Jika dilihat dalam kehidupan seharian kita, perbuatan tersebut sering dilakukan oleh orang sekeliling sama ada dalam kalangan ahli keluarga, teman-teman terdekat mahupun rakan serumah.

Bukan sekali kita mendengar tentang kes kecederaan dan kematian yang berlaku akibat berbual di telefon bimbit yang sedang dicas.

Antara kes renjatan melibatkan telefon bimbit adalah seperti di Beijing, China yang mana seorang lelaki dilaporkan koma lebih daripada 10 hari ketika menggunakan telefon pintar yang sedang dicas.

Selain itu, kes kedua turut berlaku di tempat sama yang mana seorang wanita berusia 23 tahun meninggal dunia akibat renjatan elektrik.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan seorang isteri anggota polis berpangkat koperal menemui ajal akibat terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicas di rumahnya di Taman Desa Baiduri, Cheras Kuala Lumpur.

Kejadian tersebut dikatakan merupakan kes pertama di Malaysia yang melibatkan mangsa maut terkena renjatan ketika bercakap menerusi telefon bimbit yang sedang dicas.

Di Malaysia, sejumlah 30 juta pengguna diancam bahaya sekiranya masih mengamalkan tabiat berbual menggunakan telefon bimbit sewaktu dicas.

Kesedaran terhadap bahaya penggunaan telefon bimbit ketika dicas hendaklah didedahkan secara khusus kepada masyarakat umum.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kesibukan seharian masyarakat pada masa kini telah menyebabkan mereka sering bergantung terhadap penggunaan telefon bimbit.

Keadaan ini seiring dengan kewujudan perisian sokongan utama seperti Android dan iOS yang membolehkan segala maklumat diperoleh di hujung jari tanpa mengira masa dan tempat kita berada.

Kebergantungan terhadap penggunaan terhadap telefon bimbit yang sangat tinggi dalam aktiviti harian telah mengakibatkan telefon bimbit kita sering kehabisan bateri.

Begitupun, menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas bukanlah satu langkah bijak sekiranya sangat memerlukan penggunaannya.

Punca

Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd. Marzuki Mustafa berkata, perbuatan bercakap menggunakan telefon bimbit sewaktu sedang dicas boleh mengundang dan mengancam nyawa.

Katanya, seseorang boleh terkena renjatan elektrik sekiranya berlaku kerosakan pada mana-mana komponen dalaman telefon bimbit itu.

“Kematian akibat renjatan bukan sahaja disebabkan oleh kadar arus voltan tetapi turut berpunca daripada kerosakan telefon bimbit yang digunakan.

“Telefon bimbit yang kurang berkualiti boleh menyebabkan kebocoran aliran elektrik memandangkan peranti tersebut tidak mampu menampung voltan yang dialirkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Mohd. Marzuki, kebocoran aliran elektrik pada gajet ketika dicas akan menyebabkan renjatan apabila berlaku sentuhan ketika menggunakan telefon bimbit tersebut.

Jelasnya, antara kerosakan biasa yang boleh menyebabkan kebocoran elektrik ialah komponen seperti bateri, wayar pengecas dan adapter (penyesuai).

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mengecas telefon bimbit melebihi lapan jam bagi mengelakkan kerosakan pada mana-mana komponen dalaman telefon,” katanya.

Mohd. Marzuki turut menyarankan kepada pengguna agar membeli barangan dan peranti alat komunikasi yang berkualiti dan disahkan keselamatannya.

Hal ini kerana, pada masa kini ramai orang mudah terpedaya dengan tawaran telefon bimbit pada harga murah, namun diragui tahap keselamatan ketika menggunakannya.