“Mungkin ramai menganggap saya seorang anak yang teruk kerana membenci bapa sendiri.

“Mereka mungkin tidak mengerti kerana tidak berada di tempat saya dan tidak melalui semua yang saya alami selama ini,” demikian luahan hati Sarah kepada kru Panorama.

Mengimbau kembali, Sarah memberitahu, dia cukup bersyukur ibunya yang dipanggil mama bercerai dengan bapanya dua tahun lalu.

Baginya, beban yang ditanggung wanita itu akibat bersuamikan lelaki ‘tak guna’ seperti bapanya sudah terlalu berat dan perceraian itu benar-benar melegakan hati Sarah.

“Saya tahu Tuhan membenci perceraian, namun mama sudah terlalu lama menanggung derita dengan sikap ayah yang tidak habis-habis curang dengan begitu ramai wanita,” tutur gadis berambut panjang itu.

Membuka cerita, Sarah memberitahu, ibu dan bapanya berkahwin 23 tahun lalu atas dasar cinta. Pertemuan empat mata di rumah kenalan mereka membibitkan perasaan sayang, lalu mereka pun mendirikan rumah tangga.

Menurut Sarah, ibunya pada ketika itu bekerja sebagai pegawai di sebuah bank di ibu kota dan merupakan seorang isteri yang cukup taat terhadap perintah suami.

Ambil kesempatan

Sebaik sahaja mendapat tahu isterinya merupakan seorang wanita yang cukup baik, Shahir mengambil kesempatan terhadap wanita itu dan meminta gaji isteri untuk kegunaannya.

Akur dengan perintah suami, ibu Sarah tanpa banyak soal akan memberikan semua gajinya kepada Shahir dan ia berterusan sehingga bertahun-tahun lamanya.

“Sudahlah mengambil wang mama, bapa juga hanya memberikan nafkah yang amat sedikit dan tidak bersesuaian langsung dengan jawatannya sebagai seorang pengurus besar di sebuah syarikat swasta terkenal,” jelas Sarah.

Semasa Sarah menginjak usia lapan tahun, dia mendapat tahu bapanya mula curang dengan salah seorang gadis yang menjalani latihan praktikal di syarikatnya.

Gadis itu sememangnya cantik dan cukup pandai menggoda. Shahir mula berani pulang lewat atas alasan sibuk bekerja, walhal dia sebenarnya menghabiskan masa dengan gadis itu di sebuah kondominium yang disewa untuk gadis berkenaan.

Mereka kerap berselingkuh dan semuanya dalam pengetahuan isterinya. Sebagai seorang isteri, ibu Sarah sedikit pun tidak menghalang bapanya berkahwin lain.

Bagaimapun, Shahir hanya mahu berseronok sahaja dengan teman wanitanya.

Berseronok

Tidak cukup dengan gadis itu, Shahir juga mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang rakan universitinya yang merupakan isteri orang.

“Bapa sudah tidak kisahkan dosa dan pahala, sebaliknya dalam fikiran dia hanya mahu berseronok dengan wanita tanpa mengira status mereka.

“Perangainya benar-benar menjijikkan dan saya mula membencinya,” ujar Sarah.

Selepas isteri orang itu memutuskan hubungan dengan Shahir, lelaki miang itu berpacaran pula dengan seorang janda yang dikenalinya semasa lawatan kerja di Jakarta, Indonesia pada tahun 2011.

Hubungan tersebut berlanjutan sehingga tahun 2014, namun Shahir tetap enggan menikahinya kerana dia hanya mahu berseronok dan berasa diri hebat apabila dikelilingi ramai wanita.

Pada masa sama, Shahir masih meminta wang gaji isterinya dan menggunakan kesemuanya untuk berseronok dengan wanita lain.

“Memang mama dan bapa sering bertengkar kerana kecurangan tersebut. Ini menyebabkan saya berasa sedih.

“Sudahlah saya anak tunggal dan tiada tempat untuk mengadu tentang sikap dan perangai bapa yang benar-benar menguji kesabaran kami sekeluarga.

“Bapa juga enggan menceraikan mama, mungkin kerana dia memang seronok melihat isterinya terseksa. Mungkin juga kerana masih mahu menggunakan wang mama,” jelas Sarah.

Kemuncak pertengkaran mereka apabila lelaki itu diketahui bercuti di luar negara dengan salah seorang kenalan wanitanya semasa ibu Sarah jatuh sakit.

“Ketika itu, saya cuba menghubungi bapa kerana mahu memintanya untuk menghantar mama ke hospital namun panggilan saya tidak dijawab.

“Akhirnya saya mendapat tahu yang bapa sedang berseronok di Perancis bersama seorang kenalan wanita baharunya,” dedah Sarah.

Tidak tahan lagi, Sarah mendesak ibunya supaya meminta cerai daripada Shahir dan akhirnya mereka berpisah.

Memandangkan Sarah melihat sendiri bagaimana terseksanya ibunya ekoran perangai miang bapanya, dia cukup membenci lelaki itu.

Dia mengaku tidak pernah menghormati Shahir sebagai bapanya.

“Perangainya benar-benar menyakitkan hati dan sampai bila-bila pun saya tidak akan mengaku mempunyai bapa sepertinya.

“Kini, fokus saya adalah untuk menjaga mama, menjaga hatinya dan sentiasa berada bersamanya dalam susah dan senang,” ujarnya menutup bicara seraya memohon orang luar mengerti akan tindakannya membenci lelaki itu.

Sarah cukup bersyukur selepas ibu dan bapanya bercerai memandangkan lelaki itu sudah curang berkali-kali dan tidak pernah kenal erti setia.