Selepas siap membentuk pakaian wanita, Farah mula menghasilkan tudung menggunakan tanah liat polimer yang sama.

“Saya sedang menghasilkan tanah liat yang menyerupai pasangan pengantin.

“Ini merupakan cenderahati yang ditempah oleh seorang pelanggan untuk hari perkahwinannya,” jelas Farah.

Siapa sangka, tanah liat yang cukup popular sebagai permainan zaman kanak-kanak boleh dijadikan sumber rezeki utama buat Farah.

Membuka bicara, wanita kelahiran Langkawi, Kedah itu berkata, idea untuk mewujudkan jenama sendiri yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan tanah liat timbul semasa dia sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Shah Alam, Selangor.

Proses rumit

“Idea untuk mewujudkan Craftykats Clay timbul pada tahun 2014. Ketika itu, saya menonton video untuk menghasilkan produk berasaskan tanah liat yang cukup popular di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Singapura.

“Saya pun cuba untuk menghasilkan beberapa produk dan memasarkannya di kampung saya iaitu di Pantai Chenang, Langkawi.

“Siapa sangka, hasil yang diterima ketika itu cukup menggalakkan dan saya mula memberanikan diri untuk memperkenalkan jenama Craftykats Clay di laman sosial Facebook dan Instagram,” ujarnya panjang lebar.

Bertutur lanjut, Farah berkata, proses menghasilkan satu produk daripada tanah liat tidak begitu sukar.

Sebelum mula membentuk tanah liat, Farah perlu terlebih dahulu mengkaji bentuk rekaan yang dimahukan pelanggan.

Selepas selesai dibentuk, Farah perlu mencampurkan bahan pewarna mengikut kehendak pelanggan.

“Proses ini nampak mudah, namun ia sebenarnya agak rumit kerana jika tersalah adunan, warna tanah liat yang dihasilkan mungkin berbeza dengan apa yang dimahukan pelanggan.

“Selesai proses mewarna, setiap produk tanah liat perlu dibakar dalam ketuhar pembakar pada suhu 130 darjah Celsius selama beberapa minit, mengikut saiz.

“Selepas siap dibakar, ia perlu dibiarkan seketika pada suhu bilik sekurang-kurangnya 10 minit,” jelas Farah.

Kawal suhu

Buat masa ini, produk paling popular keluaran Craftykats Clay ialah rantai kunci. Selain rantai kunci, Farah juga turut menghasilkan produk lain seperti magnet peti sejuk, dekorasi kereta, patung keluarga dan juga bingkai gambar tanah liat dua dimensi (2D).

Begitu pun, antara reka bentuk tanah liat yang paling mencuri tumpuan kru Panorama ialah tanah liat motosikal berkuasa tinggi yang cukup cantik dan kemas hasilnya.

Ujar Farah, ia merupakan ciptaannya yang paling sukar untuk dihasilkan kerana dia perlu mengikut bentuk setiap bahagian motosikal dengan teliti.

“Saya mengambil masa sekitar satu jam untuk menghasilkan tanah liat dengan reka bentuk motosikal berkuasa tinggi tersebut kerana saya mahu ia benar-benar menyerupai motosikal sebenar.

“Biarpun bersaiz kecil, harganya mencecah RM80,” jelas Farah.

Bercerita tentang cabaran menghasilkan produk kraf itu pula, Farah berkata, cabaran terbesar ialah mengawal suhu ketika membakar produk yang dihasilkan menggunakan tanah liat.

“Ia nampak mudah, namun suhu yang salah akan menjejaskan kualiti produk akhir. Jika dibakar dengan suhu terlalu panas dan tanah liat dibakar terlalu lama, produk tanah liat akan bertukar warna dan kualitinya akan berkurangan,” ujar Farah.

Kata Farah, bagi individu yang berminat untuk mendapatkan produk Craftykats Clay, ia boleh dibeli menerusi laman instagram @craftykats.clay.