Tangan kecilnya pantas menghidupkan enjin paramator yang mempunyai 2,000 kuasa kuda itu. Enjin itu dibiarkan hidup seketika.

Selepas membuat pemeriksaan terakhir, kanak-kanak berkulit kuning langsat itu bersedia untuk melakukan penerbangan sulungnya.

Setelah beberapa minit, paramotor atau pesawat ringan yang dipandunya terbang membelah awam.

Murid Sekolah Kebangsaan Taman Puteri Cheras, Hulu Langat itu, seperti sudah lama mengendalikan paramotor itu dan tidak kekok ketika di udara.

Dia membuat beberapa pusingan mengelilingi padang tersebut dan kira-kira 20 minit kemudian paramotor itu selamat didaratkannya.

Keberanian, disiplin tinggi dan ilmu yang dipelajari di akademi sukan paramotor membuahkan hasil apabila dia diiktiraf sebagai Juruterbang Termuda Paramotor Malaysia dalam Malaysia Book of Records. Sejarah itu tercipta pada 24 Mac lalu.

Muhammad Adib juga merupakan kanak-kanak pertama di Malaysia yang diiktiraf dan mendapat sijil kerana berjaya melakukan penerbangan sukan paramotor.

“Saya rasa amat gembira kerana penat lelah mengikuti latihan intensif selama dua bulan mendatangkan hasil, sekali gus cita-cita saya untuk menjadi juruterbang sukan paramotor akhirnya tercapai.

“Paling seronok, saya mengendalikan sendiri semua produser dari awal penerbangan sehingga pendaratan,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Modal yang tinggi

Menurut Mohamad Adib, dia sememangnya meminati sukan ekstrem sejak berusia lapan tahun.

“Apabila ayah memperkenalkan sukan paramotor, saya mudah jatuh cinta dengan aktiviti terbang tersebut.

“Perasaan berdebar menerbangkan paramotor ini buat kali pertama memang ada, tetapi saya menggunakan segala ilmu yang dipelajari sebelum ini dan berjaya mengawalnya dengan baik,” ujarnya yang terbang setinggi 305 meter.

Muhammad Adib menyatakan, bahagian yang paling sukar sukan tersebut ialah melakukan pendaratan yang sempurna dan di lokasi yang tepat.

“Penerbangan pada paras rendah juga agak sukar dan memerlukan kemahiran pengawalan sayap kerana tiupan angin yang agak kuat,” katanya yang akan meneruskan latihan dalam sukan itu.

Paramotor merupakan salah satu sukan ekstrem. Di Malaysia masih tidak ramai yang berkecimpung dengan sukan itu kerana ia memerlukan modal yang tinggi.

Dilengkapi enjin, sayap dan alat keselamatan, sukan paramotor menjadi kegilaan buat juruterbang atau dipanggil paraglider menjelajah dunia di udara.

Berat juruterbang dan peralatan mestilah tidak melebihi berat yang mampu ditanggung sayap paramotor.

Hal ini kerana, jenis sayap dibezakan mengikut kemampuan menampung berat sehingga 150 kilogram (kg), 250kg, 300kg dan 350kg.

Keseronokan melakukan aktiviti sukan paramotor ialah melihat sesuatu kawasan dari sudut berbeza di udara.

Jika berada pada kedudukan tinggi, seseorang berpeluang melihat pemandangan bumi dari sisi yang lebih luas dan merasa seperti seekor burung yang terbang bebas.

Penerbangan kebiasaannya dilakukan di kawasan lapang seperti padang dan pantai bagi memudahkan pendaratan sekiranya berlaku kecemasan.

Pelatih

Menceritakan minat awalnya dalam sukan paramotor, Adib berkata, sewaktu berumur lapan tahun, dia mula mengikuti ayahnya, Muhammad Alias Ikhsan, 49, yang mempunyai akademi sukan itu di Pulai Indah.

Ayahnya juga merupakan jurulatih sukan paramotor selama 13 tahun.

“Hampir setiap hujung minggu saya akan ikut ayah sambil melihatnya mengajar pelatih-pelatih di sana.

“Semasa di darjah lima, saya mula meminati sukan ini dan mahu merasai pengalaman terbang di udara.

“Selepas itu, ayah memberi saya, sayap asas (power kid) yang berbentuk seperti layang-layang,” katanya.

Tambah anak kelima daripada enam orang adik-beradik itu, dia bermain dengan sayap asas itu hampir dua tahun sebelum berpeluang menerbangkan paramotor.

Sementara itu, bapanya, Muhammad Alias berkata, anaknya mempunyai disiplin yang sangat tinggi dan patuh pada arahan jurulatih.

“Dengan sifat disiplin dan kesungguhan yang ditunjukkan, dia mencatat rekod menjadi juruterbang termuda di Malaysia.

“Saya berasa bangga dan menyifatkan Muhammad Adib antara juruterbang muda terhebat kerana mampu menguasai kemahiran paramotor yang orang dewasa sendiri sukar mengendalikannya,” katanya yang juga Presiden Kelab Sukan Paramotor JomFly.

Muhammad Alias berkata, Kelab Sukan Paramotor JomFly ditubuhkan agar penggemar aktiviti sukan paramotor dapat menjalani latihan secara teratur dan selamat.

Tambah pesara guru itu, anaknya menjalani latihan dua kali seminggu.

“Muhammad Adib kini memegang lesen juruterbang yang dikeluarkan akademi saya sendiri yang berdaftar di bawah Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atau dahulunya dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Saya yakin, apabila Adib mencecah umur 16 tahun dan mengambil ujian rasmi sebagai juruterbang profesional, dia akan berjaya,” katanya berasal dari Kampung Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor dan kini menetap di Hulu Langat.

Katanya, beliau menggunakan ilmu padagogi semasa mengajar pelatih yang buat masa ini sudah mencecah 45 orang.

Padagogi merupakan kajian tentang kaedah dan prinsip pengajaran.

Kebajikan masyarakat

Ujarnya lagi, seseorang yang gayat atau takut pada ketinggian juga boleh mencuba aktiviti tersebut.

“Mereka yang gayat juga boleh mencabar diri untuk terbang dan elakkan memandang ke bawah.

“Alihkan pandangan ke hadapan dan pemandangan yang cantik akan membantu mereka menghilangkan perasaan tersebut,” jelas Muhammad Alias memberikan tip mengatasi gayat.

Beliau berharap, Muhammad Adib dapat membantu masyarakat dengan ilmu sukan paramotor pada masa depan.

Katanya, selain menjadi atlet kebangsaan, ilmu paramotor juga mampu menyumbang ke arah kebajikan masyarakat seperti larian amal dan pencarian mangsa-mangsa hilang di gunung-ganang.

“Malah, seseorang yang mempunyai kemahiran dalam sukan paramotor juga mampu menjana pendapatan.

“Antaranya, menyediakan perkhidmatan membawa kain rentang dan merakam gambar dan melakukan pemetaan dari udara,” tuturnya yang berpengalaman menjadi jurulatih paramotor sejak 2009.

Beliau yang menjadikan hobi sebagai kerjaya tersebut menambah, risiko berlaku kemalangan bagi sukan tersebut tetap ada terutamanya disebabkan kesilapan manusia.

“Juruterbang paramotor yang cuba melakukan aksi bahaya boleh mengundang padah, namun persediaan mengikut prosedur keselamatan akan memastikan sukan tersebut selamat dan menyeronokkan.

“Sekiranya berlaku kecemasan, juruterbang hendaklah menghubungi rakan-rakan menerusi alat komunikasi,” jelas beliau.