Sepanjang tempoh lebih 100 tahun sejak dari itu, industri permotoran telah menghasilkan berbilion-bilion kenderaan termasuk kereta sama ada jenis sedan, hatchback ataupun wagon.

Menurut laman the journal.ie, terdapat lebih satu bilion kereta penumpang bergerak di jalan-jalan raya di seluruh dunia pada hari ini, merangkumi pelbagai model dan jenama.

Sesetengah model kereta tersebut mendapat sambutan hangat dan dianggap sebagai kenderaan perlu dimiliki atau must have, sebahagian lagi kurang menyerlah, namun, ada juga model kurang popular dan hanya menunggu masa untuk menjadi ‘besi buruk’.

Paling laris

Antara sebilangan model kenderaan yang popular, model Corolla keluaran gergasi industri kereta dunia, Toyota masih mengekalkan ‘mahkotanya’ sebagai kereta paling laris sepanjang zaman hingga tanpa dapat digugat mana-mana pencabar termasuk model Honda, Volkswagen, Mercedes Benz dan jenama popular lain. Corolla sendiri bermaksud ‘mahkota kecil’.

Kereta Toyota Corolla generasi pertama dijual di pasaran seawal tahun 1966. Sehingga ke hari ini, lebih 44 juta unit kereta itu dijual di pasaran global dan sejak tahun 1974 lagi, Corolla tampil pemegang gelaran kereta paling laris dunia.

Pada tahun 2015 pula, Corolla mencatat satu lagi rekod apabila muncul kenderaan baharu pertama yang berjaya dijual lebih 1.3 juta unit di serata benua pada tahun tersebut.

Toyota menampilkan Corolla sebagai ‘kereta paling dikehendaki oleh pasaran. Orang yang bertanggungjawab membangunkan model tersebut daripada generasi pertama dan kedua ialah ketua pembangunan Toyota, Tatsuo Hasegawa.

Mendiang membentangkan konsep lengkap kereta Corolla lewat tahun 1962 berdasarkan pengalamannya membangunkan model Toyota sebelumnya, Publica (1961-1978).

Berikutan penjualan Publica yang ketika itu berharga sekitar 360,000 yen (RM13,329) tidak berapa menguntungkan, Hasegawa menampilkan model kereta keluarga berkonsep baharu iaitu Corolla.

Pada awal tahun 1960-an gaji purata pekerja biasa di Jepun adalah sekitar 26,000 yen (RM960.20).

“Pasaran mahukan kenderaan yang menarik, kereta yang tidak kelihatan rendah taraf apabila dibandingkan dengan kenderaan lain. Kereta ini juga mempunyai ciri dan penampilan agak mewah. Jika kita mempertimbangkan semua ciri ini, Publica kelihatan kereta ‘murahan’,” katanya.

Apabila Corolla sulung dipasarkan, Toyota hanya menawarkan model sedan dua pintu, manakala model sedan empat pintu dan van muncul kemudian untuk melengkapkan kereta generasi pertama ini.

Corolla generasi pertama menawarkan enjin K berkapasiti 1.1 liter termasuk enjin menggunakan karburator berkembar untuk model sporty sebelum ia digantikan dengan enjin 1.2 liter yang lebih berkuasa.

Hasegawa memilih enjin 1.1 liter yang menghasilkan kuasa maksimum 45ps/5,500 rpm untuk memastikan Corolla berada selangkah di hadapan pesaing-pesaingnya yang ketika itu, kebanyakannya menampilkan enjin bersesaran 1 liter.

Model pertama itu menampilkan ciri mewah yang hanya terdapat pada kenderaan lebih mewah. Walaupun nampak kompak, reka bentuk Corolla generasi pertama memberi ruang mencukupi dan bumbung tinggi bagi mengelakkan penumpang daripada perasaan ‘sempit’. Ia juga menampilkan tombol gear pada lantai dan bukan stereng yang mendapat sambutan hangat ketika itu.

Model Corolla mencatat kejayaan demi kejayaan sejak dari itu dan tidak menghampakan Toyota atau pemiliknya.

Kereta tersebut kini dijual di lebih 150 negara dan ceruk rantau, manakala di Malaysia pula, model ini lebih dikenali oleh orang ramai dengan nama Toyota Altis.

Berada di tempat kedua di belakang Corolla di luar jangkaan ramai peminat kenderaan ialah trak pikap Ford F-Series. Pikap berkenaan yang dikeluarkan sekitar tahun 1948, muncul kereta kedua paling laris sepanjang zaman di samping penyandang gelaran trak terlaris di Amerika Syarikat (AS) selama 35 tahun. Ia dijual mencecah 40 juta unit di seluruh dunia.

Mengekori di belakang Ford, model Golf daripada Volkswagen muncul di tempat ketiga. Golf berada di jalan-jalan di Eropah pada tahun 1974 dan meluncur di lebuh raya AS setahun kemudian. Di AS, ia dijual menggunakan nama yang kurang ‘memberahikan’ iaitu Rabbit. Sehingga ke hari ini, lebih 33 juta kereta itu telah dijual atau bersamaan dengan jualan sekitar 2,120 kereta Golf pada setiap hari selama 40 tahun.

Berada di tangga keempat adalah kereta yang cukup dikenali dan digemari oleh rakyat Malaysia terutama sekali dalam kalangan eksekutif muda, tidak lain dan tidak bukan iaitu Honda Civic. Honda pada mulanya mahu mengundurkan diri daripada pasaran kereta bagi memberi sepenuh tumpuan kepada pengeluaran motosikalnya. Bagaimanapun, pada tahun 1972, Civic mengubah pendirian firma Jepun tersebut berikutan sambutan terhadap model itu dianggap di luar jangkaan sama sekali. Lebih 24 juta kereta Civic dimiliki oleh penduduk dunia sejak 1972, malah model tersebut merupakan kereta paling laris di Kanada untuk tempoh 16 tahun berturut-turut dari tahun 1997 hingga 2016.

Melengkapkan senarai lima kereta terlaris sepanjang zaman ialah satu lagi model kelahiran Volkswagen, Passat. Sekitar 23 juta unit kereta tersebut yang dilancarkan pada tahun 1973, telah dijual setakat ini. Jualan Passat dikatakan mencatat kenaikan mendadak model generasi keempatnya mendapat sentuhan cucu pengasas Porsche, Ferdinand Piech pada awal tahun 1990-an.