Tidak semena-mena, imbauan aksi latihan tembak-menembak di lapang sasar berlegar-legar di kotak fikiran kami.

Melihatkan riak wajah kru Jurnal yang sedikit terpinga-pinga, Ketua Pemasarannya, Daryl Foong yang pada waktu itu berada di kawasan tersebut terus membawa kami ke arah zon biru iaitu kawasan yang menempatkan permainan menggunakan alat teknologi agumentasi realiti (AR) dan teknologi realiti maya (VR).

Setibanya di kawasan tersebut, sekumpulan empat lelaki yang meme­gang senjata sambil menggalas sebuah beg dilihat berjalan secara terhendap-hendap di sebuah bilik kosong yang gelap.

Kesemua mereka yang lengkap mengenakan peralatan AR, VR dan mikrofon itu kelihatan tidak ubah se­perti pasukan pemburu hantu yang biasa dilihat dalam filem animasi po­pular Amerika Syarikat, Ghostbusters.

Walaupun daripada pandangan mata kasar mereka hanya dilihat me­nembak dan berperang di bilik kosong, namun kesemua mereka sebenarnya sedang bermain di alam maya menerusi pemakaian cermin mata AR.

“The Rift yang merupakan taman tema atas talian terbesar di Asia Tenggara menggunakan VR dan AR sebagai teknologi utama di sini.

“Di sini, setiap pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman bermain dengan permainan video secara realiti melalui penggunaan cermin mata AR dan bantuan video. Mereka juga bebas membuat sebarang pergerakan dan sekali gus membayangkan seperti berada di dalam permainan tersebut.

“Ia ternyata berbeza dengan permainan video masa lalu yang mana individu hanya terikat di hadapan kaca televisyen bersama alat konsol masing-masing,” jelasnya.

Ternyata, penggunaan teknologi AR dan VR adalah satu pendekatan terbaik apabila orang ramai kini boleh merasai sendiri pengalaman bermain permainan video alam maya secara realiti.

Menariknya, ke­semua permainan yang menggunakan teknologi VR dibawa ma­suk dari negara luar seper­ti Australia, Jepun, Finland dan Turki itu tidak pernah ditawarkan di mana-mana taman tema permainan sebelum ini.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika premis tersebut dilihat menjadi tempat per­singgahan wajib orang ramai terutamanya bagi penggemar permainan video.

30 permainan

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan The Rift yang juga merupakan Pengarah Urusannya, Datuk Simon Foong, taman tema tertutup yang menawarkan pelbagai jenis permainan dalam talian di bawah satu bumbung itu baru sahaja beroperasi sejak tiga minggu yang lalu.

“The Rift yang merupakan pusat permainan atas talian terbesar di Asia Tenggara ini menawarkan lebih 30 permainan bertaraf dunia dengan menggabungkan penggunaan teknologi terkini AR dan VR untuk dinikmati oleh orang ramai.

“Idea untuk mewujudkan pusat permainan ini timbul kira-kira 10 tahun lalu ketika saya menuntut di luar negara.

“Saya lihat kebanyakan mereka terutamanya orang-orang Amerika Syarikat menggunakan kemudahan teknologi AR dan VR pada permainan video mereka. Kea­daan tersebut ternyata berbeza di negara kita kerana orang ramai masih lagi terikat dengan cara tradisional,” jelasnya.

Melihatkan situasi tersebut, Simon mengambil inisiatif memperkenalkan penggunaan teknologi AR dan VR dalam permainan vi­deo di negara ini kepada orang ramai.

Bagi tujuan tersebut, Simon sanggup berkelana ke luar negara seper­ti Austra­lia, Amerika Syarikat dan United Kingdom selama beberapa minggu bagi membuat kajian dan mempelajari teknologi tersebut dengan lebih mendalam sebelum ia dipraktikkan di negara ini.

“Menerusi pemakaian cermin mata AR, setiap individu akan dibawa ma­suk ke alam maya dari dunia realiti melalui paparan pergerakan objek 4D dan 5D pada skrin kaca mata yang dipakai.

“Ia ternyata memberi satu pengalaman yang luar biasa dan individu juga boleh mencuba sesuatu yang lain daripada lain selain merasai sendiri pengembaraan menjangkau dunia realiti,” jelasnya.

Tambah Simon lagi, biarpun daripada pandangan mata kasar, permainan video lazimnya dilihat hanya sekadar untuk suka-suka sahaja, namun tanpa mereka sedari permainan berasaskan video itu juga mampu mencabar keupayaan minda individu selain meningkatkan hormon adrenalin.

Sebagai contoh menerusi permainan Zero Latency dan HoloWall yang memerlukan individu untuk memasang strategi untuk menyelesaikan masalah sehingga ke penghujung permainan.

Sukan Olimpik

Bukan itu sahaja, permainan dalam talian yang turut dikategorikan sebagai e-Sukan itu juga kini mula diiktiraf apabila ia dijangka menjadi salah satu acara dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis selain Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Indonesia.

Selari dengan itu, kewujudan The Rift berperanan sebagai pusat latihan individu untuk persediaan ke Sukan Olim­pik 2024 dan Sukan Asia 2018.

“Di sini kita sediakan pelbagai kemudahan kepada orang ramai untuk tujuan latihan dan praktikal.

“Sebagai contoh, kita turut menyediakan satu platform untuk orang ramai datang membuat pertandingan dan menjalani latihan sebagai persediaan untuk bertarung.

“Dari situ, kita boleh mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengenai kebaikan e-Sukan dan juga penglibatannya sebagai salah satu acara dalam sukan-sukan tersebut,” jelasnya.

Didirikan di kawasan berkeluasan 3,716 meter persegi, The Rift yang dibuka untuk peringkat umur daripada empat tahun sehingga dewasa itu mengklasifikasikan permainan mereka kepada dua zon iaitu zon biru yang dikhaskan untuk permainan VR dan AR, manakala zon merah pula untuk kanak-kanak.

Kaedah tersebut digunakan bagi memudahkan orang ramai memilih permainan mereka mengikut peringkat umur dan keupayaan fizikal masing-masing.

Dalam pada itu, menurut seorang penggemar permainan video atas talian, Nabil Imran, 22, kewujudan pusat permainan yang menggunakan teknologi VR dan AR membawa dimensi baharu kepada golongan sepertinya.

“Sebelum ini kita hanya dapat bermain dan melihat pergerakan video tersebut menerusi kaca tele­visyen sahaja.

“Bagaimanapun, dengan kewujudan pusat ini, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman bermain permainan yang sebenar dan ia seolah-olah membawa kami terus ke alam maya.

“Ini merupakan satu pendekatan yang bagus dan ia juga boleh dijadikan sebagai bahan pembe­lajaran menerusi 30 permainan yang terdapat di sini,” jelasnya.

Taman tema permainan dalam talian The Rift di Mid Valley Megamall guna alat teknologi agumentasi realiti (AR) dan teknologi realiti maya (VR) yang membolehkan pemain berasa seperti berada di dunia nyata.