Hidung yang mancung, dagu yang runcing dan bibir gebu bak delima merekah pula menyempurnakan lagi raut wajah Thylane Blondeau, 17.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, raut wajah gadis kelahiran Aix-en-Provence, Perancis sebegitulah yang mampu mencair dan menggetarkan jiwa setiap mata yang melihat.

Bahkan, berbekalkan pakej unik tersebut, Blondeau menceburkan diri dan meraih populariti dalam dunia fesyen ketika usianya masih kecil.

“Sejak berusia empat tahun lagi, saya sudah mula berkecimpung dalam dunia peragaan.

“Ketika itu, saya berjalan di atas pentas peragaan bagi menggayakan rekaan jenama fesyen terkemuka dunia, Jean Paul Gaultier di Paris.

“Perkara paling menyeronokkan dalam pekerjaan ini adalah dapat bertemu jurufoto dan jurusolek baharu setiap hari selain mencuba pelbagai jenis pakaian tanpa henti,” ujar gadis remaja itu kepada majalah Amerika Syarikat, Teen Vogue baru-baru ini.

Hujung tahun lalu, Blondeau dinobatkan sebagai perempuan paling cantik di dunia dalam senarai 100 Wajah Tercantik (100 Most Beautiful Faces) yang dikeluarkan oleh portal gaya hidup Britain, TC Candler.

TC Candler telah menerbitkan senarai paling cantik dan paling kacak tahunan sejak 1990, yang dikeluarkan oleh komuniti The Independent Critics serta maklumat awam.

Di tempat kedua ialah penyanyi Taiwan, Chou Tzy-yu diikuti model kelahiran Israel, Yael Shelbia di tempat ketiga.

Beberapa aktres Hollywood ternama juga pernah memegang gelaran tersebut sebelum ini termasuk Nicole Kidman, Meg Ryan dan Gwyneth Paltrow.

Menariknya, Blondeau suatu masa dahulu turut pernah dinobatkan dengan gelaran yang sama pada tahun 2007 ketika berusia enam tahun lagi.

Disunting

Beliau menjadi satu-satunya gadis menerima gelaran tersebut buat kali kedua selepas meraih populariti sejak 11 tahun lalu.

“Saya tak menyangkanya. Terima kasih banyak kepada TC Candler dan mereka yang mengundi, saya tidak menjangkakannya kerana pernah berada di kedudukan pertama,” katanya menerusi media sosial mengulas mengenai kejayaan terbaharunya itu.

Setelah menggegarkan pentas peragaan bersama Jean Paul Gaultier pada usia empat tahun, Blondeau dijemput menjalani sesi penggambaran bersama jurufoto terkemuka, Dani Brubaker semasa berusia tujuh tahun.

Malah, pada usia 13 tahun, Blondeau menjadi penghias muka depan majalah fesyen popular Perancis, Jalouse.

Kariernya terus berkembang apabila disunting menjadi sebahagian daripada keluarga firma pengurusan model antarabangsa IMG Models yang pernah melahirkan supermodel ternama antaranya Kate Moss, Stephanie Seymour, Miranda Kerr dan Barbara Palvin.

Pada tahun 2017, Blondeau menjadi duta untuk jenama kecantikan dunia, L’Oreal Paris.

Sepanjang hampir 13 tahun berkecimpung dalam industri fesyen, Blondeau telah menjadi wajah untuk kempen Lacoste, Hugo Boss, Jean Paul Gaultier, Ralph Lauren, Massimo Dutti, Pull&Bear, Paul & Joe Sister, Chanel, Little Eleven Paris, H&M, Dolce & Gabbana dan L’Oréal Paris.

Selain itu, beliau juga beberapa kali menjadi penghias muka depan majalah terkemuka dunia seperti Vogue, L’officiel Enfants, L’Officiel Paris dan Marie Claire.

Bahkan, Blondeau juga pernah membuat debut dalam bidang lakonan dengan memainkan watak utama sebagai Gabriele dalam filem Belle & Sebastian: The Adventure Continues pada tahun 2015.

Bagaimanapun, rutin kecantikan harian anak kepada pasangan pemain bola sepak Perancis, Patrick Blondeau dan pereka fesyen, Veronika Loubry itu dilihat cukup ringkas.

“Saya hanya dapatkan tidur yang cukup dan membersihkan solekan setiap kali sebelum tidur.

“Selain itu, saya juga akan memastikan diri kekal terhidrat supaya kulit lebih segar.

“Kebiasaannya, saya hanya gunakan maskara dan memberus kening agar ia lebih kemas,” kongsinya yang gemar menari, bermain papan selaju, berenang, bermain dram, piano dan menyanyi pada waktu lapang.

Ketika ditebak soalan berkaitan inspirasi kejayaannya dalam dunia fesyen semasa, Blondeau tanpa sebarang ragu-ragu memilih Gigi Hadid, Cara Delevingne dan Barbara Palvin sebagai idolanya.

Katanya, individu-individu berkenaan merupakan sumber inspirasi fesyennya selama ini.

Selain itu, kongsi Blondeau, ikon-ikon tersebut mempengaruhi gaya yang diketengahkan selain mendorongnya untuk terus maju dalam industri fesyen.

Label

Rentetan itu, Blondeau melancarkan label fesyennya sendiri September lalu yang dinamakan Heaven May.

Kerja keras membangunkan jenama fesyen itu selama hampir setahun merupakan buah tangan buat para peminatnya yang digelar Thylaners yang selama ini menyokong setiap titik peluh Blondeau.

Biarpun dihujani kemasyhuran atas bakatnya beraksi pada pentas peragaan sejak kecil lagi, Blondeau turut terpalit kontroversi pada awal kariernya bermula.

Blondeau mencuri perhatian ramai apabila tampil dalam sesi penggambaran bersama Vogue Enfants yang disifatkan terlalu seksi bagi kanak-kanak seusianya.

Model cilik itu bergambar dengan lagak wanita dewasa sambil menggayakan solekan tebal, kasut tumit tinggi dan sarat dengan barang kemas.

Ia meraih kecaman khalayak kerana dilihat menjadikan kanak-kanak itu sebagai objek seks.

Meskipun begitu, ibunya, Veronika Loubry tidak sedikit pun melatah terhadap kontroversi itu malah menyokong penuh karier anak kesayangannya itu.

“Saya faham kejadian ini begitu mengejutkan. Saya sendiri akui terkejut ketika sesi penggambaran itu berlangsung.

“Pun begitu biar saya perincikan, satu-satunya perkara yang mengejutkan saya hanyalah barang kemas yang dipakai pada sesi penggambaran itu bernilai lebih AS$3 juta (RM14 juta),” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Global L’Oreal, Pierre-Emmanuel Angeloglou melihat Blondeau sebagai wanita berpengaruh yang mempunyai kekuatan tersendiri.

“Generasi baharu kini memerlukan model beraspirasi untuk mempengaruhi industri kecantikan menerusi gaya dan nilai kreativiti yang dibawa.

“Justeru, Blondeau merupakan suara paling berkredibiliti mewakili generasi muda sekali gus memberi inspirasi kepada ribuan wanita lain,” kongsinya.

Wajah Thylane Blondeau telah mengungguli senarai global 100 Wajah Tercantik oleh TC Candler sewaktu berusia enam tahun pada 2007 dan tahun lalu dia meraih gelaran yang sama sekali lagi pada usia 17 tahun.