Sorakan berbunyi Allez le Flying Frenchman! dan Go Franky, Go! daripada orang ramai dapat didengar di sekitar tepi pantai Sanggate, Calais, Perancis.

Di tengah-tengah permukaan air, seorang lelaki Perancis, Franky Zapata yang memakai pakaian khas dilihat berdiri di atas papan luncur yang terawang-awang di ruang udara.

Beberapa ketika kemudian, Zapata mula terbang di udara menuju ke kawasan pantai di Dover, England.

Pada waktu itu, lelaki berusia 40 tahun itu terbang melintasi langit menggunakan papan luncur berteknologi tinggi seperti yang digunakan dalam filem Back To The Future.

Peranti canggih berteknologi tinggi itu dihasilkan dengan binaan model menyerupai dulang teh. Ia dikuasakan oleh lima enjin turbojet dan boleh terbang mencapai ketinggian 3,048 meter.

Lebih menarik apabila ia bergerak dengan menggunakan minyak tanah.

Kira-kira 23 minit kemudian, Zapata berjaya mendarat di Teluk St. Margaret yang terletak di Kent, England selepas terbang sejauh 35 kilometer (km).

“Terus terang, ini terasa luar biasa!

“Kami menggunakan alat baharu tanpa sayap untuk terbang. Ia membuatkan individu menjadi tidak ubah seperti seekor burung,” jelasnya sambil ketawa sebaik menjejakkan kaki di atas tanah.

Kejayaan tersebut menjadikan Zapata sebagai orang pertama dalam sejarah dunia yang berjaya menyeberangi Selat Inggeris menggunakan papan luncur udara buatan sendiri.

Lima tahun

“Saya tidak sangka mampu menyeberanginya dengan menggunakan papan luncur terbang yang dikuasakan menggunakan minyak tanah.

“Lebih memeranjatkan apabila penerbangan tersebut berjalan dengan lancar dan selamat serta tidak mempunyai sebarang masalah teknikal.

“Terasa pengorbanan saya bekerja keras mencipta alat ini berbaloi. Saya begitu gembira dan terhutang budi dengan pasukan dan isteri yang banyak menyokong selama ini,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai mesin papan luncur yang digunakan dalam misi tersebut, Zapata memberitahu inovasi tersebut dilakukannya bersama pasukannya kira-kira lima tahun lalu.

“Sepanjang tempoh tersebut, kami telah melalui puluhan bentuk ujian dan kegagalan.

“Sekitar 25 Julai lalu, saya pernah melakukan misi yang sama, tetapi percubaan untuk melengkapkan tempoh perjalanan tersebut gagal dan saya begitu kecewa.

“Disebabkan itu, sewaktu melakukan misi tersebut untuk kali kedua awal bulan lalu, saya begitu berdebar-debar. Bagaimanapun, saya begitu menikmati sepanjang 6 kilometer pertama perjalanan.

“Debaran semakin terasa apabila misi hampir selesai. Kali ini, pasukan kami berjaya,” jelasnya.

Industri ketenteraan

Menurutnya lagi, dalam misi tersebut, dia telah mengembara sejauh 35km, selain ketinggian sekurang-kurangnya 49 meter di atas air.

Lebih menarik apabila kapal Tentera Laut Perancis turut berada di sana bagi mengawasi perjalanan yang dilakukan dan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

Misi tersebut juga mendapat sokongan daripada pihak berkuasa di Calais yang memberinya keizinan untuk mengisi minyak di perairan Perancis jika peranti tersebut kehabisan minyak.

“Misi ini mempunyai 50 peratus sahaja untuk berjaya. Ini kerana, peranti tersebut hanya dapat mengisi minyak paling maksimum 42 liter.

“Keadaan tersebut menyebabkan saya berkemungkinan terpaksa mendarat di bot pada pertengahan misi untuk mengisi minyak. Bagaimanapun, saya percaya kepada teknologi yang kami gunakan.

“Ternyata, ia benar-benar berhasil dan saya berjaya tiba ke destinasi tujuan dengan selamat tanpa perlu mengisi minyak,” jelasnya.

Zapata berharap peranti yang dihasilkan oleh pasukannya akan dikomersialkan dan menjadi salah satu alternatif untuk memperkasakan industri ketenteraan negara suatu hari nanti.

Lelaki ambil masa lima tahun cipta papan luncur boleh terbang berteknologi tinggi yang dikuasakan oleh lima enjin turbojet untuk seberang selat.