Kata wanita berusia 26 tahun itu, dia tidak pernah menyangka akan berdepan episod duka yang benar-benar menguji ketabahannya sebagai seorang wanita.

“Tidak ada sesiapa pun yang mahu bercerai selepas berkahwin, namun saya terpaksa mene­rima bahawa inilah takdir yang tertulis buat saya,” ujar Nura sambil melemparkan senyuman kelat.

Cerita Nura, perkenalannya dengan bekas suami, Amir (bukan nama sebenar) bermula semasa dia menjalani latihan industri di sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Ketika itu, Nura tahu Amir yang merupakan ketua jabatan di situ berminat untuk berkenalan dengannya, namun Nura jual mahal kerana tidak berminat untuk menjalin hubungan cinta semasa sedang menjalani latihan industri.

“Fokus saya ketika itu hanya untuk menyelesaikan latihan industri, namun saya akhirnya lembut hati dan menerima salam perkenalan Amir kerana dia bersungguh mahu berkenalan dengan saya,” ujar Nura memulakan bicara.

Terima lamaran

Selepas berkenalan dengan Amir, Nura mendapat tahu bahawa Amir sudah bersedia untuk berkahwin dan berharap agar Nura boleh me­nerimanya sebagai suami.

Hati wanita Nura tersentuh dan mereka ­akhirnya berkahwin pada tahun 2015.

Perkahwinan yang dibina cukup bahagia. Dia juga menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dengan baik, menjadikan Nura semakin jatuh cinta terhadap suaminya itu.

Begitupun, episod bahagia Nura ternyata cuma seketika apabila bekas kekasih Amir, Fatin (bukan nama sebenar) muncul semula dalam hidup lelaki itu.

Menurut Nura, Fatin sebelum ini menjalin hubungan cinta dengan Amir selama lima tahun, namun terputus akibat satu salah faham.

“Amir jujur dengan saya dan dia tidak sedikit pun merahsiakan tentang hubungannya dengan Fatin sebelum ini.

“Menurut Amir, dia cukup menyayangi Fatin, namun Fatin berkahwin dengan pilihan ke­luarganya dan kini mempunyai seorang anak lelaki,” ujar Nura.

Namun, perkahwinan Fatin musnah selepas mendapat tahu bekas suaminya terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Mereka kemudian bercerai dan Fatin kemudian terserempak dengan Amir ketika sama-sama menjamu selera di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor.

Mereka kemudian bertukar-tukar cerita dan Amir mengakui pertemuannya ­dengan Fatin telah membuatkan dia terkenang kisah lama.

Mereka kemudian kembali berhubungan dan menjadi semakin rapat. Fatin juga meluahkan hasrat sanggup bermadu dengan Nura kerana masih belum mampu melupakan Amir.

“Ketika itu, saya nampak Amir serba salah, namun saya hargai sikapnya yang jujur dengan saya. Amir sedikit pun tidak berselindung tentang perasaannya terhadap Fatin.

“Fatin pula merupakan seorang wanita yang cantik dan lemah lembut. Sebaik sahaja diper­kenalkan dengan Fatin, saya faham kenapa Amir sukar melupakan wanita itu kerana dia cukup sempurna di mata saya, jauh berbeza dengan saya,” jelas Nura dalam nada sedih.

Nura bersetuju untuk dimadukan kerana percaya Amir mampu bersikap adil. Amir kemudian berkahwin dengan Fatin awal tahun lalu.

Biarpun sudah beristeri dua, layanan Amir terhadap Nura masih sama. Dia masih menghantar jambangan bunga kepada wanita itu setiap hari dan apabila mereka keluar, Amir akan memegang tangan Nura penuh romantis.


Layanan baik

“Biarpun dilayan dengan baik, hati saya terseksa kerana saya tahu, hanya jasad Amir di sisi saya, hatinya tetap mencintai Fatin.

“Ia kerana rakan baik Amir pernah memberi­tahu saya bahawa Amir bersungguh-sungguh memikat saya kerana mahu melupakan Fatin.

“Kini, dia sudah menikahi Fatin. Buat apa lagi dia menyimpan saya? Mungkin dia hanya kasihankan saya,” ujar Nura sambil menangis.

Tidak sanggup melukakan hati sendiri, Nura akhirnya meminta agar dilepaskan. Dia tidak sanggup melihat kebahagiaan Amir dengan Fatin dan mahu melupakan bekas suaminya itu.

“Pada mulanya, Amir enggan melepaskan saya dan buat pertama kalinya, saya lihat air mata lelaki Amir gugur saat dia melafazkan cerai terhadap saya.

“Ketika itu, saya rasa amat sedih, namun pada masa yang sama saya rasa lega kerana tidak lagi menyeksa Amir dan hati sendiri,” ujar Nura.

Kini, wanita itu sudah berhenti kerja di ibu kota dan pulang semula ke kampungnya yang terletak di selatan tanah air.

Jelas Nura, biarpun terlalu sedih, dia percaya jodohnya bersama Amir hanya setakat itu sahaja. Dia juga berharap agar lelaki lain di luar sana tidak ‘menyeksa’ wanita sepertinya hanya kerana mahu melupakan bekas kekasih.

“Saya berharap agar lelaki di luar sana janganlah berkahwin dengan seseorang hanya kerana mahu melupakan bekas kekasih.

“Hal ini kerana ia akan menyebabkan isteri yang dinikahi tanpa cinta itu terseksa,” ujar Nura sambil menutup bicara.