Thunberg yang kini berusia 16 tahun, tidak mengenal erti jemu dan lelah berjuang untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kesan perubahan iklim yang semakin menular saat ini.

Menyelami kehidupannya, gadis manis itu yang dilahirkan pada 3 Januari 2003 merupakan anak kepada Malena Ernman, seorang penyanyi opera Sweden dan bapanya, Svante Thunberg yang merupakan seorang pelakon.

Menurut laman web Wikipedia, pada usia 11 tahun, Thunberg didiagnosis dengan sindrom Asperger, gangguan obsesif-kompulsif (OCD) dan mutism selektif yang menyebabkannya dia hanya bercakap apabila perlu.

Justeru, dia melibatkan diri dalam bidang alam sekitar yang dirasakannya dapat menyatakan pendapat tentang isu tersebut.

Pada ceramah TEDx pada bulan November 2018, Thunberg berkata, dia pertama kali mendengar tentang perubahan iklim pada usia lapan tahun dan ketika itu, ia kurang mendapat perhatian daripada pihak berkaitan.

Segalanya bermula apabila gadis asal Stockholm, Sweden itu melakukan protes di luar Parlimen Sweden pada Ogos 2018 semasa pilihan raya umum. Ketika itu, dia membangkitkan isu perlunya tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim.

“Protes yang digelar mogok sekolah untuk iklim ini merupakan gerakan pertama yang saya lakukan di luar bangunan Parlimen Sweden (Riksdag) setiap hari selama tiga minggu. Ia dilakukan semasa sesi persekolahan.

“Protes berkenaan dilakukan untuk menuntut kerajaan Sweden supaya mengurangi pelepasan karbon sesuai dengan Perjanjian Paris. Saya juga menyerahkan risalah-risalah yang menyatakan: “Saya melakukan ini kerana anda orang dewasa sedang menikam masa depan saya,” katanya kepada portal berita The Guardian.

Tindakan seperti ini pasti tidak terjangka dilakukan oleh gadis seusianya. Justeru, tindakan mogok yang dilakukan Thunberg mendapat perhatian seorang jurufoto bebas. Dia kemudiannya memuat naik foto itu di laman sosial.

Lelaki itu turut membuat video dalam bahasa Inggeris yang turut dimuat naik ke saluran YouTube syarikatnya. Video itu mendapat perhatian umum dengan 88,000 paparan.

Selepas pilihan raya umum, Thunberg meneruskan mogoknya hanya pada hari Jumaat. Ia dengan cepat mendapat perhatian dunia. Dia mengilhamkan pelajar sekolah di seluruh dunia untuk mengambil bahagian dalam mogok pelajar.

Sehingga Disember 2018, lebih daripada 20,000 pelajar telah mengadakan mogok di sekurang-kurangnya 270 bandar seluruh dunia.

Selepas Oktober 2018, Thunberg beralih ke liga yang lebih besar dengan mengambil bahagian dalam demonstrasi di seluruh Eropah dengan membuat beberapa ucapan umum dan meraih lebih ramai pengikut di platform media sosial.

Menjelang Mac 2019, dia tetap mengadakan demonstrasi biasa di luar Parlimen Sweden setiap Jumaat bersama pelajar-pelajar lain yang menyokong gerakannya. Pada masa sama, dia turut membahagi masa untuk menjalani sesi persekolahan.

Pada 15 Mac 2019, mogok sekolah untuk iklim mendapat perhatian kira-kira 1.4 juta pelajar dari 112 negara dengan keluar dari bilik darjah mereka untuk sehari.

Para pelajar menuntut tindakan dan dasar yang lebih kuat untuk menangani perubahan iklim.

Negara-negara yang terlibat terdiri daripada Australia, New Zealand, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Thailand, Korea Selatan, Filipina, India, Mauritius, Nigeria, Kenya, Luxembourg, Itali, Perancis, Sweden, Sepanyol, Iceland, Ukraine, Chile, Poland, Republik Ceko, Israel dan Afrika Selatan.

Pada 24 Mei 2019, pelajar dari 125 negara melakukan demonstrasi.

Gerakan yang dilaksanakan oleh Thunberg mendapat sokongan padu ramai pihak yang melihat ia sebagai satu langkah yang proaktif dan berani.

Pada Februari 2019, seramai 224 ahli akademik menandatangani surat sokongan terbuka yang menyatakan bahawa tindakan Thunberg memberi ilham untuk berani ke hadapan supaya suara mereka didengari.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, António Guterres juga menyokong protes sekolah yang dilaksanakan oleh Thunberg. Beliau mengakui bahawa anak muda pada hari ini lebih berani bersuara.

“Generasi saya telah gagal memberi respons dengan cabaran dramatik perubahan iklim. Ini sangat dirasai oleh golongan muda. Tidak hairanlah mereka marah,” ujarnya menerusi satu laporan berita media antarabangsa.

Pada bulan Jun 2019, Thunberg bercakap dalam pautan video dengan Alexandria Ocasio-Cortez yang mengemukakan Perjanjian Hijau baharu ke Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada Februari 2019 yang meminta supaya negara itu mencapai sasaran pelepasan sifar gas rumah kaca dalam satu dekad.

Mereka membincangkan, tentang pandangan golongan muda yang tidak diambil serius kerana mereka masih muda dan taktik yang tidak berkesan.

Bercakap pada satu acara di New Zealand pada Mei 2019, Guterres berkata, generasinya tidak memenangi pertempuran melawan perubahan iklim.

“Kini terpulang kepada belia hari ini untuk menyelamatkan planet,” jelasnya.

Usaha yang dijalankan Thunberg juga mendapat pelbagai pengiktirafan dunia. Dia merupakan salah seorang pemenang pertandingan menulis artikel debat, Svenska Dagbladet mengenai iklim untuk golongan muda pada Mei 2018.

Pada November 2018, Thunberg dianugerahkan biasiswa Fryshuset iaitu Model Peranan Muda Tahun Ini. Pada Disember 2018, majalah Time mengiktiraf Thunberg sebagai salah seorang daripada 25 remaja paling berpengaruh di dunia pada 2018.

Sempena Hari Wanita Antarabangsa, Thunberg telah diisytiharkan wanita paling penting tahunan di Sweden pada tahun 2019.

Pada 13 Mac 2019, dua anggota Parlimen Sweden dan tiga anggota Parlimen Norway menamakan Thunberg sebagai calon Hadiah Nobel Keamanan. Jika menerima anugerah berkenaan pada tahun ini, dia akan menjadi orang termuda yang pernah menerimanya.

Pada April 2019, majalah Time menamakan Thunberg sebagai salah satu daripada 100 orang paling berpengaruh pada tahun 2019 dan pada 7 Jun 2019, Amnesty International menganugerahkan penghargaan mereka yang paling berprestij, Anugerah Duta Besar Conscience, atas kepimpinannya dalam pergerakan iklim.

Semua penganugerahan itu menjadi penguat semangat kepada Thunberg untuk terus menjalankan misi kesedaran terhadap perubahan iklim.

Malah, dia dan keluarganya turut melaksanakan tindakan secara peribadi dengan menjalankan gaya hidup mesra alam.

Ini termasuk dengan pilihannya untuk tidak menaiki kapal terbang ke persidangan alam sekitar di Amerika Syarikat tetapi menggunakan kapal layar dari Plymouth, Britain kemudian menaiki perkhidmatan awam ke New York sebagai usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Pada usia 16 tahun, Greta Thunberg berjuang memberi kesedaran kepada penduduk dunia tentang perubahan iklim, sekali gus membela nasib generasi akan datang.