Rata-rata pengguna laman sosial berasa geli hati selepas melihat kanak-kanak itu lari ke arah berlawanan sejurus mendapat baton daripada rakan pasukannya semasa acara sukan lari berganti-ganti.

Menerusi video berdurasi satu minit itu, kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Aishah dari Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak merupakan pelari ketiga yang mewakili rumah sukan merah dalam acara 4x50 meter.

Bagaimanapun, semasa tiba gilirannya sebagai pelari terakhir, Aishah yang merupakan anak Orang Asli suku Temiar dengan lajunya telah berlari ke arah berlawanan sehingga menyebabkan beberapa orang guru yang bertugas terpaksa mengejar kanak-kanak itu.

Difahamkan Aishah sebenarnya tidak terlibat di dalam acara tersebut dan terpaksa menggantikan tempat rakannya yang tidak sihat.

Menerusi komen yang ditinggalkan pengguna laman sosial, selain berasa terhibur melihat telatah kanak-kanak itu, rata-rata mereka bersetuju bahawa Aishah mempunyai potensi dalam bidang sukan lumba lari kerana lariannya yang dilihat cukup laju.