Dia yang berusia 21 tahun bertindak melarikan diri dari negara asalnya, Myanmar bagi mengelakkan terus ditindas. Di Malaysia, hari-harinya diisi dengan makan dan tidur sahaja.

Undang-undang di Malaysia tidak membolehkannya bekerja atau mendapatkan pendidikan di sekolah-sekolah awam.

Bagaimanapun, semuanya berubah apabila Syaedah dan sekumpulan kecil pelarian lain membentuk kumpulan Teater Wanita Rohingya bagi membolehkan suara mereka didengari.

"Saya sangat gembira kerana ini kali pertama kami dapat menceritakan pengalaman sebenar yang pernah lalui," kata Syaedah sambil bersorak dengan penuh bangga.

Arah tuju



Etnik Rohingya meninggalkan Rakhine, Myanmar bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penindasan.

Teater itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang dilaksanakan bagi menggambarkan penderitaan kira-kira 150,000 pelarian dengan lebih sepertiga daripadanya merupakan Muslim Rohingya yang dinafikan hak kewarganegaraan di Myanmar.

Keganasan dan penindasan tentera Rakhine di Myanmar telah mendorong lebih 600,000 warga Rohingya untuk mendapatkan perlindungan di negara lain termasuklah Bangladesh, Pakistan, India, Malaysia dan Thailand.

Meskipun mereka telah menemui tempat perlindungan yang selamat namun proses pemulihan yang panjang menjadikan hidup pelarian seperti Syaedah hilang arah tuju.

Justeru, Teater Wanita Rohingya diharapkan menjadi alternatif bagi mengatasi masalah tersebut.

Syaedah dan kumpulannya membuat persembahan teater di hadapan kira-kira 100 pelarian Rohingya yang memaparkan pelbagai isu termasuklah gangguan pihak polis, halangan mengakses pusat kesihatan awam dan sekolah serta keganasan rumah tangga.

Dalam satu babak, Syaedah memainkan watak sebagai seorang isteri yang berusaha sedaya upaya melepaskan suaminya daripada tahanan pihak berkuasa.

Babak tersebut adalah berdasarkan pengalaman sebenar yang dilaluinya beberapa tahun lalu apabila suaminya ditahan pihak berkuasa.

Selain itu, seorang pelarian Rohingya, Sharifah Shakirah berkata, dalam komuniti Rohingya, wanita tidak diberikan peluang sama rata seperti lelaki kerana mereka amat berpegang teguh dengan budaya bahawa wanita harus tinggal di rumah.

"Bagaimanapun, melalui teater ini, kami membuktikan bahawa wanita juga dapat melakukan sesuatu," kata Shakirah yang juga merupakan pengasas Kumpulan Sokongan Rangkaian Pembangunan Wanita Rohingya

Sementara itu, Pengarah Teater Bond Street, Joanna Sherman berkata, seni merupakan cara yang kreatif bagi membantu pelarian mengatasi trauma yang dihadapi selain membina kembali keyakinan diri.

Kumpulan Teater Bond Street telah menjalinkan kerjasama di lebih 40 buah negara sejak 1978 membabitkan pelarian dan mereka yang berdepan dengan konflik termasuk Bosnia, Afghanistan dan Pakistan.

Kekangan



Kekejaman tentera Myanmar menyebabkan etnik Rohingya menjadi pelarian di negara lain.

"Teater bukan sekadar persembahan semata-mata tetapi melatih diri seseorang mengenai kepimpinan.

"Kini, mereka tahu perasaan seseorang apabila berada di hadapan orang ramai dan memperoleh kuasa untuk mengatakan sesuatu," ujarnya yang bersama-sama membantu wanita Rohingya menubuhkan kumpulan teater tersebut.

Teater Wanita Rohingya juga menggunakan kempen sebagai platform untuk membincangkan dan merancang jalan penyelesaian mengenai isu-isu yang dihadapi pelarian.

Di Dewan Komuniti, Nur Jaham adalah antara penonton yang bertepuk tangan dan bergelak ketawa ketika menonton persembahan teater wanita Rohingya.

Balu yang berusia 35 tahun itu berkata, adegan yang menonjolkan keganasan rumah tangga mengingatkan keperitan dirinya menjadi mangsa pukul suami suatu ketika dahulu.

"Selepas menyaksikan teater ini, saya seharusnya tidak berasa kesunyian sekiranya menjadi mangsa keganasan rumah tangga," kata Nur Jaham.

Sehingga kini teater wanita Rohingya dijalankan secara tidak rasmi. Pelakon dan penontonnya terdiri daripada kumpulan kecil sahaja.

Bagaimanapun, Shakirah berharap untuk merekrut lebih ramai wanita Rohingya untuk terlibat sama meskipun terdapat sesetengah daripada mereka menghadapi kekangan komitmen keluarga atau menghidap penyakit.

"Ada orang yang berfikir bahawa pelarian tidak mampu berbuat apa-apa dan kami selalu meminta belas ihsan orang lain. Namun, saya ingin memberitahu kami juga mempunyai bakat dan mampu hidup dengan aman.

"Kami telah diberikan peluang sama seperti orang lain apabila dibenarkan membuat persembahan di pentas dan berhak untuk merasakan bahagia," ujarnya. - Reuters