Bagi mengelakkan daripada mengalami kerugian yang sama pada tahun ini, dia beralih kepada penanaman pokok bijirin sorghum yang mampu hidup subur walaupun dalam keadaan kekurangan air.

“Tanaman ini berjaya menyelamatkan saya apabila ia menghasilkan 2.4 tan bijirin di kawasan seluas 2.5 hektar.

“Jagung merupakan tanaman yang memerlukan banyak air untuk hidup subur dan ia sesuatu yang sukar di Mali,” cerita Berthe yang merupakan seorang petani dari daerah Siby.

Perubahan iklim menyebabkan kawasan Sahel mengalami keadaan cuaca lembap dan kemarau teruk.

Sehubungan itu, petani memerlukan tanaman yang mampu bertahan dengan keadaan cuaca ekstrem tersebut.

Justeru, para saintis dari Institut Ekonomi Luar Bandar (IER) iaitu sebuah institut penyelidikan yang diasaskan oleh kerajaan Mali untuk menangani masalah tersebut telah membangunkan beberapa jenis tanaman bijirin yang sesuai ditanam di kawasan tersebut.

Pengarah Program IER, Abdoulaye Diallo berkata, mereka sedang giat melakukan penyelidikan untuk membiakkan benih tanaman yang mempunyai daya tahan dengan perubahan iklim.

“Sepanjang 60 tahun lalu, hujan hanya turun kira-kira 15 hingga 20 peratus di Mali. Ia bergantung kepada kawasan di wilayah itu, sekali gus merencatkan pertumbuhan tanaman.

“Petani hanya bekerja di ladang mereka ketika musim hujan iaitu pada bulan Jun hingga Oktober di beberapa bahagian di selatan negara ini.

“Namun, musim hujan lebih pendek di utara, malah terdapat juga kawasan yang tidak menerima langsung hujan selama lebih dua bulan dalam tempoh setahun,” jelasnya.

Bagi menangani masalah itu, penyelidik mencipta kacukan tanaman tempatan dengan variati tumbuhan lain.

Diallo berkata, bijirin hibrid seperti sorghum yang ditanam oleh Berthe boleh menghasilkan tiga hingga empat tan sehektar berbanding dengan jenis bukan hibrid.

Tanaman kacukan

“Cabaran yang perlu dihadapi ialah mencari jenis yang boleh menahan kemarau selepas berbunga.

“Pokok yang berjaya menghadapi musim kemarau biasanya perlu berbunga awal,” jelasnya.

Peningkatan petani-petani di Siby yang beralih kepada penanaman kacukan untuk menghadapi perubahan cuaca itu telah menggandakan pendapatan pengeluar benih tempatan.

Presiden Koperasi Pembekal Benih Siby, Alou Camara berkata, pihaknya membeli benih baharu itu pada harga AS$1 (RM4) dan menjual kepada petani lima kali ganda lebih tinggi berbanding benih tradisional.

Seorang lagi pengkaji benih di IER, Aboubacar Toure memberitahu, petani-petani memberikan gelaran kepada sorghum baharu itu dalam bahasa tempatan untuk menunjukkan kejayaan yang diraih.

Sebagai contoh, seguifa yang bermaksud bakul penuh dan jakumb iaitu antikekeringan.

Begitupun, pujian yang melambung terhadap benih kacukan itu tidak mendapat sambutan hangat daripada para petani.

Sebahagian daripada petani mengadu mereka tidak mampu untuk menggunakan benih itu kerana harganya lebih mahal.

Pada tahun-tahun sebelumnya, petani hanya menggunakan biji benih daripada hasil tuaian lalu untuk ditanam pada musim akan datang.

Berbeza dengan biji benih hibrib, petani perlu membeli yang baharu pada setiap tahun.

“Masalah dengan biji benih baharu ialah ia tidak percuma dan sebelum musim hujan tiba kami sudah kehabisan duit.

“Selain itu, maklumat mengenai ciri-ciri benih baharu itu juga sangat sedikit,” kata salah seorang petani di Siby, N’fally Coulibaly.

Tambah Coulibaly, pada mulanya, ramai petani ragu-ragu untuk menggunakan kaedah itu kerana risau ia terhasil daripada tanaman yang diubah suai secara genetik tetapi sebenarnya biji benih baharu tersebut bebas daripada unsur berkenaan.

Dia berharap, lebih banyak maklumat dan penerangan akan diberikan kepada petani berkaitan biji benih hibrid serta cara penghasilannya di makmal.

“Sangat penting untuk meyakinkan petani supaya menggunakan biji benih itu.

“Oleh itu, apabila musim kemarau melanda, petani dapat mengubah fikiran mereka agar beralih kepada tanaman kacukan,” ujarnya. – AFP