Trend tersebut merebak dengan cepat di Shanghai sebuah bandar kosmopolitan di China dengan kapasiti penduduk seramai 24 juta orang.

Masyarakat China konservatif mengharamkan melukis tatu di badan tetapi kini studio-studio yang menawarkan perkhidmatan tersebut tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Salah seorang artis tatu terkemuka di China, Zhuo Danting, 35, telah menyaksikan perkembangan industri pembuatan tatu tersebut.

Dianggarkan, 70 peratus badan wanita itu dipenuhi tatu yang dilakukan di studionya sendiri sejak ia dibuka 11 tahun lalu.

Menurut Zhuo, kebanyakan corak tatu diinspirasikan daripada selebriti dan bintang sukan.

“Jumlah mereka yang datang membuat tatu meningkat saban hari dan kebanyakan mereka adalah orang muda,” jelasnya.

Haram

Cerita wanita itu lagi, dahulu masyarakat memandang tatunya dengan membuat muka pelik dan takut.

“Kini semuanya telah berubah kerana ramai orang yang memiliki tatu malah ia semakin popular sehinggakan mengubah pandangan masyarakat,” tuturnya.

Zhuo yang berasal dari Harbin iaitu sebuah bandar di Utara China membuat tatu pertamanya pada umur 16 tahun.

“Dahulu mereka berpendapat orang yang mempunyai tatu itu merupakan bekas banduan ataupun penjahat.

“Kini, ia merupakan perkara menakjubkan dan mewakili diri anda yang berbeza berbanding orang lain,” terangnya lagi.

Tambah Zhuo, sikap terhadap wanita bertatu telah berubah sangat pantas sejak tiga tahun lalu dan orang-orang Cina semakin berani bereksperimentasi dengan badan mereka.

“Sebelum ini anda hanya melihat wanita dengan tatu bersaiz kecil sahaja tetapi kini mereka lebih berani dengan melukis tatu di seluruh badan seperti di lengan, dada atau belakang.

Walau bagaimanapun, tatu masih diharamkan bagi kakitangan kerajaan dan sesetengah syarikat. Malah ada juga wanita yang meluahkan perasaan bahawa pasangan mereka turut membantah melukis tatu di badan.

“Ramai berpendapat, wanita tidak sepatutnya mempunyai tatu yang besar.

“Lelaki yang bertatu lebih mudah diterima dalam masyarakat berbanding wanita,” katanya.

Dek kerana permintaan yang tinggi terhadap pembuatan tatu menyebabkan banyak premis menawarkan perkhidmatan itu tetapi malangnya tidak ramai yang mempunyai kepakaran melukis tatu.

Sementara itu, seorang pereka laman web, Wang Qi, 29 telah membuat beberapa bentuk tatu di seluruh badannya termasuklah corak jam pasir, perahu layar, rumah api, kepala ular dan mata buaya.

“Sedekad lalu, hanya 10 peratus orang yang boleh menerima wanita melakukan perkara ini.

“Ramai orang teruja mengukir tatu di badan mereka sehingga ada yang membuat karya-karya patriotik termasuk melukis gambar bendera di wajah,” ceritanya.

Dalam pada itu, bekas ketua Persatuan Artis Tatu China, Hu Deliang menganggarkan kira-kira 200,000 orang artis yang melakukan kerja-kerja membuat tatu di negara tersebut.

Golongan wanita yang membuat tatu di Shanghai menyumbang kira-kira 60 peratus pelanggan di bandar itu.

Kos

“Mengimbau tahun 2002, hanya 20 peratus pelanggan perempuan yang kebanyakannya pengiring kelab malam atau pekerja dalam industri serupa itu.

Kemakmuran yang dikecapi membuatkan lebih ramai wanita mampu membuat tatu. Setiap tatu itu menelan kos ratusan ringgit.

Seorang pekerja pengiklanan di Shanghai Peng Lin, 31, mengungkapkan frasa daripada bahasa Itali yang bermaksud hidup ini indah bagi menggambarkan tiga tatu yang terpahat di badannya.

“Dahulu, orang berpendapat mengukir tatu di badan sinonim dengan imej liar dan tidak baik tetapi segalanya berubah apabila hasil seni itu dianggap sesuatu yang cantik dan mempunyai nilai seni yang tinggi,” ujarnya. – AFP