Pemuda berusia 24 tahun itu tidak pernah melakukan aktiviti sedemikian kecuali semasa mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kira-kira empat tahun lalu.

Sebelum ini, semua kerja-kerja berkenaan dilakukan oleh ibunya. Dia hanya akan melakukan tugasan itu jika diminta berbuat demikian.

“Pengalaman memasuki Kem PLKN Nilam Ehsan di Bidor, Perak selama tiga bulan benar-benar membuatkan saya berdikari. Banyak pengalaman baharu yang saya peroleh melalui latihan di kem berkenaan.

“Antara pengajaran yang memberi impak besar dalam kehidupan saya adalah sentiasa menepati waktu dan lakukan sesuatu kerja itu dengan bersungguh-sungguh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut anak keempat daripada lima adik-beradik itu lagi, dia berasa bertuah kerana terpilih untuk menyertai kem tersebut sedangkan ramai dalam kalangan rakan-rakannya tidak berjaya menyertai latihan berkenaan.

“Ramai rakan yang teruja setiap kali saya menceritakan tentang latihan dan pendidikan yang diperoleh semasa mengikuti kem tersebut.

“Mereka ingin turut serta kerana tidak berpeluang mengikuti kem seumpama itu semasa berada di sekolah,” ujarnya yang berpendapat, PLKN patut diteruskan kerana ia sebuah program yang baik.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerajaan memansuhkan dua buah program iaitu PLKN dan Biro Tatanegara (BTN) berkuat kuasa serta-merta pada 13 Ogos 2018.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu sudah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet setelah mendapati PLKN dan BTN disalahgunakan bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.

Katanya, kedua-dua program tersebut akan digantikan dengan program baharu yang akan diuruskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan memberi fokus untuk membentuk belia yang berwawasan.

Holistik

“Program baharu itu nanti dirangka secara holistik dengan menggabungkan aktiviti dalam dan luar dewan berimpak tinggi untuk menyerlahkan potensi anak muda sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Penambahbaikan ini selaras dengan hasrat KBS yang ingin terus mengangkat suara anak muda dalam landskap Malaysia Baharu,” ujarnya.

PLKN mula diperkenalkan pada tahun 2004 yang bertujuan membina sahsiah diri, mengukuhkan semangat patriotisme dan memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.

Ia merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN seluruh Malaysia bagi sesetengah daripada mereka yang terpilih selepas menamatkan pendidikan sekolah menengah atau berumur 17 tahun ke atas. Terdapat 82 kem PLKN di seluruh negara.

BTN pula ditubuhkan sejak tahun 1974 dan mempunyai 17 Kem Bina Negara.

Dalam pada itu, Pensyarah Sains Eksesais, Pusat Sains Sukan dan Eksesais Universiti Malaya, Dr. Rizal Mohd. Razman berkata, program baharu yang bakal diperkenalkan KBS itu kelak haruslah disesuaikan dengan aktiviti belia pada masa kini.

“Memahami program itu adalah untuk memupuk belia berwawasan, ia harus diselaraskan dengan aktiviti dan minat belia seperti menambah program-program sukan yang menarik minat mereka.

“Contohnya, permainan futsal, mendaki, berbasikal atau menelusuri denai. Ia penting bagi membina keyakinan belia, malah menerusi aktiviti sedemikian, ia menyerlahkan lagi kebolehan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Antara modul latihan yang dijalani pelatih PLKN sebelum ini ialah Modul Fizikal, Modul Kenegaraan, Modul Pembinaan Karakter dan Modul Khidmat Komuniti.

Tambahnya lagi, belia pada zaman ini banyak terdedah dengan teknologi. Bagi mengukuhkan kredibiliti dan kesetiaan mereka kepada negara, wujudkan pendekatan yang dapat membuka minda mereka.

“Dedahkan pelatih dengan program-program yang membuatkan mereka ini berfikiran di luar kotak,” jelasnya.