Zack Merican yang juga merupakan seorang vlogger memuat naik satu video dia mengenakan adik lelakinya, Syafiq Merican.

Menerusi video berdurasi selama 12 minit itu, Zack berlakon seolah-olah dirinya telah disampuk dan mula ketawa untuk menakut-nakutkan Syafiq yang ketika itu sedang bermain permainan video di komputer.

Syafiq kemudian kelihatan cemas dan cuba menenangkan abangnya selain mendirikan solat sunat selepas melihat kelakuan aneh Zack.

Selepas beberapa ketika, Zack yang ketika itu sedang berbaring di atas katil tiba-tiba merebahkan dirinya atas lantai sehingga menyebabkan Syafiq semakin cemas.

Pada penghujung video, Syafiq tiba-tiba tersedar akan kewujudan sebuah kamera yang diletakkan di satu sudut dalam bilik mereka dan tahu bahawa aksi mereka sedang dirakam.

Bagi mengenakan abangnya semula, Syafiq tiba-tiba rebah dan berlakon seolah-olah sedang disampuk. Kali ini, Zack pula yang terkejut dan cuba menenangkan adiknya itu sebelum Syafiq akhirnya ketawa kuat.

Rata-rata netizen yang menonton video tersebut mengaku rasa terhibur dengan gurauan kedua-dua beradik itu dan memuji tindakan Syafiq yang dilihat cukup tenang dalam mengawal situasi tersebut.