Justeru, Panglima TD, Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, pasukan itu melihat adanya satu keperluan khusus untuk melatih anggota dalam operasi pertempuran di kawasan terbina (OBUA) memandangkan teknik dan taktiknya berbeza dengan pertempuran di hutan.

“Zulkiple Combat Urban Village (ZUCoV) yang dibiayai oleh Tentera Darat Australia itu memantapkan latihan OBUA yang sebelum ini tidak lengkap kerana anggota tidak diuji di lapangan sebenar.

“Pembinaan kompleks ini merupakan salah satu pendekatan yang perlu ada pada anggota bersesuaian dengan ancaman semasa supaya TD Malaysia kekal relevan,” katanya selepas merasmikan ZUCoV di lapang sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Johor Bharu, Johor baru-baru ini.

Sebelum ini, anggota TD hanya berlatih di sebuah bangunan dua tingkat di kawasan yang sama.

Tambah beliau, fasiliti yang siap dibina pada 27 Oktober lalu itu akan dinaik taraf dalam masa terdekat untuk melengkapkan latihan menggunakan peluru hidup. Bagaimanapun, fasa itu bergantung kepada sumber kewangan.

“ZUCoV akan digunakan dalam silibus pelajaran kepada penuntut di Pulada sebagai pendedahan asas kepada OBUA selain menjadi tempat latihan kepada batalion-batalion infantri sedia ada,” jelasnya.