Kosmo! Ahad: Boleh tuan jelaskan secara terperinci tentang penubuhan Perbit dan apakah tugas-tugasnya?

MOHD. ALI: Perbit ditubuhkan pada tahun 2010 oleh saya serta beberapa ahli lain dan kami bertindak sebagai watchdog atau pemerhati kepada pengguna-pengguna telefon bimbit di negara ini. Sebenarnya banyak isu yang timbul dalam kalangan pengguna telefon bimbit seperti kes penipuan yang membabitkan syarikat telekomunikasi. Sebagai sebuah persatuan, kami menjalankan kajian selepas menerima aduan daripada pengguna contohnya aduan berkenaan lebihan caj yang dikenakan kepada pengguna talian telekomunikasi dan juga masalah ketiadaan liputan di sesetengah kawasan. Selain itu, kami juga merupakan persatuan yang menentang Cukai Barang dan Perkhidmatan yang sebelum ini dikenakan terhadap pengguna kad prabayar sehingga ia akhirnya diberi pelaksanaan rebat.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), seramai 20 juta rakyat di negara ini menggunakan 42.8 juta telefon bimbit. Ini bermakna, secara purata, seorang pengguna memiliki dua buah telefon. Boleh tuan ulas tentang statistik ini dan apakah fungsi telefon bimbit kedua itu?

Sehingga Jun lalu, statistik SKMM menunjukkan seramai 20 juta orang rakyat Malaysia merupakan pengguna telefon bimbit dan jumlah telefon bimbit yang digunakan adalah sebanyak 42.8 juta. Ini jelas menunjukkan bahawa seorang pengguna secara purata menggunakan dua buah telefon. Berdasarkan jumlah tersebut, 47 peratus daripada mereka menggunakan telefon bimbit kedua hanya untuk melayari internet. Contohnya, menggunakan aplikasi WhatsApp dan menonton filem. Sebanyak 30 peratus yang lain pula menggunakan telefon bimbit kedua untuk tujuan pekerjaan iaitu membuat panggilan daripada nombor lain. Kebanyakan mereka merupakan peniaga-peniaga online yang tidak mahu mencampurkan talian peribadi dan talian kerja, manakala 20 peratus pengguna pula menggunakan telefon bimbit kedua atas urusan peribadi. Contohnya, pengguna tersebut tidak mahu nombor pertamanya diketahui oleh individu tertentu dan memilih menggunakan telefon bimbit kedua untuk urusan peribadi. Oleh itu, majoriti pengguna telefon bimbit di negara ini sudah ketagih internet dan memiliki telefon bimbit kedua untuk tujuan melayari internet.

Berapa ramaikah pengguna internet yang menggunakan telefon bimbit untuk melayari internet sahaja?

Berdasarkan kajian yang dibuat Perbit, 89 peratus pengguna internet melayari laman web dan aplikasi kegemaran menggunakan telefon pintar. Hal ini kerana telefon pintar semakin canggih dan pengguna telefon pintar boleh menyimpan pelbagai aplikasi dalam peranti tersebut. Kini, pengguna internet jarang sekali melayari internet menggunakan komputer di pejabat kecuali atas urusan kerja. Jika mereka sekadar mahu mendapatkan maklumat yang pantas, mereka akan memilih telefon bimbit kerana ia lebih mudah. Daripada jumlah itu pula, kami mendapati bahawa individu berusia 20 hingga 24 tahun merupakan mereka yang paling banyak menggunakan telefon bimbit untuk tujuan melayari internet.

Sejak bilakah ketagihan terhadap internet dalam kalangan rakyat Malaysia ini mula dikesan?

Ketagihan terhadap internet sebenarnya sudah lama berlaku dalam kalangan Malaysia dan orang ramai menjadikan trend bertukar telefon sebagai gaya hidup. Mereka gilakan model terbaharu biarpun model telefon bimbit yang lama masih berfungsi dengan baik. Pada tahun 2016, sebanyak 8.5 juta telefon pintar telah terjual. Keseronokan melayari internet melalui telefon bimbit juga menyebabkan rakyat Malaysia menghabiskan 60 peratus daripada bil telefon mereka untuk membayar data internet, manakala selebihnya untuk tujuan membuat panggilan atau menghantar khidmat pesanan ringkas.

Jika dilihat, ketagihan terhadap internet bukan hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa, malah ia juga berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Apakah komen tuan tentang isu ini dan bagaimanakah ia boleh diatasi?

Ibu bapa moden lazimnya akan menggunakan telefon bimbit dan menunjukkan video atau permainan kepada anak-anak bagi mengelakkan mereka daripada meragam khususnya ketika berada di tempat awam. Kanak-kanak kini juga sudah semakin bijak dan mereka tahu bahawa telefon bimbit tersebut boleh digunakan untuk melayari internet dan akan mengulang video yang sama sehingga mereka menjadi ketagih. Oleh itu, saya berharap agar ibu bapa boleh mengambil pendekatan untuk menggunakan kaedah tradisional sebagai satu bentuk hiburan kepada anak-anak. Contohnya, sekiranya anak-anak mahu menonton video atau filem kegemaran, mereka hanya boleh menonton video menerusi televisyen dan bukannya menerusi telefon bimbit. Dengan cara ini, anak-anak akan sedar bahawa video atau cerita kesukaan mereka hanya boleh ditonton di televisyen dan lama-kelamaan mereka akan faham. Melalui cara itu, ia mungkin boleh mengurangkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak terhadap telefon pintar.

Selain daripada ketagihan terhadap internet, adakah pengguna telefon bimbit menggunakan peranti tersebut sebagai satu status sosial?

Saya kurang bersetuju sekiranya telefon bimbit yang canggih dianggap sebagai pengukur kepada status sosial. Bagi saya, kerap bertukar telefon atau memiliki sehingga dua buah telefon itu tidak menunjukkan tahap kekayaan seseorang individu. Status sosial biasanya lebih kepada barang-barang yang lebih besar nilainya dan boleh dilihat oleh orang ramai contohnya kereta mewah dan rumah yang besar. Begitu pun, dengan lambakan telefon bimbit yang mahal dan canggih, tidak mustahil trend bertukar telefon ini boleh dijadikan sebagai status sosial, khususnya dalam kalangan anak muda yang cukup suka terlihat ‘lebih’ daripada orang lain.

Adakah ketagihan melampau ini akan mendatangkan masalah kesihatan kepada pengguna telefon bimbit?

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh International Agency for Cancer Research (IRAC) pada tahun 2011, radiasi elektromagnet yang terkandung dalam telefon bimbit sebenarnya paling rendah jika dibandingkan dengan peranti-peranti lain. Sehingga kini juga, tiada penemuan atau kajian yang membuktikan bahawa telefon bimbit dan ketagihan terhadap peranti itu menyebabkan berlakunya kanser atau penyakit-penyakit kronik yang lain. Begitu pun, kanak-kanak yang sudah didedahkan dengan radiasi elektromagnet pada usia yang muda lebih terdedah dengan penyakit berbanding orang dewasa. Hal ini kerana kepala dan otak kanak-kanak lebih kecil berbanding orang dewasa, namun jumlah radiasi yang diterima sama dengan orang dewasa. Oleh itu, saya sarankan supaya janganlah terlalu kerap membiarkan kanak-kanak bermain dengan telefon bimbit bagi mengelakkan terjadinya sebarang kemungkinan yang buruk.