Rata-rata pelanggan yang terdiri dalam kalangan pelancong luar negara kelihatan begitu berselera menikmati hidangan di kafe terbabit lebih-lebih lagi kerana mereka turut disajikan dengan suasana unik biarpun kelihatan agak menggerunkan.

Manakan tidak, sewaktu pelanggan menikmati hidangan, mereka juga akan ditemani seekor singa yang turut berada di dalam kafe untuk dipamerkan dan menjadi antara tarikan menarik di saat menjamu selera.

Namun begitu, singa tersebut cuma diletakkan di dalam kotak kaca seolah-olah seperti ikan-ikan yang diletakkan di dalam akuarium. Bezanya, kota kaca itu direka dengan bentuk laluan panjang agar singa tersebut boleh berjalan mendekati meja-meja pelanggan.

Kafe itu yang dikenali sebagai Mevzoo terletak di wilayah Beykoz, Istanbul, Turki mula dikenali selepas salah seorang pelanggan memuat naik video sewaktu mengunjungi kafe tersebut baru-baru ini.

Kecaman

Menerusi video yang dimuat naik dalam laman sosial, kelihatan seekor singa betina yang diberi nama Khaleesi berada di dalam laluan kotak kaca dan dilihat sedang mengekori seorang kanak-kanak perempuan yang berada di luar kotak kaca berkenaan.

“Bayangkan jika haiwan buas ini terlepas di dalam kafe semasa saya sedang makan,” ujar individu tidak dikenali yang telah memuat naik video tersebut dalam laman Facebook.

Seorang lagi pengunjung kafe Mevzoo pula dalam komen yang ditinggalkan pada video tersebut memberitahu, dirinya berasa tidak tenang semasa makan apabila diperhatikan oleh singa betina itu, seolah-olah haiwan pemangsa tersebut hendak memakannya.

Bagaimanapun, keunikan yang cuba ditonjolkan oleh pemilik kafe Mevzoo itu telah dihujani dengan kecaman dalam kalangan pengguna laman sosial, terutama aktivis hidupan liar apabila mereka mendakwa tindakan tersebut sebagai salah satu bentuk penganiayaan terhadap haiwan.

Mereka mendakwa, kebebasan haiwan liar terancam itu telah disekat apabila diletakkan di dalam satu ruang sempit yang memiliki lebar kurang daripada satu meter sahaja.

Apa yang lebih menyedihkan, singa betina itu hanya digunakan sebagai bentuk hiburan dan menjadi penonton dengan melihat pelanggan menikmati makanan yang enak-enak.

Jagaan rapi

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila terdapat pelanggan kafe turut mendedahkan bahawa tempat makan itu turut mempamerkan haiwan lain seperti burung kakak tua, buaya, kuda dan beberapa spesies burung terancam untuk tujuan menarik perhatian pelanggan.

Apa yang lebih mengejutkan apabila kafe Mevzoo telah dilesenkan sebagai zoo dan pusat pemulihan haiwan kelas B oleh Kementerian Perhutanan dan Hal Ehwal Air Turki.

Pemiliknya, Cengiz Siklaroglu dalam satu kenyataan kepada akhbar tempatan, Cumhuryiet memberitahu, dia bukan sahaja memiliki semua dokumen pemilikan haiwan-haiwan tersebut mengikut undang-undang, malah mendakwa telah menjaga haiwan itu dengan baik dan sempurna.

Saya telah membeli haiwan-haiwan yang tidak diuruskan dengan baik oleh sebuah zoo di bandar dan menjaganya dengan baik dengan menggunakan perbelanjaan sendiri,” ujar Siklaroglu.

Menurut Siklaroglu, tindakan yang dia lakukan terhadap haiwan-haiwan itu tidaklah kejam seperti yang didakwa ramai pihak, malah memberi jaminan bahawa haiwan yang ditempatkan di kafenya itu telah dijaga dan diberi makanan secukupnya.

“Saya juga merupakan seorang pencinta haiwan dan tindakan saya mempamerkan haiwan-haiwan ini di dalam kafe bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata,” jelas Siklaroglu.

Akhbar Cumhuryiet melaporkan bahawa pemilik kafe itu dibenarkan untuk menyimpan kesemua haiwan yang dimiliki, namun memerintahkannya agar singa betina itu tidak lagi diletakkan di dalam laluan kotak sempit.

Selain memelihara singa betina bernama Khaleesi, kafe Mevzoo turut menempatkan 35 ekor arnab, empat ekor ular sawa, empat ekor kuda, dua ekor buaya, seekor iguana dan beberapa ekor burung flamingo.