Setiap kali menaiki anak tangga, dia semestinya akan berhenti buat seketika bagi mengurangkan rasa ngilu pada lututnya.

Bukan sahaja tidak dapat bergerak bebas, malah masalah itu menyebabkan dia tidak lagi dapat melakukan hobi berjoging di taman yang telah menjadi rutin hariannya sejak dulu lagi.

Dalam tempoh itu, boleh dikatakan berulang-alik ke hospital sudah menjadi perkara biasa baginya dan isteri, Harpajan Khor Partab Singh, 67, yang turut mengalami masalah serupa.

Menurut Aptar Singh, doktor pernah memberikannya suntikan bagi melancarkan pergerakan sendi namun masalah itu akan berulang kembali.

Selain itu, doktor menyarankan kepadanya untuk menjalankan pembedahan pergantian sendi lutut tetapi kaedah itu memakan kos ribuan ringgit dan alat itu perlu ditukar lagi selepas 15 tahun.

“Bagaimanapun, nasib saya mula berubah selepas seorang kawan mencadangkan agar menggunakan rawatan fisioterapi yang dijalankan di Klinik Terapi Fizikal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya

Dia yang merupakan seorang pesara kerajaan memberitahu, banyak perubahan yang berlaku pada dirinya sejak menggunakan kaedah itu kira-kira setahun yang lalu.

“Saya bukan sahaja diberi penerangan tentang rawatan menggunakan kaedah ini, malah turut diajar bersenam dengan cara yang betul di samping mengatasi masalah sakit lutut yang dialami.

Fokus

“Dengan kaedah itu, saya kini sudah boleh bergerak aktif malah turut mampu berlari serta membawa cucu-cucu saya berjalan-jalan di taman berhampiran,” ujarnya.

Tambah Aptar Singh, walaupun kaedah itu nampak ringkas dan bersahaja namun kesannya adalah sangat memuaskan.

Katanya, dia kini masih menjalani rawatan namun hanya dua minggu sekali memandangkan penyakitnya itu telah bertambah baik berbanding dahulu.

Bercakap soal kepentingan kaedah rawatan tersebut, Ketua Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan UKM, Profesor Madya Dr. Nor Azlin Nordin berkata, fisioterapi merupakan satu kaedah rawatan yang berasaskan proses rehabilitasi.

Secara asasnya, tugas ahli fisioterapi adalah untuk membantu pesakit mendapatkan, mengekalkan serta memulihkan kembali keupayaan bergerak.

Proses itu akan dilakukan melalui kaedah fizikal seperti senaman dan urutan serta rawatan lain seperti menggunakan haba, ais, arus elektrik dan air.

Keupayaan bergerak merujuk kepada pergerakan yang paling ringkas bermula daripada mengenyit mata sehinggalah kepada aktiviti kompleks seperti berlari dan melompat.

Peranan pakar fisioterapi tersebut bukan sekadar untuk lingkungan umur tertentu tetapi sepanjang hayat bermula daripada bayi yang baru dilahirkan sehingga kepada warga emas.

“Ahli fisioterapi bukan sekadar memfokuskan kepada rehabilitasi semata-mata tetapi juga menjalankan tugas promosi dan pencegahan kehilangan pergerakan.

“Promosi itu merujuk kepada membuat penekanan berhubung kepentingan aktiviti fizikal dan senaman memandangkan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

“Manakala pencegahan pula merujuk kepada memberi penekanan bagi mengelakkan daripada berlakunya ketidakupayaan pergerakan atau kemerosotan fungsi tubuh badan,” katanya selaku Ketua Klinik Terapi Fizikal UKM.

Kata Nor Azlin, rawatan menggunakan kaedah fisioterapi dijalankan melalui satu senaman khusus yang dipanggil terapi senaman.

Senaman berbeza

Menurutnya, senaman yang dijalankan adalah berbeza mengikut masalah yang dihadapi pesakit. Jika melibatkan tangan, senaman akan memfokuskan bagi mengoptimumkan fungsi anggota tersebut dan begitulah sebaliknya bagi setiap anggota badan yang lain.

“Rawatan ini sememangnya mampu membantu pesakit memandangkan sudah ada bukti dan kajian yang menunjukkan bahawa kita dapat mencegah ketidakupayaan bergerak melalui senaman dan aktiviti fizikal yang lain,” tegasnya.

Pergerakan seperti bercakap, bernafas, berjalan dan berlari merupakan pusat kepada kehidupan manusia dan keupayaan itu boleh terjejas disebabkan beberapa faktor antaranya penyakit, penuaan dan kecederaan.

Bermula daripada situ, ahli fisioterapi akan memainkan peranan mereka bagi membantu individu yang mengalami masalah tersebut agar keupayaan itu dapat dikembalikan semula.

Jika ahli fisioterapi mendapati kekurangan atau kehilangan pergerakan pada pesakit, mereka membuat analisa terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca sebelum menyarankan senaman yang sesuai dilakukan dengan keadaan pesakit.

Tambah beliau, rawatan fisioterapi memerlukan satu tempoh masa memandangkan kaedah itu bergantung kepada punca yang menyebabkan pergerakan itu berkurangan.

“Jika disebabkan penyakit, kami mempunyai teknik rawatan untuk mengurangkan penyakit itu.

“Manakala sekiranya punca adalah disebabkan otot lemah, kami akan mereka senaman yang bertepatan dengan fungsi otot itu supaya pesakit boleh mendapatkan kekuatan otot semula dan seterusnya melatih kembali pergerakan tersebut,” ujarnya.

Bercakap soal kesedaran orang ramai mengenai fisioterapi, Nor Azlin memberitahu, bidang tersebut kini sudah tidak asing lagi sebagai salah satu rawatan gangguan saraf yang paling berkesan dan memudahkan.

Pemahaman

Menurutnya, boleh dikatakan orang ramai sudah mengetahui kaedah rawatan tersebut tetapi mungkin tidak mengetahui teknik yang betul untuk dilakukan.

“Justeru, kami mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berjumpa ahli fisioterapi bagi mendapatkan rundingan atau mencuba kaedah-kaedah rawatan yang ada.

“Teknik atau kaedah yang akan diajar itu tidak semestinya hanya boleh dilakukan di klinik dan pusat rawatan tetapi boleh dilaksanakan di rumah sambil melakukan aktiviti harian,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan Klinik Terapi Fizikal UKM, Aida Safra Ruslan berkata, bekerja sebagai ahli fisioterapi memerlukan seseorang itu bijak mendekati pesakit.

Katanya, hubungan baik antara perawat dan pesakit perlu dibina terlebih dahulu supaya proses menerangkan tentang kaedah tersebut menjadi lebih mudah.

“Kebanyakan yang datang tidak memahami dan ragu-ragu pada mulanya. Saya sendiri pernah berdepan dengan pesakit yang tidak menyakini rawatan kerana telah banyak menjalani rawatan berkos tinggi. Bagaimanapun, setelah mencubanya, dia tidak lagi mengadu sakit,” ujarnya yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam bidang tersebut.

Terang Aida lagi, ramai pihak sering menyalah anggap dan menyamakan ahli fisioterapi dengan tukang urut walhal ia adalah pendapat yang salah.

“Kami memang mempelajari cara teknik mengurut tetapi kaedah itu adalah salah satu daripada rawatan yang fisioterapi sediakan. Bukan semua keadaan sesuai untuk diurut.

“Semua urutan dalam bidang fisioterapi adalah hasil kajian yang menyeluruh dan terbukti dapat mengembalikan fungsi badan seperti sedia kala,” tegasnya.

Peranan ahli fisioterapi adalah untuk membantu pesakit mendapatkan, mengekalkan dan memulihkan kembali keupayaan bergerak.