Sebelum ini, negara kita digemparkan dengan kematian seorang remaja berusia 15 tahun akibat terkena sebuah kerusi pejabat yang dibaling dari tingkat 23, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada Januari lalu.

Terbaharu, berlaku pula kejadian individu membuang televisyen dari aras 13 di Pangsapuri Seri Intan, Taman Sri Intan, Kuala Lumpur.

Televisyen tersebut menghempap sebuah kereta Myvi milik, Muhammad Nur Rashid Merzuki, 24.

Sejak 11 tahun, dia menetap di pangsapuri tersebut sudah banyak kali kejadian kenderaan dilempar pelbagai objek seperti batu-bata dari tingkat atas oleh penghuni yang tidak bertanggungjawab.

Sehingga kini, pelaku yang membuang objek di PPR Seri Pantai dan Pangsapuri Seri Intan masih tidak dapat diketahui.

Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad, perbuatan membuang objek dari tingkat atas bangunan tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja sehingga ia menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

“Tindakan sewajarnya perlu diambil untuk memperbetulkan keadaan ini agar tidak menjadi budaya yang merosakkan masyarakat.

“Masalah ini berkaitan dengan didikan yang membentuk sistem nilai dan ia perlu diterap sejak kecil di rumah serta sekolah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ujarnya, sikap dan peri laku manusia dibentuk oleh institusi keluarga, pendidikan di sekolah dan persekitaran sosial.

Beliau memberikan contoh, seseorang yang tinggal dalam persekitaran kotor akan menjadi seorang pengotor kerana sifat manusia memang begitu.

Disebabkan itu, masyarakat yang berdisiplin seperti Jepun telah menekankan pendidikan nilai sejak kecil antaranya memberikan tugasan membersihkan bilik darjah agar mereka lebih bertanggungjawab.

Hukuman berat

Zaid turut menyarankan agar tindakan undang-undang dan hukuman yang berat dikenakan kepada si pelaku kerana perbuatan tersebut bukan hanya merosakkan harta benda awam tetapi boleh meragut nyawa.

“Institusi keluarga dan pihak sekolah perlu menilai semula cara terbaik dan kaedah berkesan untuk mendidik anak-anak agar mereka menjadi masyarakat bertanggungjawab.

“Kerjasama ahli rukun tetangga juga sangat penting untuk bersama-sama mengekang perkara ini daripada terus terjadi,” ulasnya.

Pemasangan televisyen litar tertutup juga penting untuk mengesan si pelaku dan membuatkan mereka tidak berani melakukannya.

Sementara itu, Pensyarah Psikologi, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya CUCMS, Cyberjaya, Prof. Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub berkata, kemungkinan individu yang melakukan perbuatan tersebut mengalami masalah psikologi.

“Ia boleh dikategorikan sebagai kecelaruan obsesif kompulsif iaitu menyukai kekemasan dan kebersihan secara keterlaluan sehingga membuatkan fikirannya terganggu jika ternampak tempat berselerak.

“Setiap orang mempunyai sifat itu tetapi secara sederhana sahaja dan sekiranya berlebihan individu tersebut perlu mendapatkan rawatan,” terangnya.

Tuturnya, antara punca berlakunya kecelaruan itu adalah dibesarkan oleh ibu bapa atau penjaga yang cerewet serta dikasari sejak kecil terutamanya dalam hal-hal berkaitan kebersihan.

Selain itu, pelaku tersebut juga mungkin mempunyai tingkah laku lencongan iaitu tidak suka mengikut peraturan sebaliknya membuat peraturan sendiri.

Tambahnya, perbuatan membuang objek dari tingkat atas bangunan juga berkemungkinan dilakukan oleh individu antisosial yang suka membuang sampah merata-rata dan tidak peduli pandangan orang lain.

Mengulas mengenai mengubah sikap atau tabiat, Noran Fauziah memberitahu, perkara itu memerlukan jangka masa yang lama sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun kerana ia sudah sebati dalam diri.