Kecewa kerana ditipu, wanita berusia 41 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wang Qi memutuskan hubungannya yang sudah memasuki usia dua tahun.

Memetik laporan laman web Oddity Central, Wang Qi yang berasal dari Zheijang berkenalan dengan teman lelakinya itu melalui internet.

“Perkenalan kami berlaku pada tahun lalu. Dia hanya memperkenalkan diri sebagai Qian dan jauh lebih muda daripada saya.

“Kami mula berkenalan menerusi satu aplikasi mencari pasangan hidup di internet. Selepas memulakan perbualan, saya berasa selesa dengan Qian dan hubungan kami menjadi semakin akrab,” ujar Wang Qi.

Teruskan hubungan

Wang Qi yang merupakan seorang janda mengakui sudah jatuh hati dengan Qian dan mahu bertemu.

“Begitu pun, saya berkali-kali mengingatkan Qian bahawa hubungan itu mungkin tidak akan berhasil memandangkan dia jauh lebih muda daripada saya dan saya pula merupakan seorang janda.

“Qian nekad untuk meneruskan hubungan, menyebabkan saya semakin tertarik kepadanya,” akui Wang Qi.

Mereka kemudian bertemu dan perwatakan Qian yang menyerupai lelaki sebenar menyebabkan Wang Qi tidak langsung meragui jantinanya.

Hubungan mereka semakin serius dan Wang Qi kemudian membawa ‘teman lelakinya’ itu untuk berjumpa dengan kedua-dua ibu bapanya di Haikou.

“Ibu bapa saya amat sukakan Qian dan sama seperti saya, mereka juga tertipu dengan perwatakan dan penampilannya,” ujar Wang Qi.

Wang Qi juga turut menghabiskan wang sejumlah 300,000 yuan (RM 184,538) untuk teman lelakinya itu.

Lakukan siasatan

Beberapa bulan kemudian, Qian tiba-tiba menghilang dan gagal dihubungi.

“Dia langsung tidak dapat dihubungi dan turut menukar nama di semua akaun media sosialnya, menyebabkan saya berfikir bahawa dia sedang berlaku curang,” luah Qang Qi.

Tertekan, Wang Qi kemudian melakukan penyiasatan terhadap identiti sebenar bekas kekasihnya itu dan terkejut apabila mendapati dia sebenarnya seorang perempuan.

“Saya menjumpai nama sebenar Qian dan di dalam rekod tersebut, dia dikategorikan sebagai perempuan. Selepas mendapat tahu jantina sebenar Qian, barulah menyedari sebab sebenar dia sering mengelak apabila saya mengajaknya untuk melakukan hubungan seks.

“Begitu pun, untuk mengaburi mata saya, dia akan menggunakan tandas lelaki setiap kali kami keluar bersama di tempat awam.

“Badan Qian pula amat kurus dan dadanya leper, menjadikan saya tertipu dengan jantina sebenarnya,” kata Wang Qi.

Wang Qi pulang bertemu keluarganya di Haikou dan menceritakan perkara sebenar. Ibu bapanya bagaimanapun tidak mempercayai wanita itu dan menuduhnya sengaja mereka-reka cerita kerana mereka cukup sukakan Qian.

Mereka juga enggan membantu Wang Qi untuk menjejaki Qian dan sehingga kini, ‘lelaki’ tersebut masih gagal dikesan.