Melihatkan pada perwatakan dan personaliti yang ada padanya, sukar untuk mempercayai bahawa pemuda itu merupakan seorang penagih dadah tegar sejak dua tahun lalu.

Susuk tubuhnya yang tegap dan sering tampil berpakaian kemas membuatkan Hadi sering digambarkan sebagai seseorang yang mementingkan kesihatan dan gaya hidup yang sihat.

Namun, di sebalik imej yang dibawa itu, Hadi sebenarnya bergelumang dengan najis dadah sehingga layak digelar penagih.

Menurut lelaki yang berasal dari sebuah negeri di utara tanah air itu, dia mula terjebak dengan gejala penagihan dadah selepas terpengaruh dengan ajakan seorang rakannya yang dikenali melalui laman sosial.

“Mula-mula saya sekadar hendak mencuba tetapi akhirnya terjebak,” ujar Hadi yang bermula dengan mengambil dadah jenis syabu atau methapetamine.

Tidak wajar

Menurut pemuda yang masih bujang itu, semasa mula-mula dia mengambil dadah, segala perbelanjaan dan peralatan yang digunakan ditanggung oleh kenalan tersebut yang dikenali sebagai Amir (bukan nama sebenar).

Kata Hadi lagi, dia langsung tidak pernah terfikir bahawa dirinya akan terjebak dengan dadah memandangkan dirinya bukanlah seorang perokok.

“Kalau difikirkan semula memang tidak wajar saya menjadi seorang penagih dadah kerana rokok pun saya tidak pandai hisap,” ujarnya.

Akibat semakin kerap mengambil syabu, Hadi berasa semakin seronok berada di dalam dunianya sendiri dan sedikit demi sedikit mula mengalami ketagihan jika tidak mengambilnya setiap hari.

Bagi memudahkan dia untuk mengambil syabu, Hadi telah membeli peralatan menghisap dadah dipanggil bong yang boleh dibeli dengan mudah melalui internet.

Malah, boleh dikatakan setiap hari, Hadi akan berbelanja antara RM80 hingga RM100 setiap hari untuk membeli dadah bagi kegunaan sendiri.

Akui Hadi, sejak terjebak dengan najis dadah, kehidupannya tidak lagi sama seperti dahulu.

Buang kerja

Selain itu, prestasi di tempat kerjanya juga kian merosot apabila sering datang lambat ke tempat kerja serta selalu kelihatan tidak bersemangat untuk bekerja.

Ekoran itu, Hadi yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang elektronik di Shah Alam, Selangor dengan gaji kira-kira RM2,500 sebulan telah dibuang kerja sekali gus membuatkan kehidupan pemuda itu menjadi semakin tidak terurus.

Menurutnya, selepas diberhentikan kerja kira-kira tiga bulan lalu, Hadi hilang punca pendapatan dan kebanyakan duitnya habis digunakan untuk membeli dadah.

Hubungannya dengan orang di sekeliling termasuk keluarga juga kian renggang kerana masalah penagihan dadah yang dialaminya.

Hadi juga kini jarang pulang ke kampung halamannya kerana dia bimbang aktiviti penagihan dadah yang dilakukannya akan terbongkar.

Selepas hampir dua tahun terjerumus dengan dadah, Hadi perasan bahawa kesihatan tubuh badannya juga kerap terganggu apabila sering jatuh sakit.

“Bohong kalau saya katakan tidak bimbang dengan apa yang berlaku.

“Bukannya mudah untuk seorang penagih dadah berhenti dan meninggalkan dadah begitu sahaja,” kata Hadi.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati pemuda itu, dia bercadang untuk mendapatkan rawatan di pusat pemulihan dadah dan kembali seperti dahulu kerana tahu semuanya boleh menjadi seperti sediakala jika dia berusaha dan tekad untuk meninggalkan najis dadah.