Rumah satu tingkat di kampung Arinj di luar ibu kota Yerevan itu mungkin tidak kelihatan luar biasa.

Namun, ia kini membawa ramai pengunjung dari seluruh dunia selepas 23 tahun mendiang suaminya, Levon Arakelyan meninggal dunia.

Mereka datang untuk melihat gua atau terowong bawah tanah yang berselirat dikenali sebagai ‘ruang bawah tanah Levon’.

Dalam suasana sejuk dan sunyi, Gharibyan membawa pelancong melalui koridor yang menghubungkan tujuh ruang yang dihiasi dengan tiang-tiang dan perhiasan seni kejuruteraan Romanesque seperti yang terdapat di gereja-gereja Armenia pada abad pertengahan.

“Apabila dia (Arakelyan) mula menggali, sukar untuk menghentikannya. Saya bertengkar dengannya, namun dia terlalu obses dengan perancangan itu,” katanya sambil memberitahu, projek tersebut dimulakan pada tahun 1985.

Arakelyan yang merupakan seorang jurubina terlatih bekerja keras selama 18 jam sehari dan hanya berhenti sebentar untuk tidur sebelum kembali menyambung tugasnya di gua tersebut.

“Dia tidak melukis pelan dan sering memberitahu kami bahawa dia mendapat ilham untuk meneruskan usaha itu melalui mimpi,” ujar Gharibyan.

Selama lebih dua dekad, dia berjaya mengorek ruang seluas 280 meter persegi dan mempunyai kedalaman 21 meter daripada lapisan batu gunung berapi hanya menggunakan peralatan tangan.

“Memori saya semasa kanak-kanak ialah mendengar bunyi ketukan ayah di gua itu pada waktu malam,” kata anak perempuan pasangan tersebut, Araksya yang berusia 44 tahun.

Pada peringkat awal pembinaan, dia terpaksa memecahkan lapisan permukaan basalt hitam pada kedalaman beberapa meter, Arakelyan mencapai lapisan batu tufa yang lebih lembut dan memudahkan tugasnya.

Dia kemudian mengeluarkan 600 trak batu dan tanah menggunakan baldi.

 

Muzium kecil

Arakelyan meninggal dunia pada tahun 2008 ketika berusia 67 tahun akibat serangan jantung selepas memusnahkan dinding terakhir yang memisahkan antara dua terowong tersebut.

Satu dekad selepas projek tersebut siap dibina, Tosya membangunkan sebuah muzium kecil bagi memperingati kerja-kerja suaminya di kampung yang mempunyai kira-kira 6,000 orang penduduk tersebut.

Pembinaan kompleks bawah tanah seperti itu mempunyai beberapa analogi di dunia.

Seorang lelaki eksentrik yang bernama William Henry ‘Burro’ Schmidt menghabiskan lebih daripada tiga dekad menggali terowong sepanjang 805 meter untuk mengangkut emas melalui gunung granit di California, Amerika Syarikat dan memulakan tugasnya pada awal tahun 1900-an.

Di Ethiopia, seorang lelaki bernama Aba Defar mula mengukir gereja-gereja di pergunungan setelah mendakwa mendapat ilham melalui mimpi selepas beberapa tahun.

Kini, gua Armenia dipaparkan dalam risalah perjalanan pelancong dan sering menjadi pilihan pengunjung.

Milad, seorang pelancong dari Iran yang berusia 29 tahun menamakan ruang bawah tanah itu sebagai ‘tempat yang menakjubkan’.

Dia berkata, ia telah membuatkan dia menyedari bahawa kemampuan fizikal dan spiritual seseorang tidak terbatas. – AFP