Pengasas mazhab ini iaitu Muhammad Idris al-Syafie telah menetapkan hadis sebagai sumber hukum kedua selepas al-Quran.

Meskipun hadis ialah salah satu sumber hukum yang terpenting, Imam al-Syafie mengingatkan bahawa tidak semua hadis layak menjadi hujah.

Sesetengah hadis tidak memiliki kelayakan untuk menjadi asas dan sandaran dalam hukum.

Lantaran itu, Telaga Biru (Telaga biru) Sdn. Bhd., mengambil inisiatif menerbitkan naskhah berjudul Hadis-Hadis Hukum yang diterjemah daripada kitab Al-Bulghah karya ilmuwan tersohor, Ibn al-Mulaqqin.

Al-Mulaqqin atau nama lengkapnya, Umar Ali Ahmad al-Misri merupakan seorang ulama besar yang bertanggungjawab menghimpunkan dalil-dalil hukum bagi mazhab Syafie.

Ibn al-Mulaqqin merupakan seorang yang sangat mementingkan aspek kesahihan hadis. Oleh itu, beliau hanya menghimpunkan hadis-hadis yang dipersetujui oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.

Penyelaras kitab terjemahan itu, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, naskhah tersebut dihasilkan sebagai rujukan kepada individu yang ingin memahami dengan lebih lanjut berkenaan mazhab Syafie.

“Dewasa kini, masyarakat lebih lantang bersuara terutamanya di media sosial. Mereka juga gemar menggunakan hadis sebagai hujah ketika berbicara.

“Namun, permasalahan yang berlaku adalah perkongsian yang mereka lakukan itu kadang-kadang tidak bersandarkan dalil al-Quran dan hadis yang sahih.

“Oleh sebab itulah, kami memilih untuk menterjemah kitab Al-Bulghah yang diyakini tulen dan ditulis oleh tokoh yang pakar dalam bidang hadis,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Fauwaz, setiap satu kalimah hadis yang terdapat dalam kitab itu diteliti dan diolah dengan berhati-hati oleh Muhammad Yusuf A. Kadir dan Muhammad Najmi Rohaizad selaku penterjemah.

Pihaknya juga telah merujuk kitab-kitab syarah untuk memastikan makna yang ditetapkan adalah selari dengan penjelasan Ibn al-Mulaqqin.

Ia bagi mengelak kecelaruan atau kesalahan dalam proses penterjemahan penulisan buku yang bertumpu kepada penghujahan hadis.

“Selain itu, penterjemah turut menggunakan bahasa Melayu moden yang lebih senang difahami.

“Huraian yang tepat dan ringkas menghiasi setiap halaman agar pembaca tidak mudah berasa jemu ekoran kesukaran untuk memahami ayat yang ingin disampaikan,” ujarnya.

Rujukan pembaca

Lebih menarik, buku yang mengandungi 59 bab bermula daripada bersuci hingga amalan masyarakat dahulu yang mempunyai hamba itu turut menerangkan istilah-istilah Arab yang jarang didengari di ruang glosari untuk rujukan pembaca.

Justeru, Fauwaz yang juga Konsultan Syariah Telaga Biru, berharap karya terjemahan itu memberi manfaat yang meluas kepada seluruh umat Islam terutamanya dalam era internet masa kini.

Dalam erti kata lain, masyarakat perlu berusaha mencari wadah yang benar dan diyakini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus menyebarkan hadis-hadis palsu yang tidak diketahui sumbernya.

Selain sesuai dijadikan sebagai imbasan pantas untuk para penuntut menghafaz dalil-dalil hukum mazhab Syafie, ia juga harus dimiliki oleh orang ramai untuk memahami taklif-taklif daripada Allah SWT.

Menurut Fauwaz, Telaga Biru turut mengeluarkan empat lagi terjemahan kitab seumpama ini bagi menghidupkan dan memperkenalkan warisan ulama terdahulu kepada umum.