WILL GADD, 47, menghela nafas sebaik tiba di atas puncak Air Terjun Niagara. Dia menunggu teman wanitanya, Sarah Hueniken, 34, untuk menghabiskan pendakian.

Pasangan dari Kanada yang merupakan pendaki ais bertaraf profesional itu mencipta sejarah tersendiri selepas menjadi individu pertama di dunia yang membuat pendakian di Air Terjun Niagara yang membeku berikutan cuaca sejuk.

Gadd dan Hueniken membuat pendakian tersebut pada 27 Januari 2015 dengan memanjat formasi ais yang terbentuk sepanjang Air Terjun Horseshoe setinggi 46 meter.

Air Terjun Niagara terbentuk daripada tiga air terjun utama iaitu Air Terjun Horseshoe, Air Terjun Bridal Veil dan Air Terjun Amerika yang memisahkan negeri New York di Amerika Syarikat dengan wilayah Ontario di Kanada.

Ketiga-tiga air terjun tersebut bersatu dan menghasilkan aliran air terjun yang paling deras di muka bumi.

Sebagai rekod, Air Terjun Horseshoe merupakan yang terbesar antara ketiga-tiga air terjun berkenaan dan dianggap sebagai aliran terkuat di dunia.

Ia mendapat namanya daripada bentuk U seperti ladam kuda dan memiliki panjang 670 meter dari Terrapin Point di Goat Island, New York ke Table Rock di Ontario.

 

Sembunyi dalam gua

Mengimbau misi pendakian ais kira-kira tiga tahun lalu itu, Gadd memberitahu, dia mengetuai ekspedisi tersebut dengan diikuti Hueniken yang mengekorinya dari jauh.

Hueniken perlu bersembunyi di dalam gua ais selama beberapa jam hingga laluannya terhindar daripada ketulan ais yang pecah semasa pendakian awal Gadd.

“Ia suatu pengalaman yang cukup mendebarkan. Saya terasa diri ini begitu kerdil semasa di bawah sana,” imbau Gadd semasa tiba di puncak air terjun.

Di sebalik pendakian bersejarah itu, Gadd berkata, cabaran paling sukar adalah laluan licin berikutan terdapat pancuran air dari bahagian air terjun yang tidak membeku sepenuhnya.

“Ia agak sukar kerana air sejuk menghasilkan kabus dan ia melitupi peralatan mendaki saya. Perkara itu mungkin masalah kecil tetapi ia menambah bahaya kepada pendakian kami.

“Bagaimanapun, kami menemui cara untuk melakukannya dengan selamat dan menikmati pendakian tersebut,” ceritanya seperti dipetik portal National Geographic.

Tambah Gadd, semasa memulakan pendakian, dia terpaksa melintasi lereng ais lembap yang betul-betul terletak di atas jeram yang dipenuhi bongkah ais bersaiz gergasi yang kelihatan seperti aisberg.

“Ia amat berbahaya kerana tidak seperti mendaki gunung, cenuram atau formasi batu-batuan, air terjun beku memiliki lekukan atas.

“Saya tidak menyarankan aktiviti sukan ekstrem ini kepada orang yang tiada pengalaman, namun bagi saya ia suatu pengalaman bermakna dan sukar dilupakan,” katanya yang meletakkan pendakian itu sebagai rating kedua paling susah dalam skala kesukaran pendakian ais.

Selain laluan yang licin, Gadd dan Hueniken menghadapi cabaran kerana cuaca sejuk suhu pada paras negatif 8 darjah Celsius meningkatkan risiko hipotermia iaitu keadaan suhu badan yang jauh lebih rendah daripada paras normal.

 

Melawan graviti

Sementara itu, cerita Hueniken, dia berada dalam keadaan sejuk dan terketar-ketar semasa keluar dari gua ais yang terletak di salah satu bahagian air terjun tersebut.

“Saya tidak terus mendaki sebaliknya banyak menggerak-gerakkan tangan serta kaki sebagai cara memanaskan badan.

“Apabila laluan sudah tiada gangguan daripada serpihan ais, barulah saya memulakan pendakian,” katanya.

Hueniken yang dibesarkan di sebuah perkampungan yang terletak kira-kira 32 kilometer dari Air Terjun Niagara berkata, pengalaman tersebut memberi makna yang besar buat dirinya.

“Sejak kecil, saya selalu tertarik dan mengimpikan untuk merasai pengalaman berada dekat dengan Air Terjun Niagara.

“Apabila terlibat dalam sukan ekstrem, saya terfikir apa rasanya untuk melawan graviti dengan mendaki air terjun secara bertentangan arus.

“Oleh itu, semasa aliran air membeku, saya tahu ia mampu dilaksanakan. Sungguh tidak disangka, impian saya menjadi kenyataan,” tambahnya.

Dikenali sebagai destinasi bulan madu terkenal, Air Terjun Niagara memiliki sejarah panjang apabila kewujudannya menarik ramai atlet sukan ekstrem dan pelagak ngeri untuk menawannya.

Menyorot kembali sejarahnya, Air Terjun Niagara mula-mula ditawan oleh seorang guru sekolah, Annie Taylor yang menjadi individu pertama masuk ke dalam kawasan air terjun tersebut melalui sebuah tong kayu.

Rekod sulung itu dibuat pada 24 Oktober 1901. Meskipun mengalami lebam-lebam dan kecederaan, Taylor selamat dalam terjunan tersebut. Dia yang melakukan aksi lagak ngeri itu demi populariti dan kekayaan bagaimanapun hidup miskin hingga meninggal dunia pada usia 82 tahun.

 

Tong keluli

Kira-kira sedekad selepas kematian Taylor, seorang lelaki, Bobby Leach mengikut jejak langkah wanita itu dengan membuat terjunan ke dalam Air Terjun Niagara menggunakan tong keluli pada 25 Julai 1911. Dia turut mengalami kecederaan selepas kedua-dua belah kepala lututnya pecah dan rahangnya patah.

Pada 3 Julai 1984, seorang lelaki, Karel Soucek menjadi warga Kanada pertama menawan Air Terjun Niagara menerusi cara sama seperti Taylor.

Pasangan pertama yang menawan air terjun itu pula adalah Steve Trotter dan teman wanitanya, Lori Martin yang membuat terjunan pada 18 Jun 1995.

Seorang lelaki dari Michigan, Amerika Syarikat, Kirk Jones pula mencipta sejarah tersendiri selepas menjadi individu pertama membuat terjunan di Air Terjun Niagara tanpa apa-apa peralatan keselamatan pada 22 Oktober 2003. Jones yang selamat dalam terjunan itu hanya mengenakan jean, kasut dan dua helai jaket tebal.

Dia bagaimanapun meninggal dunia dalam percubaan kedua menggunakan bola kembung getah setinggi tiga meter.

Jones dipercayai membuat terjunan tersebut pada 19 April 2017 sebelum ditemui pada 2 Jun tahun sama di Youngstown, kira-kira 19 kilometer dari lokasi terjunan.