Harapan Shafrul Kadir, 40, untuk melihat pokok itu kembali subur juga semakin tipis. Bagaimanapun, enam bulan lalu, pemilik dusun buah-buahan di Sungai Selaru, Serendah, Rawang, Selangor itu diperkenalkan dengan baja jenama Fastgrow Fertilizer.

Setelah diberitahu oleh penjual kelebihan baja jenis foliar atau cecair itu, Shafrul yang mengusahakan dusun buah-buahan sejak dua tahun lalu telah menyembur baja tersebut pada pokok durian berkenaan.

“Pokok durian itu tumbuh pucuk baharu, kembali subur dan nampak semakin cantik. Sudah pasti saya gembira melihat pokok durian itu pulih kembali. Saya juga menyembur dua jenis baja iaitu baja hijau dan baja buah pada pokok-pokok durian lain dan hasilnya pada musim ini buah yang dikeluarkan lebih banyak.

“Saya sembur pada batang pokok sebulan dua kali sama ada pada waktu pagi atau petang. Hasilnya selepas enam bulan, kesuburan pokok meningkat kira-kira 80 peratus. Buah durian lebih besar, berat dan rasanya lebih sedap berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui K2 di dusunnya yang berkeluasan 1.4 hektar itu baru-baru ini.

Dusun tersebut sebelum ini diusahakan oleh arwah ayahnya sejak 1995, namun terbiar selama sembilan tahun sehingga menjadi semak.

Selain 48 pokok durian pelbagai spesies yang telah mengeluarkan hasil, Shafrul turut menanam pokok-pokok durian baharu, manggis, rambutan, petai dan lain-lain. Dalam tempoh enam bulan lalu, dia membelanjakan sebanyak RM2,000 untuk membeli baja sama ada berbentuk cecair atau butir.

Fastgrow Fertilizer merupakan baja foliar campuran kimia yang mengandungi beberapa elemen yang dibenarkan dan sesuai digunakan sebagai suplemen pada pokok dan buah. Ia dihasilkan oleh syarikat bumiputera, Fastgrow Fertilizer (M) Sdn. Bhd. (Fastgrow Fertilizer )pada tahun 2013 dengan proses yang teliti dan bahan berkualiti diimport dari luar negara.

Pakar tempatan

Ia dibangunkan menggunakan teknologi dan pakar tempatan iaitu seorang bekas pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian tersebut telah dijalankan selama lima tahun. Ini berikutan kebanyakan baja yang berada di pasaran diimport dari Thailand, China dan Taiwan sebelum diberi penjenamaan semula.

Pengarah Pemasaran Fastgrow Fertilizer, Hamzah Hamid berkata, pihaknya komited untuk memasarkan produk baja keluaran tempatan untuk kegunaan daripada permulaan penanaman pokok sehingga membuahkan hasil.

“Pada peringkat awal, kami seramai empat orang kakitangan memasarkan kepada pelanggan di kawasan kampung dan pekebun kecil. Ketika itu, kami mempunyai dua produk utama iaitu baja cecair dan kompaun atau butiran.

“Sekarang kami mempunyai rangkaian produk baja merangkumi kegunaan untuk bunga, padi, kelapa sawit, sayuran dan pokok buah-buahan.

“Kami bermula dengan modal sendiri sebanyak RM26,000. Untuk meyakinkan pelanggan, kami telah memberi produk percuma untuk digunakan pada plot tanaman mereka dalam tempoh masa tertentu. Setiap penggunaan baja, perkembangan pokok dan hasil setiap plot direkodkan. Ternyata pengguna berpuas hati dengan hasil penggunaan baja kami,” katanya yang mampu menjual 5,000 botol sebulan.

Perbezaan

Fastgrow Fertilizer juga turut dieksport ke Brunei dan Indonesia.

Jelasnya lagi, baja cecair merupakan alternatif terbaik bagi membantu pertumbuhan pokok terutamanya di Malaysia yang sering dilanda musim panas yang menyukarkan penyerapan pokok terhadap baja sedia ada.

Baja cecair ini menggunakan teknologi penyerapan baja dari batang, sekali gus mampu meningkatkan mutu dan kualiti hasil tanaman untuk jangka masa panjang.

Pengguna hanya perlu menyembur baja cecair ini pada batang, buah mahupun daun bagi membantu pokok kembali segar dan sihat. Fastgrow Fertilizer yang merupakan baja cecair boleh diserap oleh mana-mana bahagian pokok yang masih hidup seperti batang, buah dan daun.

“Kita boleh lihat perbezaan selepas sebulan petani menggunakan produk ini terutamanya dari segi penghasilan kuantiti buah yang lebih banyak dan gred lebih tinggi. Bilangan buah yang rosak juga berkurangan.

“Contohnya bagi tanaman timun, bagi hasil buah tiga tan biasanya akan rosak dalam 200 kilogram (kg), namun selepas menggunakan Fastgrow Fertilizer bilangan buah rosak kira-kira 50kg sahaja. Ini kerana, haiwan perosak kurang merosakkan buah setelah penggunaan baja kami,” katanya yang memiliki kilang di Jitra, Kedah dan Rawang, Selangor.

Menurut Hamzah, Fastgrow Fertilizer juga menjimatkan dari segi penggunaan, masa dan wang selain telah digunakan kira-kira 50,000 orang.

Katanya, ia kerana, seliter baja hijau berharga RM150 untuk ladang kelapa sawit boleh digunakan untuk kawasan seluas 12 hektar dengan kekerapan pembajaan ialah tiga bulan sekali.

Puas hati

“Ini kerana, sawit merupakan komoditi utama negara ini. Kelebihan produk ini pada buah kelapa sawit adalah ia dapat meningkatkan penghasilan buah, OER (perbandingan minyak mentah kelapa sawit) dan kualiti pada buah,” katanya.

Dalam pada itu, pesawah di Fida 7, Sanglang, Kedah, Hafizudin Halim, 27, berkata, dia berpuas hati apabila menggunakan baja Fastgrow Fertilizer untuk padi apabila ia membantu pokok di petak sawahnya yang digenangi air selama 23 hari untuk terus hidup.

“Saya merendam benih padi semalaman dan kemudian baru tabur. Kesannya jauh berbeza berbanding musim lepas kerana saya menggunakan produk lain. Walaupun dah terendam lama, pokok menjadi sihat dan membiak dengan banyak.

“Petak sawah saya terendam lama kerana berada di kawasan lebih rendah berbanding pesawah lain. Saya sanggup berbelanja lebih untuk membeli baja Fastgrow. Sebelum ini satu musim hasil padi adalah 12 tan dan saya jangka musim ini akan meningkat lebih banyak,” katanya yang 17 tahun menjadi pesawah.

Hafizudin yang masih bujang mengusahakan sawah seluas 1.5 hektar dan mengerjakannya setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 7 petang.