Biarpun begitu, selain membawa penumpang di dalam pesawat, lelaki berusia 58 tahun itu turut mempunyai bakat luar biasa apabila dia turut mampu terbang di ruang udara bersama sekawan angsa.

Walaupun kedengaran pelik, namun itu merupakan antara aktiviti yang dilakukan oleh Moullec bagi mengisi waktu lapang sejak tahun 1995.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika Moullec sering dilihat berlegar-legar di ruang udara Perancis terbang pesawat jenis microlight bersama puluhan angsa yang di­belanya.

Keadaan tersebut lantas menyebabkan Moullec digelar sebagai Bird Man (Lelaki Burung) dalam kalangan penduduk sekitar.

“Kali pertama saya terbang bersama sekawan angsa adalah pada tahun 1995.

“Pada waktu itu, saya sedang melakukan misi menyelamat angsa-angsa terancam dengan menghantar mereka pulang ke habitat asal yang lebih selamat.

“Keseronokan yang dialami sepanjang penerbangan tersebut menyebabkan saya mula ketagih untuk terbang bersama sekawan angsa yang lain sebaik misi tersebut tamat,” jelasnya.

Bermula dari saat itu, dia mula membela sekawan angsa untuk menjadi rakan terbangnya di awan biru pada waktu lapang.

Menyamar

Aktiviti tersebut bagaimanapun bertukar menjadi hobi apabila dia kerap terbang ke ruang udara bersama haiwan-haiwan tersebut sejak 23 tahun yang lalu.

“Bukan mudah untuk terbang bersama haiwan. Ini kerana, saya mengambil masa yang panjang untuk melatih angsa-angsa tersebut terbang mengikut arahan yang ditetapkan selain memastikan mereka berasa selamat.

“Bagi tujuan tersebut, saya perlu menjinakkan mereka dan memastikan kesemua angsa tersebut terbiasa dengan kehadiran saya.

“Saya juga terpaksa menggunakan teknik penyamaran dan me­n­yamar sebagai ibu angsa sebaik mereka menetas daripada telur masing-masing,” jelasnya.

Menurut Moullec, itu merupakan satu-satu kaedah yang berkesan memandangkan angsa lazimnya akan menganggap objek bergerak pertama yang dilihatnya sebagai ibu.

Justeru, angsa akan mengikut apa sahaja yang diarahkan oleh ‘ibu’ tersebut.

Menurut Moullec lagi, bagi me­nempatkan angsa-angsa belaannya itu, dia telah membina sebuah sangkar di kediamannya.

“Setiap kali terbang bersama angsa-angsa tersebut saya akan menangis teruja.

“Mana tidaknya, agak sukar untuk mempercayai saya mampu menundukkan angsa-angsa tersebut,” jelasnya.

Ternyata, pengalaman yang diperolehnya itu tidak dinikmati dirinya seorang sendiri.

Ia kerana, Moullec turut berkongsi pengalaman tersebut dengan memuat naik rakaman vi­deo ketika terbang di ruang udara untuk tontonan umum.

Sentuh angsa

Bukan itu sahaja, Moullec turut membawa mana-mana individu yang ingin merasai pengalaman terbang bersama angsa setiap kali melakukan penerbangan.

“Ramai yang melahirkan rasa teruja mereka apabila dapat terbang bersama sekawan angsa dan ia merupakan pe­ngalaman yang tidak akan dilupakan.

“Mana tidaknya, mereka boleh merasai kehidupan seperti se­ekor burung selama 30 minit selain menyentuh angsa-angsa tersebut menggunakan tangan ketika terbang,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut Moullec lagi, kebanyakan individu yang terbang bersamanya enggan menyentuh angsa-angsa tersebut kerana mengikut kepercayaan masyarakat Perancis, individu tidak digalakkan untuk menyentuh angsa ketika di awan biru.

Ia kerana kelakuan itu dikhuatiri boleh menyebabkan mereka ditimpa kecelakaan.

“Saya sendiri tidak pasti dengan kesahihan kepercayaan tersebut memandangkan setakat ini, ke­semua angsa tersebut gembira apabila disentuh,” jelasnya.