Antaranya ialah kepercayaan bahawa selepas mati, seseorang individu boleh dilahirkan semula sebagai tuhan.

Biarpun kedengaran aneh, ada sesetengah individu yang terlalu taksub dengan kepercayaan tersebut dan sanggup melakukan apa sahaja supaya dilahirkan sebagai tuhan. Hal ini termasuklah menanam diri hidup-hidup.

Kepercayaan itu telah membuatkan seorang lelaki dari Ajmer, India mahu meninggal dunia dengan segera supaya boleh dilahirkan semula sebagai tuhan.

Lelaki tersebut, Deeraj Kharol telah meminta beberapa orang penduduk kampung untuk menanam tubuhnya di sebuah kawasan perkuburan di Bhilwara, India.

Dia bagaimanapun gagal ‘mati’ kerana telah diselamatkan selepas perbuatannya itu tular di media sosial.

Selepas dikebumikan selama lapan jam, pasukan polis Bhilwara kemudian datang ke tempat Kharol ditanam untuk mengeluarkan lelaki itu dari kerandanya.

Kejadian dikatakan berlaku di sebuah kampung kecil di bandar itu yang dikenali sebagai Karocho ka Kheda.

Menurut kenyataan beberapa orang penduduk kampung, Kharol sebelum ini telah menyatakan niatnya untuk menanam diri kerana mahu mendapat keampunan dari tuhan.

Kuat agama

Memetik laporan laman web Oddity Central, lelaki tinggi lampai itu sebelum ini tinggal di dalam sebuah kuil di kampung tersebut selama beberapa tahun.

Dia merupakan seorang yang kuat agama dan percaya akan dilahirkan semula sebagai tuhan.

Begitu pun, sebelum boleh menjadi tuhan, Kharol perlu mendapat keampunan oleh tuhan di dunia ini.

Selepas diampunkan, Kharol perlu menunggu saat dia mati untuk dilahirkan semula sebagai tuhan tiga hari kemudian.

Kepercayaan tersebut menjadikan dia nekad untuk menanam dirinya sehingga dia benar-benar meninggal dunia.

Kharol kemudian memberitahu niatnya itu kepada beberapa orang kampung dan mereka bersetuju untuk menanam lelaki itu di sebuah tanah perkuburan.

Selepas selesai menggali tanah dan menyediakan keranda untuk Kharol, lelaki itu kemudian dibaringkan di dalam keranda yang ditutup kemas.

Orang kampung mula menimbus keranda Kharol dengan tanah sebelum mula melakukan aktiviti pemujaan di kubur lelaki itu.

Beberapa individu kemudian merakam upacara pemujaan tersebut dan memuat naiknya di dalam media sosial. Selepas beberapa jam, ia kemudian menjadi tular.

Halangan polis

Susulan insiden itu, pihak polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

Begitu pun, orang kampung menghalang pasukan polis untuk menyelamatkan Kharol kerana mendakwa penanaman lelaki itu ialah atas permintaannya sendiri.

Pihak polis bagaimanapun tetap meminta agar Kharol dikeluarkan daripada kerandanya kerana tindakannya itu boleh menyebabkan lelaki itu tidak boleh bernafas.

Semasa keranda Kharol dibuka, dia sudah pengsan dan dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan.

Kharol kemudian mengaku semua yang dilakukannya adalah atas permintaannya sendiri.

“Saya mahu ditanam kerana mahu dilahirkan semula sebagai tuhan.

“Hal ini kerana saya mahu memiliki kuasa seperti tuhan,” jelasnya.

Pasukan polis kemudiannya menasihati penduduk kampung untuk tidak lagi membahayakan diri kerana terlalu percaya kepada kepercayaan-kepercayaan aneh.