Dingin subuh yang menggigit hingga ke tulang tidak dihiraukan lelaki tersebut. Satu persatu perhentian bas di dalam kampus Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor itu disinggahinya.

Di setiap perhentian bas tersebut, bekalan kacang bungkus yang dibawa bersama kemudian disusun di dalam bakul dan ditinggalkan bersama sebuah bekas tabung.

Niat pemuda cuma satu, untuk mengais secebis rezeki yang mungkin tidak seberapa bagi menampung bukan sahaja belanja pengajian di universiti, tetapi juga menyara kehidupan isteri bersama seorang cahaya mata.

Bagi Mohd. Hazreen Shah Hassan, 26, dia terpaksa melakukan apa sahaja pekerjaan yang mendatangkan pe­luang pendapatan walaupun kecil bagi menampung pengajian bukan sahaja untuk dirinya, bahkan juga isteri yang juga penuntut di UPM.

Mohd. Hazreen yang ditemui ketika Majlis Konvokesyen UPM ke-42 tahun ini pada hujung minggu lalu bersyukur kerana dia akhirnya berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Sastera Bahasa Melayu meskipun terpaksa membahagikan masa sebagai seorang pelajar, suami dan juga bapa.

Menurut Mohd. Hazreen, idea untuk menjual kacang bungkus dengan cara meletakkannya di setiap perhentian bas di dalam kampus tercetus semasa dia menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana.

“Semasa peringkat Ijazah Sarjana Muda pada 2016, saya mendapat bantuan pembiayaan biasiswa dan sedikit sebanyak dapat membantu menampung pengajian.

“Sewaktu menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana, saya tidak mendapat biasiswa dan tidak memohon pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional),” ujar pemuda berasal dari Kuala Selangor itu.

Penulis akademik

Selain menjual kacang bungkus di kampus, dia juga melakukan beberapa kerja lain secara sam­pingan seperti menyediakan perkhid­matan teksi pelajar (student cab) dan bekerja dengan UPM sebagai Fellowship Penyelidik Siswazah (GRF).

Jelasnya lagi, semasa bekerja sebagai GRF, pihak universiti memberikan gaji sebanyak RM1,300 sebulan selain diberikan potongan diskaun yuran pengajian sebanyak RM700.

Bagi menambah penda­patan sedia ada, Mohd. Hazreen juga mengambil peluang dengan menghantar penulisan dan artikel untuk diterbitkan dalam majalah Dewan Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan mendapat bayaran sebanyak RM300 untuk setiap artikel yang diterbitkan.

Menurut Mohd. Hazreen, sebagai seorang pelajar yang mengambil pengajian dalam bidang Bahasa Melayu, dia banyak menghantar karya-karya berbentuk penulisan akademik.

“Alhamdulillah, artikel yang saya hantar untuk diterbitkan mendapat perhatian pihak DBP sekaligus membantu saya menjana pendapatan sampingan serta membina nama dalam bidang penulisan akademik,” katanya yang mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati pada tahun 2017.

Lebih membanggakan, sepanjang pengajiannya di UPM, tidak pernah sekalipun pemuda itu meminta wang belanja daripada keluar­ganya di kampung kerana tidak mahu membebankan ibu bapanya yang hanya bekerja kampung.

Malah, setiap bulan Mohd. Hazreen pasti akan mengirimkan sedikit wang belanja buat kedua-dua orang tuanya sekadar termampu walaupun masih bergelar mahasiswa.

“Saya percaya pada pemberian rezeki oleh Allah. Jika kita banyak membantu orang tua, pintu rezeki pasti akan dibuka seluas-luasnya,” ujar Mohd. Hazreen.

Bercerita lebih lanjut, Mohd. Hazreen mendedahkan bahawa dia tidak pernah bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sastera Bahasa Melayu selepas menamatkan pelajarannya pada peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia pada 2012.

Katanya, sewaktu mendapat peluang menyambung pengajian di UPM dalam jurusan tersebut, dia berasa teragak-agak, malah menangis kerana mendapat jurusan bukan pilihan.

Bagaimanapun, atas nasihat dan dorongan daripada keluarga dan guru-guru di sekolah, pemuda itu menerima tawaran tersebut dan membuktikan keupayaannya dalam jurusan pengajian Bahasa Melayu.

Buktinya, dia berjaya mendapat Anugerah Naib Canselor seba­nyak tiga kali dan Anugerah Dekan sepanjang pengajiannya sewaktu Ijazah Sarjana Muda.

Mohd. Hazreen yang kini berada di semester kedua dalam pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) tidak lagi menoleh ke belakang dan bercita-cita untuk mengejar sasarannya menjadi pensyarah dalam bidang Bahasa Melayu suatu hari nanti.

Tanggungjawab

Memfokuskan tentang bahasa dalam penulisan akhbar untuk kajiannya pada peringkat PhD, Mohd. Hazreen memilih topik tersebut kerana merasa kurang­nya pelapis dalam bidang pendidikan khususnya dalam jurusan Sastera Bahasa Melayu pada hari ini.

“Justeru saya berharap supaya saya mampu menjadi pelapis untuk menggantikan pensyarah sedia ada dalam jurusan Sastera Bahasa Melayu,” ujarnya yang menyasarkan untuk menyelesaikan PhD dalam masa setahun setengah.

Mohd. Hazreen berkata, sebolehnya dia ingin menyelesaikan pengajiannya lebih awal daripada tempoh minimum yang ditetapkan UPM iaitu selama dua tahun bagi mengurangkan kos pengajian.

Anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu bertuah apabila mempunyai seorang isteri yang menjadi tulang belakang membantu meringankan tanggungjawabnya.

Isteri kepada Mohd. Hazreen, Nur Afiqah Ayub, 25, yang kini merupakan pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Inggeris) juga di UPM memberitahu, sebagai seorang isteri, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk sama-sama membantu antara satu sama lain bagi mengurangkan beban ma­sing-masing.

Ketika membuat perniagaan menjual kacang bungkus di dalam kampus, Nur Afiqah akan membantu suaminya membungkus kacang-kacang tersebut pada sebelah malam.

“Kami juga akan bergilir-gilir menghantar pelajar yang ingin menggunakan khidmat teksi pelajar jika mempunyai kelapangan,” ujar Nur Afiqah.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, pendapatan melalui khidmat teksi pelajar agak lumayan dan berupaya menampung duit minyak sepanjang satu semester di UPM, malah masih mempunyai baki untuk perbelanjaan lain.

Bagi Nur Afiqah, dia tidak pernah sekalipun berasa terbeban atau susah sebagai seorang mahasiswa dan pada masa sama memikul tugas sebagai seorang isteri serta ibu.

Bagi menambahkan lagi pendapatan mereka, pasangan suami isteri itu juga ada membuat perkhidmatan gubahan jambangan hadiah di bawah jenama Indah Bouquet pada harga serendah RM15.

Sempena hari konvokesyen lalu, Mohd. Hazreen dan Nur Afiqah tidak menang tangan menyiapkan lebih daripada 100 gubahan ha­diah yang telah ditempah bagi meraikan hari graduasi UPM.

“Alhamdulillah, sebenarnya ba­nyak cabang boleh dilakukan oleh pelajar untuk mencari duit poket.

“Pokok pangkal­nya sama ada rajin atau tidak,” kata Mohd. Hazreen menutup bicara.