Angka itu terus menunjukkan peningkatan apabila sehingga Jun tahun ini, terdapat seramai 1,664 bayi tidak sah taraf dilahirkan oleh ibu bawah umur.

Selain itu, laporan yang dikeluarkan Institut Kesihatan Umum amat membimbangkan apabila 31.9 peratus daripada 27,497 pelajar sekolah menengah pernah mempunyai pengalaman seks sebelum berusia 14 tahun.

Malah, laporan tersebut menyebut pelajar tingkatan satu dikatakan mempunyai bilangan teramai dalam percubaan untuk mengadakan hubungan seks iaitu sejumlah sembilan peratus dan Pahang diletakkan sebagai negeri yang merekodkan jumlah tertinggi bagi remaja yang pernah melakukan hubungan seks iaitu 9.5 peratus.

Keadaan itu menunjukkan betapa seriusnya kebejatan sosial yang berlaku dalam kalangan remaja di negara ini.

Pendedahan awal

Pakar Kajian Keluarga dan Keibubapaan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Rumaya Juhari berkata, ibu bapa yang memainkan peranan utama dalam menangani isu kebejatan sosial dalam kalangan remaja di negara ini.

Menurut Rumaya, ibu bapa perlu keluar daripada kepompong malu untuk membincangkan isu seks secara terbuka dengan anak-anak.

“Ibu bapa perlu bersikap positif dan lebih terbuka dalam membincangkan perihal seks bersama anak-anak mereka terutamanya remaja bagi memberi pendedahan mengenai pendidikan seksual,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Rumaya, anak-anak perlu diajar aspek batas pergaulan sesama anggota keluarga dan rakan-rakan sejak mereka masih kecil.

“Anak-anak tidak kira lelaki dan perempuan perlu diberikan penjelasan yang boleh memberikan gambaran menyeluruh terhadap kesan yang bakal menimpa sekiranya tidak menjaga batas pergaulan mengikut kesesuaian umur mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, ia termasuk kesan terhadap kesihatan seperti kehamilan dan penyakit jangkitan seksual, masa depan yang gelap akibat tidak dapat meneruskan persekolahan selain dikenakan tindakan undang-undang jika disabitkan dengan kes rogol bawah umur dan sebagainya.

Malah, ujarnya, anak-anak juga seharusnya diterangkan mengenai tujuan sebenar hubungan seksual dalam konteks Islam dan cara terbaik untuk mengawal nafsu, bukannya menjadikan seks sebagai alat untuk mendapatkan keseronokan semata-mata. Menurutnya, anak-anak lelaki dan perempuan perlu diberi penjelasan yang sama penting untuk menjaga diri masing-masing.

Rumaya berkata, ibu bapa wajar memantau pergerakan anak-anak secara berterusan dan sentiasa peka terhadap aktiviti yang dilakukan.

“Adalah amat penting untuk ibu bapa menerapkan ciri mampu kawal diri dalam kalangan anak-anak, bukan hanya untuk aktiviti berkaitan seks, malahan dalam keseluruhan aspek kehidupan.

“Usaha untuk menerapkan nilai tersebut perlu bermula awal kerana mereka perlu tahu mengawal diri untuk tidak terikat dengan identiti yang negatif kerana impak buruknya melebihi keseronokan yang sementara,” ujarnya.

Pelihara kesucian

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran & Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Ahmad Sanusi Azmi berkata, statistik yang ditunjukkan mengingatkan kita akan fenomena zina dan kebejatan sosial yang pernah dilalui di zaman jahiliah.

Bagaimanapun, Ahmad Sanusi berkata keadaan itu berjaya diubah oleh Rasulullah SAW setelah datangnya Islam dengan menekankan aspek memelihara kesucian diri seperti yang ditekankan al-Quran dan hadis.

“Dalam membendung isu ini, al-Quran menekankan setiap individu harus mengawal diri dan nafsu dengan menundukkan pandangan dan berpakaian menutup aurat selain hadis menggalakkan seseorang mengawal nafsu dengan berpuasa serta memilih kawan yang baik.

“Kita semua maklum bahawa dalam tempoh inilah golongan remaja mempunyai keinginan yang tinggi. Oleh itu, penceritaan kisah-kisah sahabat yang baik barangkali dapat membantu membina kerangka pemikiran remaja yang boleh mengawal nafsu mereka,” ujarnya.

Ahmad Sanusi berpandangan bahawa ibu bapa perlu lebih terbuka daripada melarang anak-anak untuk mendirikan rumah tangga pada usia yang muda bagi mengelakkan masalah sosial.