Legenda bola sepak dunia itu mengenakan jersi kelab bola sepak Barcelona rona merah dan biru yang dipancarkan oleh projektor di rumah persaraan kelab Madrid, Sepanyol.

Bekas pemain pertahanan kelab Atletico Madrid yang pernah meraih pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Roberto Solozabal, 48, dan bekas pemain sayap kanan kelab Valladolid, Javier Torres kemudiannya tiba, sekali gus menyertai kumpulan itu.

Mereka bertanya kepada kumpulan tersebut siapakah individu yang sedang mereka lihat itu.

“Beliau seorang pemain yang hebat,” kata Torres.

Salah seorang daripada mereka mengecam Maradona yang pernah bermain untuk pasukan Barcelona pada awal tahun 1980-an.

Solozabal dan Torres bertanya lagi, jika mereka masih ingat Maradona menyepak bola menggunakan kaki kiri atau kanan.

Mengimbau kenangan seperti itu merupakan pendekatan yang diambil oleh rumah kebajikan orang tua swasta, Ballesol Olavide bagi membantu memulihkan semula ingatan ahli masyarakat yang mengalami gangguan Alzheimer atau sebarang bentuk penyakit nyanyuk.

Pekerja di rumah kebajikan orang tua itu memberitahu, kaedah tersebut membantu mereka mengingati semula memori lampau.

Dalam bengkel itu, peserta digalakkan untuk mencatat semula cebisan memori yang mereka ingat ke dalam buku nota untuk memudahkan rujukan.

“Ia membantu saya untuk mengingati perkara yang pernah berlaku dalam hidup saya sebelum ini.

“Saya mendapat gambaran mengenai orang-orang yang pernah saya kenali, namun kini saya tidak tahu di mana mereka berada,” luah salah seorang peserta yang merupakan bekas pemandu trak, Ricardo Marina Liceras, 87.

Manfaat

Dalam tempoh kurang setahun Liceras berada di rumah kebajikan orang tua Ballesol Olavide, dia bukan sahaja mendapat manfaat daripada terapi bola sepak itu, malah ia turut mengeratkan hubungan bersama penghuni yang lain.

Sepanjang program mingguan yang dijalankan selama dua jam bagi setiap sesi selama 12 minggu itu, bekas pemain bola sepak akan menggunakan gambar, acara atau kenangan indah berkaitan bola sepak bagi menggamit semula ingatan pesakit terhadap kisah kehidupan lampau mereka.

Menjadikan bola sepak sebagai subjek, pendekatan yang disebut sebagai terapi kenang kembali itu merupakan amalan klinikal lazim bagi mengubati penyakit nyanyuk.

“Bola sepak merupakan ‘alat’ untuk menghidupkan kenangan kerana bagi kebanyakan individu di Sepanyol atau negara-negara Eropah lain, ia menghubungkan nostalgia zaman kanak-kanak seseorang.

“Ia menyentuh segenap aspek kehidupan seseorang sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Anda mungkin bukan peminat tegar bola sepak, namun sukan itu menjadi kegemaran pasangan atau anak-anak anda,” ujar Solozabal.

Kajian yang dilakukan mendapati, terapi itu mampu mengubati fungsi kognitif dan kualiti hidup seseorang dengan cara meningkatkan keyakinan diri serta melawan perasaan sunyi yang sering dialami oleh penghuni rumah kebajikan orang tua.

Persekutuan Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Sepanyol memperkenalkan program itu pada tahun 2016 ekoran kejayaan inisiatif seumpamanya di Scotland.

Kaedah itu dipercayai boleh disesuaikan dengan perkembangan bola sepak Sepanyol yang mempunyai empat akhbar harian khusus bagi sukan tersebut.

“Bola sepak menggerakkan emosi yang sangat kuat. Ia adalah sesuatu yang sentiasa diingati oleh seseorang,” kata Presiden Persekutuan yang juga bekas pemain pertahanan Athletic Club, Juan Maria Zorriqueta, 77.

Apabila seseorang mula nyanyuk, kenangan sewaktu zaman kanak-kanak dan awal dewasa akan menjadi lebih dominan untuk dikenang. – AFP