Pelaksanaan ibadah itu lazimnya mengambil tempat di kediaman mentuanya di Taiping, Perak.

Bermula empat tahun lalu pula, beliau yang juga Pengarah Urusan SHRF Food Industries Sdn. Bhd. terfikir untuk memproses daging-daging korban keluarganya menjadi pek sedia dimakan di kilang miliknya.

“Tujuan saya supaya daging korban dapat disedekahkan kepada lebih ramai orang. Golongan gelandangan misalnya mungkin mengalami masalah tiada peralatan atau ramuan untuk memasak.

“Ia juga boleh diberi kepada mangsa banjir atau golongan yang ditimpa musibah seperti kebakaran dan sebagainya,” ujarnya kepada K2 ketika ditemui di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam hal ini, sejak empat tahun lalu, ibu kepada lima cahaya mata itu akan menyisihkan 80 hingga 100 kilogram (kg) daging untuk dimasak rendang, dendeng, lada hitam dan kari setiap kali melakukan ibadah korban.

Lebih istimewa tahun ini, beliau dapat menjalin kerjasama dengan Food For Hunger Organisation (F4H) di bawah Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) untuk memproses daging lembu yang dikorbankan sepanjang Hari Raya Aidiladha.

“Setiap pek mengandungi 200 gram daging kari berkuah sedia dimakan dan boleh dinikmati dua hingga empat orang yang enak dimakan bersama nasi atau dicicah roti.

“Alhamdulillah saya telah lama menunggu peluang kerjasama sebegini dan saya niatkan sebagai fardu kifayah dan infaq kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya yang terlibat dalam bisnes makanan selama 20 tahun.

Pengerusi F4H, Siti Najeeha Zaini berkata, pihaknya menyasar mengedar 115,500 pek daging melibatkan kira-kira 150 lembu korban yang akan disumbangkan ke masjid-masjid di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Penyembelihan

Penyembelihan akan dijalankan pada 11 hingga 13 Zulhijjah di pusat veterinar di Shah Alam yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Daripada satu bahagian korban, 110 pek daging boleh dihasilkan. Ia turut akan diedarkan ke kawasan yang ditimpa bencana dan ke kawasan pedalaman yang sukar dimasuki.

“Bungkusan daging ini akan turut boleh diedarkan pada bila-bila masa di lokasi memerlukan bukan sahaja di Malaysia, malah ke luar negara seperti Syria, Palestin, Yemen, Kemboja dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kaedah yang digunakan itu menggantikan sistem pembungkusan dalam tin yang dilaksanakan sebelum ini kerana sifat pek yang ringan serta mudah dibawa. Makanan yang ditinkan juga sukar disimpan selain dikhuatiri rosak apabila tin berkarat atau kemik.

Dalam perkembangan terkini, testimoni pek daging itu telah diberikan kepada beberapa kumpulan penduduk Kemboja baru-baru ini dan terbukti sangat memudahkan penduduk terbabit kerana mereka mengalami masalah bekalan elektrik, gas dan air yang terhad untuk menyimpan bahan mentah seperti daging.

Amal jariah

Menurutnya, pengedaran pek daging tersebut dijangka dapat diedarkan kepada orang ramai September ini. Proses pengedaran mengambil sedikit masa kerana semua daging korban akan dikumpulkan terlebih dahulu sebelum dihantar untuk pembungkusan.

Tambahnya, bahagian tulang dan organ lain haiwan korban akan dimasak oleh sukarelawan YDKMM seterusnya diagihkan ke beberapa kawasan tumpuan seperti di stesen minyak, plaza tol, pasar raya, rumah orang tua serta anak yatim di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Kesemua aktiviti ini merupakan sebahagian daripada program Qurban Care For Ummah (QC4U) yang turut mengadakan sembelihan biasa di Bangui, Republik Afrika Tengah; Aden, Yemen dan Kaherah, Mesir bagi membolehkan masyarakat setempat yang daif menikmati bahagian daging mentah segar.

Siti Najeeha berkata, orang ramai yang ingin menjayakan program tersebut boleh menyalurkan bantuan menerusi sumbangan wang tunai untuk kos pembungkusan serta pengedaran pek daging korban tersebut.

Buat julung-julung kali, kumpulan nasyid popular tanah air, Raihan selaku ikon program QC4U turut terlibat dalam kempen dan mempromosi usaha kebajikan itu.

Wakilnya, Che Amran Idris berharap, penyertaan mereka dapat meningkatkan kesedaran kepada orang ramai untuk beramal jariah menerusi platform tajaan pek korban.

“Alhamdulillah ini kali pertama kami bekerjasama dengan pertubuhan dan yayasan yang mengendalikan pengedaran pek korban dalam bentuk sebegini.

“Kami berpendapat ia merupakan idea yang bagus serta sesuai dengan keperluan masyarakat moden hari ini.

“Mudah-mudahan program ini dapat menarik minat masyarakat membantu dalam pelbagai cara mengikut kemampuan termasuk dari aspek tenaga dan kepakaran,” tuturnya.

Teknologi

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah SHRF Food Industries Sdn. Bhd. yang juga bertanggungjawab dalam bidang Pembangunan dan Penyelidikan, Syed Ariff Fathillah Syed Abdul Rahman menjelaskan, pembuatan pek-pek tersebut menggunakan teknologi mesin dari Jerman.

Jelasnya, setelah dimasak, ia akan melalui proses pensterilan kantung retort untuk membasmi kuman. Pek terlibat mampu bertahan sehingga dua tahun dan tidak mengandungi bahan pengawet.

“Proses pensterilan itu menggunakan suhu setinggi 121 darjah Celsius selama 45 minit untuk membasmi kuman. Ia kemudiannya akan direhatkan selama 1 jam 30 minit sebelum dikeluarkan dari mesin.

“Setelah itu, pek itu akan dikuarantin selama dua minggu di dalam bilik khas untuk melihat tindak balas kantung retort sama ada dalam keadaan baik atau sebaliknya. Ada ketikanya pek akan menggelembung dan makanan menjadi rosak hanya disebabkan satu lubang sebesar jarum,” katanya.

Menjelas lanjut, olahan resipi kari dibuat tidak begitu pedas agar sesuai dinikmati pelbagai golongan, selain menggunakan santan sawit.

Ini kerana penggunaan santan biasa didapati kurang sesuai kerana komposisinya berubah dan menjadi pecah minyak apabila berada pada suhu tinggi semasa proses retort.

Teknologi itu mula diperkenalkan di syarikat tersebut sejak tahun 2016 dengan kapasiti pengeluaran 200,000 pek sebulan atau kira-kira 4,000 pek sehari.

Syarikat tersebut turut merupakan pengeluar dan pengilang lebih 40 jenis produk daripada empat kategori makanan iaitu sedia untuk dimakan, sedia untuk dimasak, pes masakan dan lain-lain.

Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia menerusi program Qurban Care For Ummah menyasar untuk edar 115,500 pek daging korban sedia dimakan kepada golongan memerlukan di dalam dan luar negara.