Bagi Zach, biarpun terpaksa membuka aibnya sendiri, dia mahu kisahnya dijadikan teladan dan mengingatkan semua individu di luar sana supaya tidak mudah terpedaya sepertinya.

Kesilapan Zach memilih teman serumah menjadikan dia mangsa dan alat untuk melampiaskan nafsu serakah teman serumahnya yang meminati kaum sejenis.

Ujar lelaki berusia 28 tahun itu, dia bukanlah seorang lelaki yang bernafsu songsang namun terjerat kerana teman serumahnya, Fariz (bukan nama sebenar) berkali-kali mengugut untuk menyebarkan rakaman video mereka ketika bermadu asmara.

Menceritakan detik perkenalannya dengan Fariz, Zach memberitahu, dia pertama kali berjumpa dengan lelaki berkaca mata itu ketika mahu menjalani latihan praktikal di ibu kota.

“Saya berasal dari Utara tanah air dan mendapat tempat untuk menjalani latihan praktikal selama enam bulan di sebuah syarikat swasta yang terletak di ibu kota.

“Memandangkan teman-teman yang lain sudah mendapat tempat tinggal, saya terpaksa menyewa bilik dengan individu yang tidak dikenali,” jelasnya.

Menaruh hati

Selepas melihat beberapa unit rumah sewa, Zach akhirnya memilih untuk menyewa di sebuah pangsapuri yang paling hampir dengan pejabatnya.

Selain lokasi yang strategik, rumah tersebut juga bersih dan dijaga dengan rapi.

“Ketika itulah saya berjumpa dengan Fariz. Pertama kali berjumpa, orangnya cukup sopan dan berbudi bahasa.

“Dia juga cukup pembersih dan itu menyebabkan saya yakin tidak akan berdepan masalah jika memilih untuk tinggal bersamanya,” tutur Zach.

Memandangkan Zach ingin mencipta keserasian dengan Fariz, dia banyak menghabiskan masa dengan lelaki itu dan akhirnya mereka menjadi akrab.

Memang pada mulanya, hubungan kedua-duanya berjalan seperti rakan baik, sehinggalah Zach tiba-tiba mengesan perubahan pada tingkah laku Fariz.

Fariz mula marah-marah setiap kali ternampak Zach berbual mesra bersama tunangnya.

“Sebelum menjalani latihan praktikal, saya bertunang dengan pilihan hati saya iaitu Shira (bukan nama sebenar).

“Hubungan kami cukup baik dan saya tidak sabar untuk menghabiskan latihan praktikal bagi memberi fokus kepada persiapan perkahwinan kami.

“Begitu pun, saya mulai sedar yang Fariz sering kelihatan kurang senang setiap kali saya menjawab panggilan daripada Shira,” jelas Zach.

Tambah jejaka kelahiran sebuah negeri di utara tanah air itu, persiapan perkahwinan yang sedang dibuat ketika itu menuntut perbelanjaan yang besar.

Fariz kemudian menawarkan bantuan kewangan kepada Zach.

“Fariz memberikan jumlah pinjaman yang cukup besar kepada saya serta sudi memberi kelonggaran dari segi bayaran balik. Akibat terdesak, saya menerimanya dan berjanji akan melunaskan bayaran balik secepat mungkin,” jelas Zach.

Terjerat

Ironi, Zach diburu kekesalan apabila Fariz tiba-tiba meminta ‘dibayar’ dengan cara lain.

Tanpa segan silu, Fariz meminta Zach supaya melakukan hubungan seks sejenis dengannya.

Zach kemudian menolak ajakan tersebut secara baik namun Fariz kemudiannya meminta Zach untuk melunaskan semua bayaran tersebut.

“Mana saya ada wang untuk berbuat demikian. Maka, Fariz tanpa belas kasihan terus memaksa saya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Dia benar-benar bertindak mengikut nafsu. Adakalanya, biarpun saya begitu penat bekerja, Fariz akan meminta dirinya dilayani sehingga saya benar-benar jijik dengan diri sendiri.

“Lebih buruk lagi, dia merakamkan perbuatan tersebut dan mengugut untuk menyebarkan aib tersebut sekiranya saya menolak ajakannya untuk bermadu asmara,” tutur Zach.

Diri diaibkan

Zach kemudian cuba untuk melarikan diri daripada rumah tersebut namun Fariz tiba-tiba bertindak luar kawalan dan mula mengganggu Zach di pejabatnya.

Lebih buruk lagi, Fariz turut menceritakan tentang perhubungannya dengan Zach pada teman sepejabat Zach, menjadikan dia dipandang serong oleh semua rakan sekerjanya.

Ia juga turut menyebabkan permohonan Zach untuk bekerja secara tetap di syarikat tempatnya menjalani latihan praktikal ditolak serta-merta.

Tidak tahan dimalukan, Zach kemudian melarikan diri daripada rumah sewanya. Begitupun, dia tetap dikejar dan terus-terusan diugut dan kali ini, Fariz mendekati tunang Zach dan memberitahu tentang perbuatan kejinya itu.

“Fariz langsung tiada rasa malu malah terang-terangan mengaku kepada Shira tentang perasaannya terhadap saya. Katanya, dia tidak boleh melepaskan saya dan sudah ketagih untuk bermadu asmara dengan saya.

“Akibatnya, saya dan Shira bertengkar besar dan perkahwinan kami hampir dibatalkan. Mujur, keluarga Shira berjaya memujuknya untuk meneruskan perkahwinan kami memandangkan mereka cukup sayangkan saya serta lebih mengenali diri ini,” jelas Zach.

Kini, Zach sudah pun berpindah jauh daripada bekas teman serumahnya itu dan memulakan hidup baharu bersama Shira.

Dia juga mengakui lebih positif dan menganggap perkenalannya dengan Fariz adalah ujian daripada Tuhan.

Zach dijerat teman serumah yang meminjamkan sejumlah wang kepadanya dan meminta dibayar balik dengan cara melakukan hubungan seks sejenis hampir setiap hari selama enam bulan.