Kanak-kanak tersebut kelihatan lemah tetapi ibunya, Noramiza Mohd. Amin, 28, menyangka anak sulungnya itu demam biasa.

Susulan daripada situasi itu, dia segera memberikan kanak-kanak berusia setahun enam bulan tersebut sirap parasetamol bagi menurunkan suhu badannya.

Pada keesokan harinya, kanak-kanak itu tidak mahu makan dan minum serta tidak boleh tidur.

Suhu badannya masih menunjukkan tanda demam dan Noramiza mendapati terdapat luka (ulser) pada mulut selain ruam merah berisi air pada bahagian tangan anaknya.

Bimbang melihat keadaan anaknya, Noramiza dan suami telah membawa Mohammad Nor Aqil Zayan ke UiTM Private Specialist Centre di Sungai Buloh, Selangor untuk menjalani ujian darah.

“Doktor mengesahkan anak saya menghidap penyakit tangan, kaki dan Mulut (HFMD). Dia perlu ditahan wad kerana buah pinggangnya kering akibat kekurangan air.

“Selepas dimasukkan air, dia dibenarkan pulang pada keesokan harinya dan diberikan ubat tahan sakit serta parasetamol,” kata wanita yang tinggal di Sungai Buloh, Selangor itu.

Semasa tempoh pemantauan di rumah, Noramiza perlu memastikan anaknya itu minum air yang mencukupi dan memberi makanan yang digemarinya selain menjaga kebersihan rumah.

Pakar Pediatrik dan Neonatologi UiTM Private Specialist Centre, Dr. Masri Muhamed berkata, HFMD adalah penyakit endemik yang disebabkan oleh enterovirus dan dua virus utama iaitu Coxsackie A16 dan Enterovirus-71 (EV71).

“HFMD bermula dengan demam serta mengalami ruam merah pada tapak tangan atau kaki dan berkemungkinan menjadi lepuh.

“Lepuhan juga boleh berlaku di dalam mulut kanak-kanak sehingga mereka mengalami hilang selera makan dan minum serta menyebabkan nyahhidrat atau kekeringan badan,” katanya ketika ditemui di Sungai Buloh baru-baru ini.

Jangkitan ringan

Beliau menegaskan, kanak-kanak yang menghidap HFMD perlu dirujuk untuk pemeriksaan di klinik atau hospital bagi pengesahan dan notifikasi.

Jelas beliau, HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan ia akan sembuh dengan sendiri.

“Namun, segelintir pesakit HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak (ensefalitis), paru-paru, jantung dan boleh menyebabkan sawan.

“Kematian akibat HFMD berlaku apabila pesakit tidak mendapatkan rawatan di peringkat awal,” ujarnya.

Statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan menunjukkan jumlah kumulatif kes HFMD bermula 1 Januari sehingga 9 Ogos lalu menunjukkan sebanyak 44,202 kes dan mencatatkan dua kematian, masing-masing satu kes di Sarawak dan Pulau Pinang.

Masri menambah, penyakit ini mudah menjangkiti kanak-kanak di bawah usia lima tahun kerana sistem imun yang rendah memudahkan virus itu merebak melalui sentuhan langsung.

“Virus akan tersebar daripada pesakit kepada individu lain khususnya kanak-kanak apabila mereka menyentuh cecair lepuhan atau najis pesakit.

Rawatan khusus

“Lelehan air liur atau hingus dan bersentuhan dengan permukaan atau barang yang telah dijangkiti virus juga boleh menyebabkan mangsa terkena jangkitan HFMD,” tambahnya.

Diagnosis pesakit HFMD dilakukan berdasarkan gejala serta tanda klinikal penyakit tersebut dan ujian makmal kebiasaannya tidak diperlukan.

Bagaimanapun, menurut Masri, tiada ubatan atau rawatan khusus untuk membunuh virus penyakit ini tetapi rawatan pencegahan adalah lebih penting.

“Rawatan yang diberi hanya untuk mengurangkan suhu badan atau demam dengan memberikan parasetamol dan ibuprofen.

“Jangkitan penyakit ini selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan ia akan sembuh dengan sendiri dalam tempoh 10 hari apabila ketahanan atau imuniti tubuh terbentuk.

“Apabila semua simptom HFMD sudah kering, maka pesakit disahkan sembuh daripada penyakit tersebut,”ujarnya.

Justeru, beliau berkata, ibu bapa perlu kuarantin anak yang dijangkiti HFMD selepas disahkan menghidap penyakit itu.

Pemantauan terhadap anak perlu dilakukan dengan memastikan mereka sentiasa mencuci tangan dengan cara yang betul selain sentiasa mencuci barangan permainan yang digunakan oleh anak yang dijangkiti HFMD.

Ibu bapa juga perlu mengambil langkah pencegahan dengan memastikan persekitaran rumah sentiasa dalam keadaan bersih.

Hal ini kerana pencegahan adalah untuk memutuskan rantaian jangkitan daripada terus menular.

Tambah Masri lagi, orang dewasa juga boleh dijangkiti, namun golongan ini mempunyai sistem imun yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak tetapi boleh menjadi teruk sekiranya ia menjangkiti warga emas atau pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan HIV.

Tutup premis

Mengulas lanjut, beliau berkata, HFMD tidak sama seperti campak yang tidak akan menjangkiti semula pesakit.

Hal ini kerana HFMD berpunca daripada beberapa jenis virus dan boleh menjangkiti semula pesakit tetapi mereka tidak akan dijangkiti dengan virus yang sama.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Norita Shamsudin berkata, premis taska, tabika, tadika, pusat asuhan dan prasekolah perlu maklum tentang gejala HFMD dan mematuhi arahan penutupan premis apabila dua kes HFMD dilaporkan.

“Pegawai yang diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terlebih dahulu akan memeriksa keseluruhan premis termasuk kanak-kanak yang berada di dalam premis bagi mengesahkan terdapat jangkitan penyakit HFMD.

Setelah pemeriksaan dijalankan dan terdapat risiko jangkitan HFMD kepada kanak-kanak lain, maka kelas atau keseluruhan premis tersebut akan diarah tutup buat sementara waktu atau sebaliknya, bergantung kepada penemuan siasatan,” katanya ketika ditemui pada Program Pengukuhan Pencegahan dan Promosi Kesihatan HFMD anjuran kementerian berkenaan di Putrajaya.

Jelas beliau, sekiranya premis diarahkan tutup, ia mesti mematuhi Prosedur Operasi Piawai penutupan premis di bawah Akta 342 dan tempoh penutupan adalah selama 10 hari iaitu selama tempoh pengeraman (incubation period-IP) penyakit HFMD iaitu dalam tempoh tujuh hari.

“Satu salinan arahan perintah penutupan akan diserahkan kepada pengusaha atau guru dan satu notis penutupan ditampal di pintu masuk kelas atau di pintu pagar premis.

“Pihak pengusaha atau guru kelas juga akan diberi satu salinan kebenaran membuka semula premis setelah tamat tempoh penutupan yang ditetapkan,” tambah beliau.

Sesebuah premis juga boleh ditutup berulang kali sekiranya terdapat risiko penularan penyakit.

Ujar Norita, tujuan penutupan adalah bagi menjalankan aktiviti pembersihan premis dan mengelakkan jangkitan HFMD terus merebak kepada kanak-kanak lain.

Bagi pengusaha dan guru taska, tabika, tadika, pusat asuhan atau pra-sekolah yang tidak mematuhi arahan penutupan, jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-keduanya.