Bukan itu sahaja, Shazmeera Alias, 35, turut memesan pes bawang putih dan bawang merah sebagai persediaan sekiranya diperlukan kelak.

Aktiviti memesan bahan keperluan dapur secara online kerap dilakukan Shazmeera sejak berpantang selepas melahirkan anak kembar, kira-kira enam bulan lalu.

Kini, sudah lebih daripada lima kali dia menggunakan servis MyMarket, iaitu sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan membekalkan bahan basah secara dalam talian dan penghantaran terus ke rumah.

“Ia mudah dan menjimatkan masa. Sejak tahu bakal melahirkan anak kembar, saya dan suami sudah mula mencari-cari perkhidmatan yang menjual bahan basah secara dalam talian.

“Saya cukup berpuas hati memesan keperluan dapur dari ‘pasar online’ ini. Saya tidak perlu pergi ke mana-mana pasar, bahkan saya tidak perlu menyiang ikan, memotong ayam dan membersihkan bahan-bahan makanan itu kerana prosesnya telah dilakukan penyedia perkhidmatan,” katanya ketika ditemui K2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Shazmeera, disebabkan dia suri rumah sepenuh masa dan perlu menjaga anak kembar, membeli barang keperluan secara online merupakan pilihan yang ideal untuk mengurangkan bebanan kerjanya di dapur.

Trend membeli barangan keperluan dapur menerusi online sudah tidak begitu asing. Dipercayai ia mula dipraktikkan sejak beberapa tahun lalu apabila terdapatnya laman web atau media sosial yang menawarkan khidmat berkaitan.

Seiring zaman ledakan teknologi digital, siapa sangka kini membeli bahan basah untuk memasak juga boleh dilakukan secara online tanpa perlu ke pasar dan ia terus disampaikan ke depan pintu rumah.

Idea

Di Malaysia, hasil daripada pemerhatian K2, terdapat beberapa pihak yang menjalankan perniagaan atau perkhidmatan menjual keperluan dapur secara online sama ada berasaskan laman web, media sosial mahupun aplikasi misalnya Barang Dapur Basah, Barang Basah Mentah, MyMarket, Tauke Seafood, Kedai Ikan Fresh, Honestbee dan lain-lain.

Pengasas MyMarket, Sarah Salim berkata, idea untuk menubuhkan MyMarket bermula pada tahun 2014 sewaktu dia dan keluarga menetap di Kangar, Perlis.

Ia tercetus atas beberapa insiden yang berlaku. Keengganan anak sulungnya yang berusia empat tahun pada masa itu, Syaamil Haziq untuk turun dari kereta apabila ke pasar atas alasan kotor dan busuk telah menyukarkan Sarah untuk membeli bahan dapur kerana dia tidak boleh membeli barangan dengan meninggalkan anaknya di dalam kereta.

Dia yang merupakan jurutera awam pada masa itu juga sering kesuntukan masa untuk menyediakan masakan untuk ahli keluarga termasuk menyiang dan membersihkan bahan selepas pulang kerja.

Sarah terfikir, ibu-ibu yang lain juga mungkin mengalami masalah yang sama.

“Melihat ia sebagai peluang perniagaan yang baik, saya mengambil keputusan untuk membuka sebuah kedai berhawa dingin yang menyediakan keperluan barang basah kepada pengguna pada tahun 2014, tahun yang sama saya berhenti kerja.

“Lebih menarik, kedai saya turut menjual barang basah yang siap dipotong, disiang dan dibungkus serta dilengkapi perkhidmatan penghantaran terus ke rumah,” katanya yang membuka kedai fizikal MyMarket pertama di Kangar lima tahun lalu.

Kemudian, melihat kepada perkembangan perniagaan tersebut, Sarah nekad ke Kuala Lumpur untuk meluaskan lagi empayar perniagaannya.

“Pada 2016, saya memulakan operasi MyMarket di Shah Alam dengan menggunakan 100 peratus teknologi media sosial. Pada waktu itu bagaimanapun masih belum ada kedai MyMarket untuk tujuan pemprosesan bahan seperti pemotongan dan pembersihan sebaliknya kami menggunakan bantuan pihak untuk pemprosesan dan penghantaran,” katanya.

Menurutnya, pada 2018 barulah premis pemprosesan tempahan MyMarket di Setia Alam dibuka dengan pejabat turut dibina.

Ujar Sarah, hampir 70 peratus pelanggannya berasal dari Kuala Lumpur manakala selebihnya dari Selangor.

Dedahnya, ada juga pelanggan yang dari luar negara seperti Melbourne, Australia yang membuat tempahan atau membelikan bahan dapur basah untuk ibu pelanggan tersebut di Kuala Lumpur.

“Apa yang saya lihat, masalah penduduk di Lembah Klang ini rata-ratanya ingin membeli barang basah terutamanya selepas balik kerja, namun agak sukar disebabkan kesesakan lalu lintas, tiada tempat letak kereta atau barang yang dibeli sudah tidak segar.

“Jadi dengan membuat tempahan di MyMarket segala-galanya menjadi lebih mudah,” ujarnya.

Penghantaran

Sarah berkata, pelanggan boleh membuat tempahan melalui tiga cara iaitu Instagram, WhatsApp dan laman web.

“Daripada sekecil-kecilnya seperti belacan, bawang, mi dan bebola ikan, semuanya boleh didapati di MyMarket.

“Buat tempahan sebelum pukul 12 tengah hari dan penghantar kami akan menghantarnya dalam keadaan segar kepada anda pada hari yang sama. Penghantaran bermula dari pukul 4 petang hingga 9 malam,” terangnya.

Menurutnya, harga makanan seperti ikan dan ayam dijual mengikut harga pasaran dan setiap pesanan yang dibuat perlulah berjumlah minimum RM50 selain caj penghantaran RM8.

Bagi mendapatkan stok yang segar dan berkualiti, pekerja Sarah akan ke pasar seawal pukul 5 pagi setiap hari bagi mendapatkan bekalan hasil laut. Katanya, ikan dan makanan laut yang dijual datang dari jeti berhampiran seperti Sekinchan dan Kuala Selangor.

“Hasil yang diperoleh akan hantar ke pasar borong Meru dan dekat situ nanti pekerja saya akan ambil dan bawa pulang ke tempat pemprosesan.

“Bahan-bahan lain seperti ayam dan daging diambil di pasar borong berhampiran,” katanya

Tambah Sarah, selepas bahan tersebut tiba di tempat pemprosesan, kakitangannya yang seramai empat orang akan memulakan kerja-kerja membersihkan bahan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti membuang isi perut ikan, membuang dakwat sotong dan mengopek kulit udang.

“Selepas itu, mereka akan merujuk kepada bahagian pentadbiran untuk mengasingkan tempahan-tempahan pelanggan.

“Segala bahan yang ditempah akan ditimbang mengikut kuantiti yang dimahukan pelanggan sebelum dimasukkan ke dalam plastik untuk dibekukan,” jelasnya.

Setakat ini, MyMarket mempunyai lapan orang pekerja tetap, 14 penghantar dan lebih 60 ejen di seluruh Lembah Klang.

Sementara itu, seorang blogger yang menamakan dirinya sebagai Mama Kembar Tiga di internet berkongsi pengalamannya membeli barangan dapur menerusi aplikasi Honestbee.

Menurutnya, dia menyukai pembelian barangan dapur secara online kerana ia menjimatkan masa, tenaga dan memudahkan pemantauan perbelanjaan.

Tambahnya, ia kerana senarai barang yang dipilih dan berapa banyak yang sudah dibelanjakan dapat dilihat dalam shopping cart. Jika membeli-belah di kedai, ia agak sukar dipantau melainkan sekadar congak di kepala dan hanya mengetahui sudah membeli melebihi bajet setelah tiba di kaunter.

“Secara keseluruhannya saya memang puas hati dengan servis ini. Barang yang dipilih semua segar dan dalam keadaan yang elok. Tak adalah tin yang kemek dan sebagainya,” ujarnya dipetik daripada blognya.