Ini kerana dalam penggunaan harian, tulisan rumi sudah mendominasi kehidupan kita.

Ia hilang kerana hampir kesemua media, baik bersifat tradisional seperti akhbar atau media sosial juga tidak lagi menggunakan tulisan jawi.

Sama ada kehilangan tulisan jawi ini disebabkan oleh pengaruh media atau pembaca yang kian berkurangan?

Mungkin juga tidak lagi sebarang keuntungan komersial membuatkan tulisan ini berkubur. Ia masih boleh diperdebatkan.

Sebenarnya teknologi dan perkembangan media moden sedang mengancam kehidupan manusia.

Antaranya ialah kemahiran menulis tangan.

Hari ini, bukan sahaja orang dewasa, malah anak-anak kecil juga membesar dengan teknologi yang membolehkan mereka menulis tanpa menggunakan pen dan kertas.

Mereka menaip menggunakan komputer, tablet atau telefon pintar yang tidak lagi mempunyai sebarang keperluan tulisan cantik.

Mereka yang lahir sebelum tahun 1970-an tentu masih ingat huruf yang ditulis tangan mestilah mempunyai ‘ekor’ dan disusun dengan rapi.

Cuba kita perhatikan tulisan anak-anak kita sekarang. Sejauh mana tulisan mereka mementingkan elemen ini.

Kehadiran teknologi komunikasi yang beragam juga tidak memerlukan kita bersemuka lagi dengan manusia.

Dahulu, apabila menjemput kenalan atau sanak saudara untuk menghadiri majlis perkahwinan, kita perlu ke rumah untuk memastikan jemputan dilakukan dengan penuh sopan.

Penghubung

Kini, dengan aplikasi Facebook, WhatsApp atau Telegram, kad jemputan perkahwinan hanya boleh dikirimkan tanpa perlu bersemuka dengan mereka yang dijemput.

Bahkan, dalam banyak urusan lain, media sosial sudah menjadi penghubung sesama manusia.

Berita kematian, bencana alam atau apa sahaja urusan semuanya boleh dimaklumkan dengan lebih cepat dengan pelbagai aplikasi yang ada.

Hasilnya, manusia tidak lagi begitu memerlukan manusia. Manusia hanya memerlukan teknologi.

Selama ini, kita diajar untuk bijak menggunakan bahasa tubuh dalam keadaan tertentu.

Misalnya, anak-anak muda perlu sedikit menunduk apabila berjalan di hadapan orang tua.

Kita juga diajar supaya meraikan tetamu yang datang ke rumah dengan bersalam dengan mereka.

Cuba kita perhatikan perubahan yang sedang berlaku. Kini, anak-anak lebih sibuk dengan telefon pintar atau komputer meskipun ada tetamu yang bertandang ke rumah.

Mereka mengabaikan hubungan manusia untuk bertanya khabar atau berbual dengan cara yang bijak.

Malah, jika kita ke restoran, kita akan dapati hampir semua orang sebenarnya sedang berbual dengan telefon pintar dan bukan lagi dengan rakan yang duduk semeja dengan mereka.

Teknologi dan media sebenarnya sangat berkuasa untuk mengubah watak dan peri laku manusia.

Dalam bidang psikologi, kini telah muncul cabang baharu yang dikenali sebagai psikologi media.

Ia bidang yang tak pernah wujud puluhan tahun lalu. Pada masa silam, ahli psikologi hanya sekadar menyelidik pengaruh filem dan televisyen mengubah peri laku manusia.

Dikatakan bahawa tayangan filem ganas mampu mengubah watak seseorang menjadi lebih agresif.

Bagaimanapun, dalam dunia moden kini, televisyen mungkin bukan lagi medium yang utama. Manusia boleh menonton tanpa perlu membuka televisyen.

Bukan sekadar filem, malah pelbagai viral yang tersebar setiap hari sama ada baik atau buruk sekali gus menjadikan kita berhadapan dengan ketagihan baharu.

Kita ini sentiasa melihat perkembangan terkini dalam topik yang kita minati pada setiap minit. Hasilnya, kita sebenarnya tidak lagi menjadi manusia yang bersifat nyata.

Kita sedang dikuasai oleh teknologi yang kita ciptakan sendiri. Orang mungkin menyatakan bahawa teknologi sebenarnya mampu memudahkan banyak perkara.

Walaupun ia mungkin sesuatu yang tak dapat kita nafikan, tetapi manusia tidak lagi memerlukan orang lain di sekelilingnya.

Suami atau isteri yang hidup di dalam satu rumah tidak perlu berbual lebih banyak seperti mereka yang hidup pada tahun 1990-an.

Malah, anak-anak kita juga tidak lagi memerlukan taman permainan untuk bermain kerana pada tangan mereka sudah tersedia segala bentuk permainan.

Sama ada teknologi sedang menguasai kita atau tidak, itulah yang membimbangkan ahli psikologi media.

Di China, disebabkan tidak tahan dengan tekanan untuk mendapatkan isteri, Zheng Jiajia seorang jurutera mereka robot yang dinamakan sebagai Yingying untuk menjadi isterinya.

Malah, di China, sudah banyak robot yang dilantik untuk menjadi pelayan restoran.

Melihat situasi yang sedang berlaku hari ini, kita patut lebih berhati-hati dengan apa yang bakal berlaku puluhan tahun mendatang.

Teknologi bukan sekadar memudahkan manusia, tetapi juga mengubah kehidupan manusia.