menghilang’. Tahun lepas, pantai ini lebih luas dan redup, kali ini pantai lebih kecil dan banyak kayu tumbang.

“Kedua, cabaran daripada manusia sendiri. Sebagai contoh, kawasan ini terkesan dengan pembangunan, malah menjadi tempat buangan bahan seperti batu-batuan yang menyukarkan ritual suku Mah Meri,” jelas Rashid yang sudah bersama-sama dengan suku itu selama 30 tahun.

Katanya, pembangunan di kawasan itu perlu mengambil kira keadaan dan sensitiviti suku itu terlebih dulu. Dia merujuk kepada pelan pembangunan pulau berkenaan yang melibatkan sebuah pelabuhan dan projek bandar maritim.

Dalam arus pemodenan, Orang Asli suku Mah Meri di Pulau Carey, Selangor terus mengekalkan tradisi dan budaya ritualnya yang diwarisi ratusan tahun biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran daripada alam dan manusia.