Punat pada mesin kisar itu kemudian ditekan Zainah Zainudin, 56, pada tahap sederhana bagi memastikan bunga telang hancur sebati. Hasil kisaran itu kemudian diperah pada penapis hingga tinggal hampas.

Air yang ditadah pada mangkuk kecil itu kemudian dimasukkan ke dalam periuk nasi bersama beras sebelum ditanak menjadi nasi.

Itulah proses yang dilakukan setiap kali Zainah dari Sentul, Kuala Lumpur memasak nasi kerabu iaitu sajian popular negeri Kelantan.

Katanya, nisbah yang lazim digunakan adalah sebanyak lima hingga tujuh kuntum bunga untuk empat atau lima pot beras.

“Kadar kepekatan warna biru pada nasi yang dihasilkan bergantung kepada kepekatan warna biru air bunga telang yang digunakan.

“Jika mahu warna yang lebih gelap, maka lebih banyak kuntum bunga yang perlu dimasukkan,” katanya yang gemar menggunakan bunga telang sebagai pewarna asli dalam menyediakan menu nasi kerabu.

Selain nasi kerabu, bunga telang atau nama saintifiknya, Clitoria ternatea turut digunakan dalam ramuan menghasilkan pulut tai tai iaitu manisan istimewa kaum Peranakan di Melaka.

Rupa

Pulut yang diperbuat daripada beras pulut itu akan direndam bersama air rebusan bunga telang. Ia kemudiannya dikukus sebelum dimakan bersama kaya.

Kegunaan bunga telang begitu sinonim dengan pembuatan makanan yang memerlukan unsur warna biru keunguan. Ini kerana bunga telang mampu berfungsi sebagai bahan pewarna semula jadi bagi menggantikan warna sintetik.

Dalam bahasa Inggeris bunga telang juga dipanggil sebagai butterfly-pea, blue-pea dan cprdofan-pea.

Namun kini, hampir majoriti masyarakat moden Malaysia tidak begitu mengenali kewujudan dan rupa bentuknya. Sedangkan bunga berkenaan mahupun pokoknya mempunyai pelbagai manfaat dan khasiat tersembunyi yang kurang diketahui ramai.

Di Amerika Syarikat (AS) terdapat banyak kajian saintifik dilakukan ke atas pokok tersebut. Menerusi sebuah laman web kesihatan Examine.com, bunga telang juga terkenal dalam perubatan tradisional ayurveda.

Malah, bunga telang telah digunakan selama berabad-abad di negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan China. Ia boleh didapati dalam pembuatan syampu rambut.

Perunding remedi asli, Noor Haryana Pazim, 40, berkata terdapat banyak khasiat lain pada bunga yang menyerupai kemaluan wanita itu atau pokoknya sendiri.

“Antara yang paling signifikan adalah bunganya yang begitu terkenal sebagai remedi semula jadi kerana tinggi kandungan bahan antioksida.

“Bahan antioksida semula jadi dikenali bioflavonoids ini mampu membantu penyerapan vitamin C dengan lebih efisien,” katanya yang sudah hampir lima tahun menjalankan kajian terhadap bunga telang.

Menurut ibu kepada tujuh cahaya mata itu, sekiranya air rebusan bunga telang diminum ia dapat membantu membangkitkan kesegaran tubuh.

“Jika dijadikan syampu rambut pula, ia dapat membantu membuka folikel rambut supaya pertumbuhannya lebih cepat sekali gus membantu melebatkan rambut,” katanya.

Tambahnya, terdapat juga petua orang dulu-dulu yang menggunakan air rendaman bunga telang untuk mengurangkan sakit-sakit ringan tertentu.

“Sejauh mana keberkesanannya bagaimanapun bergantung pada diri masing-masing,” ujar perunding di sebuah syarikat tempatan pengkhususan dalam perihal kehamilan, berpantang dan laktasi itu.

Ubah warna

Menyentuh mengenai penggunaannya sebagai minuman, Pensyarah Fakulti Sains Makanan dan Teknologi Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Muhammad Shahrim Abdul Karim berkata, bunga telang kering juga boleh dijadikan teh biasa seperti teh chamomile yang popular di AS. Ia mampu memberi manfaat menenangkan.

“Ia digunakan dengan cara yang sama sebagai minuman selepas makan malam. Ia boleh disajikan secara panas atau sejuk dan biasanya dicampur dengan madu, halia, pudina atau buah markisa.

“Selain minuman teh kosong, bunga yang telah dikeringkan juga sering digunakan dalam koktel untuk kelihatan lebih menarik,” ujarnya sambil memaklumkan kelopak bunga tersebut turut digunakan untuk menghias salad, aiskrim dan sup.

Bercerita lanjut mengenai teh bunga telang, tutur Muhammad Shahrim, apa yang paling menarik tentang teh bunga itu ialah kemampuannya untuk berubah warna.

“Rahsia terletak pada tahap pHnya. Maksudnya, minuman ini akan berubah warna bergantung pada pH apa saja bahan yang ditambahkan kepadanya.

“Misalnya, pada rendaman pertama, minuman itu mempunyai warna biru pekat. Sekiranya ditambah perisa lemon atau cecair berasid, ia akan berubah menjadi ungu yang cantik manakala jika dimasukkan bunga raya pula, ia akan berubah menjadi merah terang,” jelasnya.

Penggunaan bunga telang di luar negara agak meluas.

Lazimnya, bunga telang dijadikan topeng muka dalam bidang penjagaan wajah dan alat kosmetik.

Sementara itu, seorang pakar agronomi, Datuk Mohd. Anim Hosnan menerusi blognya animhosnan.blogspot.com menjelaskan mengenai sifat bunga telang dan cara penanaman pokoknya.

Menurutnya, bunga telang yang juga dikenali dengan pokok kacang telang merupakan sejenis tumbuhan daripada keluarga fabaceae (kekacang) yang cantik dan banyak manfaatnya.

“Tumbuhan ini merupakan sejenis tumbuhan yang menjalar pada pokok lain, tiang, pagar atau kayu sokongan. Ketinggian pokok ini mampu mencapai antara tiga hingga empat meter bergantung kepada lilitan.

Biji benih

“Ia mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat cepat sekiranya ditanam di tanah yang subur dan menerima cahaya matahari yang baik.

“Bagaimanapun ia kurang sesuai pada tanah yang mudah ditenggelami air dan sangat berasid,” katanya.

Lazimnya pokok bunga telang ditanam menggunakan biji benih. Biji benihnya boleh didapati daripada ke kacang telang yang telah merekah.

Penanam disarankan untuk memilih biji benih yang elok terutamanya daripada pokok induk yang subur, tidak berpenyakit, banyak bunga dan buahnya.

Tambah Mohd. Anim yang mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang pertanian, berdasarkan generasi dahulu, selain bunga, kadang-kadang bahagian daun pokok bunga telang juga digunakan bagi mewarnakan makanan menjadi hijau.

“Kacang telang pula boleh dimasak dan dimakan kerana ia adalah jenis kekacang manakala bahagian pucuknya pula dipetik untuk dibuat sayur atau ulam,” katanya.

Bunga telang yang dikenali sebagai ‘bunga nasi kerabu’ ternyata mempunyai kepelbagaian penggunaan termasuk dijadikan minuman serta pembuatan barangan kecantikan.